Meniti Hari-hari Duka Di Bawah ‘Kerajaan Bukan Pilihan Rakyat’

“And, this government may not be the government that you voted for. But I want all of you to know that this government cares for you”- Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan perutusan khas pakej ekonomi PRIHATIN, 27 Mac 2020.

Saya begitu musykil sehingga sekarang, mengapa Muhyiddin menggunakan bahasa Inggeris ketika mengaku bahawa kerajaan beliau terajui ialah ‘kerajaan bukan pilihan rakyat’ atau singkatannya kerajaan BPR (bukan pilihan rakyat). Persoalan itu tidak penting kerana kerajaan Perikatan Nasional (PN) semakin hari menunjukkan bahawa mereka kerajaan ‘bukan pilihan rakyat’.

Kegagalan kerajaan PN bukanlah satu rahsia lagi. Dari segi aspek ekonomi, kesihatan dan pendidikan sekalipun, kerajaan PN tidak pernah bersedia lebih awal untuk menempuh krisis yang luar biasa. Rakyat pula terpaksa menanggung beban ekonomi dan kesihatan ketika pandemik akibat kelemahan tadbir urus kerajaan.

Rasa kecewa dan marah terhadap kerajaan dirasai semua lapisan masyarakat, termasuk warganegara kecil dan anak-anak muda yang masih bersekolah. Mereka masih keliru, membangkitkan persoalan mengenai jaminan pendidikan dan masa hadapan mereka selepas pandemik ini reda. Ibu bapa pula masih menghitung jumlah pendapatan yang ada untuk menampung kos pendidikan yang kian meningkat. Situasi bertambah sukar apabila ada ibu bapa yang hilang pekerjaan dan pendapatan.

Atas faktor kerajaan lambat bertindak melawan pandemik, ekonomi negara juga terpaksa menanggung kerugian. Kadar pengangguran masih lagi melebihi empat peratus ke atas. Pengangguran belia meningkat kepada 13 peratus, iaitu dua kali ganda lebih tinggi berbanding kadar nasional. Gaji pula dipotong kerana majikan tidak mampu menampung kos operasi syarikat yang kian merosot.

Dalam keadaan kritikal melawan Covid-19, kerajaan tidak dipilih rakyat terus menunjukkan sikap angkuh dan serba tahu, enggan bekerjasama dengan semua pihak untuk menghadapi situasi luar jangka ini. Parlimen pula dipandang sebagai satu kepayahan, sedangkan kerajaan boleh menjadikan parlimen sebagai rakan strategik membincangkan rancangan dan persiapan menghadapi ujian Covid-19.

Oleh sebab tiada persidangan parlimen, kerajaan PN terus melakukan kesilapan dalam pengurusan krisis. Kelemahan pelaksanaan SOP yang melibatkan kepentingan orang awam seperti pembukaan sekolah, keselamatan tempat kerja dan industri tidak dapat diperhalusi oleh ahli parlimen secara terperinci.

Nampaknya, kerajaan tidak dipilih rakyat hanya bertahan kerana Covid-19. Mungkin, perkara ini menjadi faktor utama mengapa kerajaan PN tidak mahu melawan Covid-19 habis-habisan. Hakikatnya, angka kes Covid-19 kian hari kian tinggi, tetapi angka majoriti kerajaan PN pula semakin berkurangan. Sebab itu juga, alasan Covid-19 digunakan untuk melaksanakan darurat seluruh negara.

Sekarang kerajaan tidak dipilih rakyat akan diam membisu. Menteri pula missing in action. Tetapi, kita lihat sahaja bagaimana reaksi mereka sekiranya kes Covid-19 berjaya diturunkan atau vaksin telah diberikan kepada rakyat. Mereka akan menggelarkan diri mereka ‘hero’ buat rakyat dan selepas itu dinding-dinding bangunan diconteng untuk membuat mural menyanjung ‘hero’ seperti Abah dan Pak Long.

Seperti mana kita mahu Covid-19 berakhir, saya percaya bahawa rakyat juga mahukan pemerintahan gelap di bawah  ‘kerajaan bukan pilihan rakyat’ juga ditamatkan dengan segera.

Penawar dan vaksin paling mujarab untuk memastikan insiden ‘kerajaan bukan pilihan rakyat’ tidak berulang lagi hanya satu, iaitu rakyat yang peduli dan bersatu padu.

Rakyat yang bersatu padu dan terlibat secara aktif dalam partisipasi demokrasi kenegaraan yang telus dan adil akan mewujudkan satu desakan kuat kepada kerajaan untuk menjalankan tugas secara terbuka dan berintegiriti. Perpaduan rakyat ini yang paling digeruni oleh pemimpin yang tidak jujur kerana mereka tidak mempunyai ruang untuk bersikap curang dan tidak jujur dalam pentadbiran.

Krisis hari ini telah menunjukkan kepada kita bahawa kegagalan rakyat untuk mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan negara seperti memberi ‘cek kosong’ kepada pemimpin kerajaan untuk memerintah tanpa mengangkat keperluan rakyat. Budaya segelintir rakyat untuk bersikap ‘neutral’ dalam setiap keputusan politik dan kerajaan hanya akan memberi ruang kepada pemimpin autokrasi untuk berkuasa lebih lama.

Ini satu lembaran baharu buat rakyat untuk memahami bahawa isu politik, ekonomi dan kesihatan bukanlah satu isu yang boleh diuruskan secara berasing, tetapi ia saling berkait antara satu dan yang lain.  Saya optimis bahawa krisis yang berlaku sekarang akan membentuk sebuah masyarakat dan pemimpin masa hadapan yang peduli dan kritikal.

Rakyat sedar bahawa betapa susah dan malangnya meniti hari-hari gelap menjadi rakyat yang diperintah kerajaan bukan pilihan mereka. Bukan sahaja sebuah kerajaan yang tidak dipilih, tetapi kerajaan yang tidak mempunyai kepimpinan dan hala tuju pemerintahan yang jelas.  Tidak ada sesiapa yang akan mengingati lalu berbangga untuk hidup di bawah kerajaan yang gagal melawan pandemik dan menguruskan kesusahan rakyat.

Rakyat telah sedar bahawa tangan mereka sendiri yang perlu mencorakkan kegemilangan masa hadapan mereka bersama pemimpin yang berintegriti dan mampu memimpin negara ke lembah kejayaan.

Komen