Menjenguk Kembali Ranjau Sepanjang Jalan Dengan Kemiskinan Kini

Saya membuka tulisan dengan perenggan dari  penutup novel Ranjau Sepanjang Jalan:

“Pada Sanah, malam yang penuh dengan jeritan Jeha itu membawa sesuatu yang besar. Dia teringat kepada sawah empat belas relung yang tidak dapat dipisahkan itu. Dia teringat kepada ular tedung senduk di bekas semai. Lintah gajah, kemarau panjang, ketam-ketam dan burung tiak yang banyak. Rumput-rumput bulu landak. Onak nibung yang membunuh Lahuma. Busung di perut Lahuma. Nanah di busung. Darah di busung… dia teringat kepada Jeha yang gila. Dan Jeha bukan orang lain tetapi emaknya sendiri.. dan Jeha menjerit juga sepanjang malam itu.”

Novel Ranjau Sepanjang Jalan bukanlah sebuah novel fantasi yang hadir dengan magis-magis yang mendatangkan kepukauan kepada pembaca juga rasa ghairah yang tinggi. Novel ini adalah novel ketidakselesaan dan kerengsaan selepas membacanya terutama ketika malam hari sedang kita selesa mahu diulit mimpi. Kemiskinan yang membelenggu keluarga Lahuma bukan sahaja menyayat hati malah penuh dengan tragis.

Namun begitu, Lahuma mempunyai semangat juang yang tinggi tidak tunduk pada mitos miskin kerana malas. Dia mempunyai sikap untuk terus berusaha dalam memberi anak bininya makan. Tetapi malang menimpa kerana dalam mengusahakan satu-satu harapannya untuk terus bertahan hidup, akhirnya dia menemui ajal kerana tercucuk duri nibung. Selepas kematian tragis itu, isterinya Jeha menyambung tugasan.

Pada awalnya Jeha nampak seperti biasa dan bersungguh memikul tugas untuk menyara keluarga. Tetapi akibat tekanan hidup, kedaifan rumahnya, kehilangan suami dan segala yang telah merosakkan padinya akhirnya Jeha hilang kewarasan.  Tugasan selama ini menjadi harapan seluruh keluarga diletakan pada pundak anak perempuannya iaitu Sanah.

Sanahlah yang paling kuat bertahan, seperti anak gadis kampung khasnya anak sulung akan menjadi ibu kepada enam orang adik beradiknya yang masih kecil. Ikhtiar mereka untuk terus hidup selalu berdenyut dalam lafaz;

“Mati, hidup dan susah senang dipegang Tuhan.”

Bukan kerana mereka menyerah tetapi mereka percaya bahawa Tuhan akan bersama-sama dengan orang yang berikhtiar, orang yang menggembleng seluruh tenaganya untuk mendapatkan rezeki.

Mitos-mitos Yang Dipecahkan

Kerja keras orang miskin tak selalu mendatangkan hasil malah ia menuntut pengorbanan termasuklah dengan nyawa orang-orang tersayang. Begitulah yang ditonjolkan oleh watak Lahuma, Jeha dan Sanah. Mereka berkerja keras dari pagi hingga malam dengan tulang empat kerat mereka untuk membangunkan sawah padi yang berjumlah 14 petak semuanya.

Mereka terpaksa menghadap pelbagai cabaran dari haiwan berbisa sehinggalah kematian yang akhirnya tidak membawa mereka ke mana-mana. Ini telah meruntuhkan segala idea-idea dari sifu ekonomi mahupun elit politik yang mengatakan untuk keluar dari kemiskinan harus rajin bekerja. Rajin sahaja tidak akan cukup selagi dominasi sumber, regulasi ekonomi, dasar-dasar afirmatif, bantuan-bantuan kepada kemudahan pertanian tidak diberi dengan sebaiknya. Akhirnya hasil hanyalah sekadar ada malah tidak mencukupi.

Mitos kedua adalah semangat kepimpinan. Pemimpin tidak semua cekap memainkan peranannya. Ada yang hanya memikirkan dirinya dan kepentingannya ketimbang kebajikan pada kelompok yang dipimpin. Ini juga telah digambarkan dalam novel ini. Ketika Jeha bertanya kepada Lahuma mengapa tidak meminta bantuan ketua kampung ketika mengusahakan sawah miliknya, balas Lahuma kerana ketua kampung tidak suka membalas budi.

Sehinggalah Lahuma mati, barulah ketua kampung memberi kebenaran untuk meminjamkan traktornya. Apa yang paling menyedihkan ketika Jeha dibawa pergi ke hospital Tanjung Rambutan, tiada siapa yang menjenguk keadaan Sanah dan adik-adiknya. Mereka sendiri berhempas pulas menghalang sawah dari diserang burung tiak dan dirosakkan oleh sampah sarap yang dibawa oleh arus banjir. Jadi semangat feudal menunduk dan menjustifikasikan bahawa semua pemimpin itu menjalankan kerja dengan baik harus diungkai semula.

Ketiga adalah mitos kehidupan seorang wanita hanyalah bergantung kepada lelaki. Ini dibuktikan dengan kegagahan Jeha selepas kematian Lahuma. Jeha tetap gigih memerah tulang empat keratnya mengusahakan sawah yang diamanahkan oleh suaminya sendiri pagi dan malam. Malah semangat ini juga dijelmakan oleh Sanah anak sulung Jeha. Sewaktu Jeha sudah hilang kewarasan, Sanahlah yang paling bertanggungjawab mengusahakan sawah tanpa ada keluh kesah.

Kerana dirinya tahu, itulah satu-satunya harta dan harapan ibu dan ayahnya. Juga merupakan sumber untuk menyuapkan makanan ke mulut adik-beradiknya yang lain. Rasa kebertanggungjawaban, gigih, rajin, tabah yang ditunjukkan oleh Sanah dan Jeha ini memaparkan bahawa wanita juga mempunyai semangat yang sama besarnya dengan lelaki dan tidak perlu di diskriminasi.

Kesinambungan Kemiskinan Hari Ini

Antara yang menjadi persoalan kini adakah Ranjau Sepanjang Jalan masih relevan dibaca hari ini setelah berpuluh tahun ia ditulis oleh sasterawan negara? Jawapan saya sudah tentu pasti! Malah novel ini sepatutnya dibaca secara meluas di universiti-universiti juga di sekolah. Selain terkait dengan bahas sastera novel ini juga memaparkan hal-hal pembangunan yang tidak selesai dari dulu sehinggalah kini. Malah Jeritan bencana dari Jeha masih kedengaran daripada mereka yang masih hidup dalam kemiskinan.

Jika dahulu Shahnon Ahmad menuliskan tentang ranjau petani di kampung, hari ini ia telah merebak ke bandar. Mereka yang tinggal di kawasan urban bergelut untuk menghadirkan kehidupan yang berkualiti. Setelah pendemik reda, mereka harus pula berhadapan dengan inflasi sehingga memaksa dua, tiga atau empat kerja dilakukan dalam satu-satu masa. Ada yang berjaya, ada yang berduka malah ada yang meragut nyawa tanpa sebarang pembelaan semata-mata mahu memastikan adanya sesuap nasi buat keluarga mereka di atas meja. Kemiskinan telah menjadi parah dan berkarat.

Hari ini juga paparan tentang kepimpinan yang tidak berkualiti menjelma dengan jelas. Di saat masyarakat sedang bergelut dengan kehidupan, ada pula elit yang sewenangnya menaikkan pendapatan mereka sendiri. Mahu keuntungan sendiri, ada yang tegar melakukan korupsi dan gilakan takhta dan kekuasaan. Tidak ada perangkaan yang tuntas bagi meringankan beban kelompok miskin malah subsidi juga mahu ditarik katanya tidak mahu negara dalam kerugian. Tidakkah ironi? Ranjau sepanjang jalan dirasai baik di kawasan pertanian, penternakan, perkilangan dan bandar-bandar. Keselesaan digantikan dengan taruhan nyawa dan keuntungan diragut oleh mereka yang tidak tahu malu.

Seterusnya, kemiskinan juga terjelma ketika wanita terkecuali mendapat pendapatan yang seiringan dengan lelaki, malah mendapat jawatan pekerjaan juga hampir pasti sukar kerana diskriminasi. Walhal kelompok inilah antara kelompok yang amat memerlukan pembelaan. Dari segi representasi dalam arena kepimpinan saja boleh dikira dengan jari, belum lagi berbicara tentang keperosokan mereka dari kefahaman budaya dan nilai agama. Seperti moral publik kononnya wanita menjaga maruah  masyarakat. Malangnya kebajikan mereka tidaklah dijaga dengan baik. Ada yang dicerai tanpa nafkah, kematian ibu bapa juga suami tanpa jaminan, anak-anak sekolah yang tidak kecukupan.

 Kata Akhir

Saya selalu memegang kata guru saya bahawa sastera adalah cerminan pemikiran masyarakat. Apa yang selalu dijelmakan itu terkait dengan ideologi maka perang ideologi akan berlaku dalam teks. Jika penulis mahu menyembunyikan segala kerosakan maka mereka tidak akan menyentuh tentang hal realiti, tetapi sebaliknya jika penulis mahu memaparkan apa yang terjadi maka mereka berani membasahkan kertas dengan tinta-tinta perlawanan mereka. Bacaan sebegini sememangnya menyegarkan pemikiran dan merenung kembali apa yang sudah terjadi pada negara yang dicintai. Moga Ranjau Sepanjang Jalan sentiasa dibaca, dikupas dan dijadikan pengajaran dalam melihat masalah dengan lebih baik.

Komen