Menggeletarkah Tubuh Badan Melihat Anak Bangsa Mati Bergelimpangan?

TIDAK, ini bukan ulasan filem Mat Kilau. Walaupun dikatakan dalam filem tersebut ramai anak bangsa mati bergelimpangan dibunuh tentera Sikh yang merupakan askar upahan British.

Tetapi saya tidak akan mengulas mengenai filem tersebut kerana belum menontonnya.

Sebaliknya, yang ingin saya nukilkan di sini ialah beberapa rakaman video yang tular hujung minggu lalu tentang satu insiden kemalangan di Pulau Pinang.

Ya, negeri DAP itu.

Dalam rakaman video tersebut, terlihat beberapa penunggang motorsikal terlibat dalam kemalangan tragis yang sudahnya mengorbankan empat nyawa. Ada beberapa rakaman menunjukkan mangsa kemalangan yang maut bergelimpangan di atas jalan. Ada yang sudah dihempap motorsikal, ada pula yang terbujur kaku di atas motorsikal.

Mat Rempit Dan Lumba Haram

Kemalangan tragis yang berlaku di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu pada awal pagi tersebut dikatakan berpunca dari sekumpulan Mat Rempit yang sedang berlumba haram. Rakaman video sebelum kemalangan membuktikan memang ada perlumbaan haram melibatkan beberapa motorsikal dengan puluhan penunggang motorsikal yang lain berhimpun di tepi jalan menyaksikan perlumbaan itu.

Apabila terbukti kemalangan tersebut berpunca dari aktiviti lumba haram oleh Mat Rempit, maka konsensus orang awam adalah untuk menuding jari kepada golongan tersebut sebagai pesalah laku. Memang tidak dinafikan, kemalangan yang mengorbankan empat nyawa itu asalnya dari aktiviti lumba haram. Bukan Mat Rempit sahaja yang terkena, bahkan ia turut melibatkan penunggang motorsikal lain dan beberapa kereta yang kebetulan berada di tempat kejadian.

Pokoknya, budaya Mat Rempit dan aktiviti lumba haram sejak sekian lama telah menjadi satu masalah di dalam negara kita. Masalah ini pula tidak terhad di atas jalan melalui lumba haram itu, tetapi banyak lagi gejala lain yang berkait rapat dengan budaya Mat Rempit seperti jenayah ragut atau curi, penggunaan dadah atau juga permasalahan sosial lain.

Realiti ini meletakkan Mat Rempit dalam kasta sosial terendah, baik ketika di atas jalan atau tidak.

Namun di sebalik semua itu Mat Rempit dan gejala yang dicetus mereka masih berterusan walaupun isu ini sudah dibangkitkan bertahun lamanya dan pelbagai usaha kononnya telah dibuat untuk mengekang.

Kita gagal kerana masalah rempit ini tidak ditangani pada akarnya.

Menyelesaikan masalah Mat Rempit dan hobi lumba haram mereka tidak cukup sekadar mencantas di pucuk. Akar permasalahan ini juga perlu ditangani. Soalan yang perlu dirungkai ialah kenapa mereka menjadi Mat Rempit?

Rempit adalah masalah yang timbul kerana kelas atau kasta sosial. Selidiklah mana-mana anak muda yang menjadi Mat Rempit, kita akan dapati majoriti darinya datang dari kelompok B40 dan berpendidikan rendah.

Datang dari golongan rentan, mereka ini tidak diberikan ruang dan peluang secukupnya. Di bandar-bandar, mereka menetap di kawasan perumahan rakyat termiskin yang terhad dari segi ruang rumah dan fasiliti riadah. Di kampung-kampung, mereka dinafikan peluang pekerjaan atau penglibatan dalam kemasyarakatan. Keterbatasan ini semua akhirnya diluahkan dalam bentuk pelarian dengan menjadikan rempit sebagai gaya hidup dan lumba haram sebagai hobi.

Sayang sekali, walaupun akar permasalahan ini jelas terlihat namun tidak ada usaha-usaha yang ikhlas bagi mengatasi masalah budaya rempit.

Sukar untuk diterima bulat-bulat, tetapi kita tidak dapat lari dari perasaan syak bahawa budaya rempit dibiarkan terus mekar kerana ada pihak yang boleh mengaut keuntungan dari kewujudan mereka.

Sebagai contoh, lihat sahaja bagaimana ada parti politik dan pemimpinnya yang gemar menggunakan Mat Rempit dalam kempen politik mereka. Dengan sehalai baju ‘Bossku’, setangki minyak penuh dan sedikit duit poket, puluhan malahan ratusan Mat Rempit boleh dihimpunkan untuk mencapai agenda politik pihak tertentu.

Mungkin sebab itulah masalah ini tidak dicantas di akarnya. Kerana kemahuan politik yang ada adalah untuk mengekalkan budaya rempit.

Menggeletar Tubuh Badan

Apa yang berlaku di Pulau Pinang hujung minggu lalu sebenarnya adalah episod sama yang telah berlaku sebelum ini. Ia berulang-ulang kerana tiada siapa yang serius mahu menyantuni Mat Rempit dan masalah mereka.

Jika ada pejuang bangsa yang menggeletar tubuh badan kerana melihat individu tertentu menghina agama, maka sewajarnya mereka juga menggeletar tubuh badan melihat anak bangsa terus hanyut dalam budaya rempit dan akhirnya mati bergelimpangan di atas jalan kerana berlumba haram.

Kita perlu akui, budaya rempit kini sudah menjadi masalah sistemik.

Jauh lebih teruk dari tindakan seorang individu menghina agama (yang mungkin dia sudah tidak lagi beriman kepadanya), kita kini berdepan dengan masalah sosial yang meracuni satu lapisan masyarakat dan paling menggusarkan ia endemik dalam kalangan anak Melayu Islam.

Namun selepas apa yang berlaku di Pulau Pinang, belum terlihat mana-mana pejuang bangsa menggeletar tubuh badan dan turun ke jalan mendesak kerajaan segera bertindak.

Sepertinya mereka meredhai budaya rempit ini mekar dalam kalangan anak bangsa kerana seperti parti dan pemimpin politik tertentu, kewujudan Mat Rempit adalah perlu bagi mencapai agenda mereka.

Komen