Menggugat Ahli Politik

Ketika saya menghadiri sebuah program kesedaran politik dan kepimpinan di ibu kota, seorang penceramah memberitahu kami; apabila kita memilih ahli politik, bukan bermaksud kita memilih siapa yang baik, tapi memilih ahli politik yang paling kurang kejahatannya. Penceramah itu turut menambah, kalau dia baik, pasti dia tidak masuk ke dunia politik. Akal saya cuba menghadamkan ungkapan ini, memandangkan penceramah itu juga merupakan seorang ahli Parlimen, saya berfikir; adakah dia sedang bercakap tentang dirinya sendiri? Atau dia ingin melemparkan “baton ahli politik jahat” ke tangan seteru politiknya? Saya sering melihat ahli politik sebagai pelakon-pelakon profesional yang boleh membawa perwatakan mengikut situasi dan tempat. Umpama sesumpah yang mampubertukar warna untuk memastikan dirinya selamat daripada pemangsa, seperti itulah saya melihat ahli politik, penuh skeptikal dan prejudis.

Guna Parameter Yang Betul

Saya sering memberi peringatan kepada para pengundi untuk menilai ahli politik dengan “alat” yang betul. Sebelum mengukur ahli politik, kita harus sedar peranan utama ahli politik di negara ini, peranan mereka adalah sebagai pembawa suara rakyat dan mencipta polisi untuk kesejahteraan rakyat. Oleh itu, sewajarnya prestasi mereka dinilai daripada keberkesanan mereka memainkan peranan ini.

Kita tidak boleh menilai mereka melalui ketebalan lilitan serban atau ketakwaan mereka, penilaian seperti ini adalah salah. Sesiapa sahaja boleh mengenakan apa-apa pakaian atau mengaku sedang menjalankan suruhan tuhan untuk mendapatkan kuasa politik. Apabila mereka berjaya membawa suara rakyat atau mempengaruhi polisi yang baik, imej atau propaganda agama tidak diperlukan. Ahli politik boleh sahaja membawa imej agama, namun ia tidak wajar dijadikan modal utama untuk meraih undi, lebih-lebih lagi sebagai modal untuk mengkafirkan/mengharamkan lawan politik. Banyak ajaran-ajaran “indirect” dalam agama yang boleh digunakan untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat berbanding menggunakan terma-terma agama yang boleh mengelirukan rakyat dan mewujudkan perbalahan politik atas nama agama.

Kemudian sama juga dengan isu-isu yang melibatkan masalah atau aib peribadi. Sudah masanya kita menolak politik seperti ini, kerana ia tidak akan membawa kebaikan kepada negara kita. Setiap insan pasti memiliki aib dan dosa peribadi yang tidak mengganggu kesejahteraan orang lain, seperti mempunyai isteri yang tidak mengenakan tudung. Isu seperti ini merupakan isu peribadi, melainkan ia mampu memberi mudarat (sebagai contoh isu pecah amanah dan salah guna kuasa) kepada orang ramai, ia sepatutnya tidak dijadikan polemik untuk menyerang ahli politik tersebut. Dosa peribadi merupakan urusan di antara seorang hamba dan tuhan.

Budaya 5 Tahun Sekali

Di antara permainan ahli politik yang paling celaka adalah budaya 5 tahun sekali, yakni tiba-tiba ingin menjadi “superhero” ketika Pilihan Raya Umum tiba. Apabila demam PRU tiba; yang dahulunya bisu menjadi vokal, yang hilang kembali datang dan memuat naik gambar-gambar memberi sumbangan akan menjadi rutin harian. Beberapa bulan sebelum PRU tiba, calon-calon yang ingin bertanding akan cuba menempatkan muka mereka di mana-mana sahaja yang boleh mencuri perhatian rakyat. Sekolah selalunya akan menjadi mangsa, apabila politikus ini akan datang dengan “banner” terlekat muka mereka. Permainan yang paling busuk pada pengalaman saya adalah menjemput mahasiswa atau pelajar sekolah ke program-program politik kerana bimbang jumlah hadirin tidak mencapai sasaran. Walaupun jemputan seperti ini sering dikatakan “jemputan tanpa paksaan”, malangnya ada institusi yang mewajibkan kedatangan pelajar dan memberi “amaran” sekiranya pelajar-pelajar tidak hadir.

Oleh itu, awasi setiap perangai ahli politik anda. Sekiranya mereka hanya ingin menjadi “pendekar bermusim”, maka wajiblah mereka ditolak. Seharusnya mereka mewakili anda sepanjang mereka bergaji RM16000 di parlimen. Jangan sesekali menilai ahli politik ketika musim pilihan raya, mereka akan cuba menjadi malaikat dengan “prihatin” terhadap semua perkara. Nilailah mereka sepanjang mereka telah diberikan amanah, itulah gambaran sebenar sikap satu-satu wakil rakyat tersebut.

Undi Kita Tidak Boleh Murah

Salah satu peranan utama para pengundi adalah memastikan politikus yang ingin bertanding tidak melihat undi boleh dibeli dengan harga yang murah. Undi tidak boleh dibeli dengan sekadar ucapan retorik, sehelai baju, sepinggan nasi ayam atau sampul berisi RM10. Undi perlu diraih melalui kerja keras, tanggungjawab dan kejujuran. Sebagai pengundi, kita harus menghantar mesej ini kepada mereka yang ingin menjadi wakil rakyat, supaya mentaliti “kerja ala kadar” dapat dibuang daripada kumpulan elit ini. Malangnya, masih ada pengundi yang rela mengorbankan lima tahun mereka dengan sehelai baju. Selagi kita tidak betul-betul serius dalam memberi amaran kepada wakil-wakil rakyat ini, selagi itu mereka akan goyang kaki dan mengulangi modus operandi yang sama setiap kali ingin memenangi pilihan raya.

Kita harus menendang mereka daripada zon selesa, mereka tidak boleh selesa ketika bergelar wakil rakyat. Jika mereka ingin selesa, mereka perlu menukar kerjaya. Mereka perlu sentiasa dalam keadaan bersiap sedia membantu rakyat. Seharusnya apabila ada berita-berita tentang kemiskinan dan kesusahan rakyat terpampang di dada akhbar, mereka orang pertama yang perlu ditanya. Apabila rakyat ingin menyuarakan masalah mereka kepada wakil rakyat, tidak ada istilah “menganggu”. Pukul tiga pagi pada hari Ahad? Hubungi sahaja mereka. Pembayar cukai membayar mahal untuk mendanai gaji dan elaun mereka, takkanlah mereka boleh dibiarkan bercuti?

Sedarkan Mereka Siapa Sebenarnya Bos

Ahli politik harus ingat; rakyat adalah bos kepada mereka, rakyat pula harus menyedari kuasa ini. Rakyatlah yang memberi mandat kepada politikus untuk hidup dengan segala kemudahan yang dibayar oleh pembayar cukai. Rakyat jugalah yang mampu membuang semua jawatan-jawatan yang dimiliki ahli politik ini. Jika rakyat bijak, pasti ahli politik akan gusar!

(Artikel ini adalah petikan dari buku Malaysia Tamat Tempoh)

Komen