Menjejak ATS Di Segitiga Emas

Menyelak laporan dadah dunia oleh United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC) seolah-olah sedang menyingkap satu tabir rahsia. Tidak semua cakna mengenainya. Yang terzahir cuma paparan berita anak mengelar leher ibu ayah, kemalangan maut di bawah pengaruh dadah, jenayah jalanan yang berulang dan isu-isu lambakan belia yang berfoya-foya tanpa arah tujuan. Sisa usia mereka kemudiannya dipersia disebalik tirai besi. UNODC menterjemah terdapat peningkatan penggunaan dadah sebanyak 11% seiring dengan unjuran populasi global pada tahun 2030 dengan impak yang lebih besar di negara berpendapatan rendah berbanding negara berpendapatan tinggi. Maka, usaha memerangi dadah cuma mimpi belaka kerana ramalan UNODC mencerminkan sikap sambil lewa kita mencegah penagihan dadah serta pelencongan sosial dalam kalangan remaja.

Jika mengimbas jejak dadah sekitar tahun 1960, kawasan segitiga emas merangkumi sempada Laos, Myanmar dan Thailand begitu terkenal dengan ladang-ladang popi yang mekar. Ketika itu, dadah jenis heroin dari kawasan segitiga emas ini amat popular setelah kerajaan China menyekat keras pengeluaran candu dan menyebabkan penanaman popi dibuat secara haram di sempadan China. Pada tahun 1990, Reuters melaporkan raja segitiga emas yang dikenali sebagai General Khun Sa menghasilkan lebih kurang 2,200 tan opium setahun dan diseludup ke Amerika Syarikat melalui Thailand. Sebahagian besar heroin yang membanjiri bandar-bandar di Amerika Syarikat datangnya dari kawasan segitiga emas ini.

Pada tahun 1996, Khun Sa menyerah diri kepada kerajaan Myanmar. Akan tetapi, kisah Khun Sa menyerah diri masih tidak dapat menghilangkan ketagihan dadah rakyat Malaysia pada ketika itu kerana data Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menganggarkan seramai 38 orang penagih dadah yang dikesan setiap hari pada tahun tersebut. Pada tahun berikutnya iaitu tahun 1997, jumlah penagih dadah baharu meningkat sebanyak 47.8% bersamaan dengan 17, 342 orang sekaligus meletakkan Malaysia berada di kedudukan ke-5 bilangan penagih paling ramai di Asia Tenggara.

Bermula sekitar tahun 2010, penggunaan dadah jenis opiate mula bersaing dengan dadah jenis Amphetamine-Type Stimulants (ATS) seiring dengan peredaran zaman dan gaya masa kini. Dadah jenis sintetik ini mendapat tempat di kalangan generasi muda iaitu golongan remaja dan belia serta didorong oleh faktor substans yang mudah didapati dan mampu dibeli. Rekod AADK pada tahun 2020 mencatatkan penyalahgunaan dadah jenis ATS adalah sebanyak 65.2% berbanding dadah jenis lain seperti opiate dan ganja. Dalam tempoh 10 tahun, angka ini melonjak naik seiring dan tren ATS yang turut bertebaran di sekitar Asia Tenggara.

Pada Mei 2020, UNODC melaporkan perkembangan dan cabaran dadah jenis sintetik di Asia Timur dan Tenggara berdasarkan data dan maklumat yang dikumpul di bawah Program Global Synthetic Monitoring: Analysis, Reporting and Trends (SMART) oleh Laboratory and Scientific Section, UNODC. Kumpulan jenayah terancang melaksanakan modus operandi dengan menyeludup ATS dari kawasan segitiga emas melalui jalan darat iaitu melalui sempadan barat Thailand, Laos dan Vietnam. Sekali lagi segitiga emas menjadi lubuk dadah walaupun penanaman popi kian kelam kerana telah digantikan dengan penghasilkan dadah sintetik oleh makmal-makmal dadah haram.

ATS juga dipasarkan ke Indonesia dan Malaysia melalui perairan Selat Melaka dan Laut Andaman selain dieksport secara haram ke Australia, Jepun dan New Zealand. Kumpulan jenayah terancang ini turut mengeksplotasi kawasan sempadan China dan Wilayan Selatan Shan yang terletak di sempatan Myanmar-Thailand bagi penyeludupan prekusor iaitu bahan utama dalam menghasilkan ATS. Pemerdagangan ATS secara pesat serta penghasilan ATS dengan ketulenan yang tinggi pada harga yang murah menunjukkan kecerdasan dan kehebatan percaturan kumpulan jenayah terancang ini. Anehnya, masyarakat rela diperbodoh dengan percaturan ini sehingga sanggup memiliki ATS walaupun mereka tahu kesan dan akibat buruk pada minda dan tingkah laku mereka demi memenuhi gelojak nafsu seorang manusia.

Situasi ini merupakan hakikat sebenar masyarakat Malaysia pada hari ini yang masih belum cakna dengan isu penagihan dadah walaupun kempen-kempen dan informasi kesan penagihan dadah telah diulang siar. Tentu sahaja bila ada permintaan di pasaran, kumpulan jenayah terancang ini akan terus mencari akal memenuhi permintaan pelanggan serta poket sendiri. Mana mungkin masyarakat ini sedar bahawa manifestasi ketagihan dadah adalah kesan kegagalan kita menjinakkan nafsu sendiri, kegagalan kita membentuk akhlak peribadi dan kegagalan kita bergelar khalifah di muka bumi. Justeru tidak hairanlah kita masih mendengar kisah anak mengelar leher ibu ayah, berita maut di jalan raya serta pelencongan sosial anak-anak muda seperti menonton sinetron negara seberang. Akhirnya, kita mencari kambing hitam untuk dipersalahkan walaupun puncanya adalah daripada kebodohan dan nafsu sendiri.

(Artikel ini adalah tulisan saudari CT Hasna dan tidak semestinya mencerminkan pandangan pihak Solidaritas)

Komen