Menjenguk Pengundi Muda Di Peti Undi PRN15

Jam sudah menunjukkan pukul 2.00 petang. Tinggal empat jam sahaja sebelum pusat mengundi tutup di seluruh enam negeri yang mengadakan pilihan raya umum ke-15 (PRN15). Saya dan Ooi Kok Hin, sahabat saya, sudah sampai di lokasi ketiga pusat mengundi di Sekolah Rendah Agama (SRA) Paya Jaras untuk melaksanakan tugas sebagai pemerhati Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sebagai konteksnya, kerusi Paya Jaras dianggap ‘panas’ atas beberapa faktor. Pertama, pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), Paya Jaras memberi undi besar kepada Khairy Jamaluddin mewakil Barisan Nasional (BN) dan ia juga adalah kawasan hampir 70 peratus pengundi Melayu.

Kedua, PAS meletakkan calon berprofil tinggi, Profesor Datuk Dr Ab Halim Tamuri, bekas rektor Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) di Paya Jaras, menunjukkan betapa serius parti itu ingin memenangi kerusi tradisi PH ini dalam usaha merampas Selangor daripada gabungan perpaduan.

“Uish, ramainya orang dekat SRA ni. Tidak putus-putus orang keluar masuk”. Luah saya kepada Kok Hin setelah masuk ke pintu utama pusat mengundi. Bukan apa, dua sekolah yang kami singgah sebelum ini tidak semeriah SRA ini dan suasana agak sendu meskipun laluan trafik agak sibuk. “Aku rasa ini pusat mengundi kuat PAS. Dua sekolah sebelum ini mungkin tempat PH lah kot”, bagitahu Kok Hin sambil menjenguk situasi sekeliling.

Tidak jauh dari tempat kami berdiri, di tingkat dua bangunan SRA itu, terlihat satu barisan panjang di hadapan beberapa kelas. Kami tidak cakap banyak dan terus menaiki tangga untuk melihat proses pengundian dan menjenguk saluran mana yang berjaya mencuri tumpuan kami. Setelah sampai, kami berdua teruja kerana pusat pengundian itu merupakan saluran anak muda berusia bawah 25 tahun.

Saya berdiri di hadapan saluran 13, yakni majoriti pengundi 18 tahun. Kebanyakan yang beratur adalah anak muda Melayu yang sedang menunggu giliran membuang undi. Ini cukup berbeza dengan pusat mengundi sebelum ini di mana saluran anak muda kelihatan kosong dan suram.

Sempat juga saya bertanya akan situasi ini kepada pegawai bertugas. “Tak ada lah pagi sangat, nak dekat tengahari tu lagi ramai keluar diorang ni. Tu yang kami terpaksa susun kerusi panjang”, kata abang polis tu.

Setelah beberapa kali terlibat dengan pilihan raya, fenomena saluran 13 ini memberi gambaran kuat kecenderungan pengundi muda menyokong PN. Mungkin mereka bersemangat keluar mengundi. Mungkin masih melayan gelombang hijau PRU15 yang belum reda atau sekadar mengikut trend yang ada.

Saya dan Kok Hin dapat merasakan berlaku angin perubahan di kerusi Paya Jaras kepada lawannya. Itu sekadar pemerhatian mentah di tiga buah pusat mengundi yang dilawat. Pada 12 Ogos, PAS diumumkan sebagai pemenang kerusi DUN Paya Jaras.

Kerumitan Pengundi muda

Peristiwa saya menjenguk pengundi muda dalam PRN15 masih mencemaskan kerana undi anak muda masih lagi sukar dibaca dan kritikal kepada pihak kerajaan. Mana-mana parti menjadi kerajaan sentiasa berdepan kesulitan menarik sokongan belia yang kini serba tahu dan serba boleh.

Kini, golongan muda lebih kompleks dan sering dibelenggu rasa was-was (precariat) dalam kehidupan disebabkan ketidakstabilan hidup dan sukar mencongak perancangan masa depan yang jelas.

Cabaran bertambah berat apabila anak muda seperti tawar hati dalam konteks pendidikan. Ambil saja kenyataan hampir 90,000 orang pelajar tidak layak menerima Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2022.

Baru-baru ini, 4,630 orang atau 70 peratus daripada 6,361 orang belia yang layak melanjutkan pengajian TVET di Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) sesi pertama tahun ni menolak tawaran tersebut. Sedangkan, ILKBS ini ditanggung sepenuhnya kerajaan pusat dan mempunyai latihan berkualiti. Kumpulan ini mungkin ingin terus bekerja dan paling popular sekarang menjadi rider untuk mendapat wang dengan cepat.  Sejauh manakah perkara ini pula benar?

Dalam tinjauan belia 2023 dijalankan Merdeka Center, 58 peratus belia lebih gemar memilih pekerjaan bergaji dan mempunyai majikan berbanding 38 peratus yang selesa dengan pekerja gig. Apabila diminta untuk pilih menjadi perantis (apprentice) atau bekerja dalam gig ekonomi, 61 peratus belia sanggup bekerja sebagai pekerja gig berbanding 36 peratus memilih perantis.

Ikut pecahan kaum, 65 peratus belia Melayu cenderung memilih gig ekonomi dan 50 peratus belia Cina gemar menjadi perantis.  Dari sudut yang berbeza, hampir 80 peratus belia dalam tinjauan ini positif terhadap latihan TVET.

Jelas bahawa anak muda suka akan jalan pintas mendapatkan pendapatan seperti pekerja gig berbanding membuat latihan. Tetapi, mereka masih mengharapkan pekerjaan stabil bersama majikan atau syarikat dengan pendapatan terjamin meskipun rendah. Ini mesej yang cukup mengelirukan daripada anak muda buat pembuat dasar, industri, dan kerajaan dalam membentuk program meningkatkan kemahiran dan gaji pekerja muda.

Healing Atau Bangkit?

Di sini terletaknya persoalan tentang kesungguhan pemain industri dan kerajaan bekerjasama meningkatkan soal gaji dan produktiviti pekerja. Peluang pekerjaan yang stabil, gaji berpatutan, dan jaringan keselamatan sosial yang baik sebenarnya akan menarik lebih ramai pekerja muda berbakat  seterusnya menyumbang produktiviti kepada pekerja.

Namun, tidak realistik jika anak muda hari ini memarahi kerajaan menguruskan ekonomi ketika sebahagian besar daripada mereka mengharapkan pendapatan tinggi dengan bekerja dalam sektor berkemahiran rendah serta tidak menyumbang kepada produktiviti negara. Apakah rasional jika anak muda mendesak kerajaan membawa masuk pelabur tetapi sukar mencari orang tempatan yang berkemahiran seperti yang diminta industri?

Saya setuju jika pengundi muda dilabel konservatif. Mereka tidak mempunyai pilihan ekonomi dan berada dalam zon selesa. Tetapi, pemikiran konservatif ini bukan terhasil daripada pertimbangan beberapa jalur, tetapi sekadar budaya popular di media sosial yang mengisi kekusutan hidup mereka.

Budaya popular konservatif dibawa golongan agamawan boleh bawa mereka keluar sekejap dari kekusutan, tetapi ia langsung tidak menyelesaikan masalah dan menambah ilmu anak muda menjadi pengikut agama yang lebih baik. Malah, pemikiran ini juga telah menyukarkan mereka untuk keluar dari zon selesa mencabar diri untuk berjaya dalam aspek ekonomi dan kewangan.

Namun terpulanglah buat pengundi muda, sama ada mahu ‘healing sampai pagi’ atau cuba bangkit keluar mencari erti kehidupan, ilmu, dan latihan yang boleh mengangkat maruah ekonomi diri dan keluarga.

Cuma saya tertanya-tanya, apakah pengundi muda hari ini akan berubah pada PRU16 selepas mengharungi satu penggal di bawah Kerajaan Perpaduan? Atau trend ini akan sama dan diikuti pengundi muda baharu nanti?

Komen