Tahun 1989, arwah Abah saya pernah membeli senaskhah buku berjudul Kebebasan Kehakiman tulisan Tun Salleh Abas. Buku tebal sebegitu memanglah tidak menarik untuk seorang budak Darjah 4 seperti saya. Apa lagi ia bukannya mengandungi lukisan kartun atau komik atau pun gambar haiwan atau kereta kebal yang boleh membuatkan saya leka menyelak helaiannya.
Tapi, ada satu tulisan kecil yang menarik pada kulit buku tersebut. Ia adalah tajuk kecil yang bertulis “singa di bawah takhta dijerat (satu kezaliman)”. Terus terdetik dalam hati Darjah 4 saya, ini cerita dongeng pasal singa kena seksa dengan raja kah?
Rupanya, yang dirujuk sebagai “singa di bawah takhta” adalah hakim yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA). Tun Salleh Abas adalah seorang Ketua Hakim Negara dan pada tahun 1988 beliau telah disingkirkan dari jawatannya berikutan Krisis Perlembagaan 1988.
Buku yang mulanya saya sangkakan akan menceritakan kisah singa kena jerat rupanya adalah sebuah buku yang menceritakan krisis perlembagaan yang mengubah lanskap politik Malaysia hingga ke hari ini.
Penyingkiran Tun Salleh Abas pada tahun 1988 berpunca dari perpecahan yang berlaku dalam UMNO pada tahun sebelumnya. Sekurang-kurangnya begitulah tanggapan ramai pihak tentang bagaimana institusi kehakiman atau judisiari bertembung dengan institusi eksekutif atau kerajaan.
Pada tahun 1987, UMNO telah mengadakan pemilihan pucuk pimpinan termasuklah kerusi presiden. Buat pertama kalinya pemilihan ini menyaksikan pertembungan sengit antara Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah untuk kerusi presiden. Di peringkat jawatan lain, wujud juga persaingan antara faksi Mahathir yang dikenali sebagai Team A menentang faksi Tengku Razaleigh atau dikenali sebagai Team B.
Tengku Razaleigh tewas kepada Mahathir untuk perebutan kerusi presiden, dan begitu juga kebanyakan pemimpin Team B yang lain juga turut kalah kepada lawan Team A mereka. Mahathir menggunakan kemenangan ini untuk menyingkirkan lawan dari Team B baik dalam kepimpinan UMNO dan juga di kalangan menteri kabinet.
Bertindak atas penyingkiran tersebut, seramai 12 ahli UMNO menfailkan tindakan perundangan untuk membatalkan pemilihan UMNO tersebut. Mahkamah kemudian memutuskan pemilihan tersebut sebagai tidak sah kerana UMNO sendiri sebagai sebuah parti politik adalah tidak sah kerana ada beberapa cawangan UMNO yang tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan.
Tindakan mahkamah ini dikatakan telah membuatkan Mahathir berang. Sebelum tahu 1988 institusi kehakiman di Malaysia adalah bebas dari pengaruh dan campur tangan kerajaan, sesuatu yang tidak disenangi oleh Mahathir sendiri selaku Perdana Menteri. Badan kehakiman pernah dalam beberapa kes membuat keputusan yang tidak memihak kepada kerajaan, selain dari kes UMNO pada tahun tersebut ada kes lain antaranya penggantungan pas kerja dua wartawan asing dan sekatan penerbitan ke atas Asian Wall Street Journal oleh kerajaan, yang dikatakan menerbitkan artikel mengkritik tadbir urus kewangan kerajaan. Mahkamah memutuskan penggantungan pas kerja wartawan dan sekatan penerbitan oleh kerajaan sebagai tidak sah.
Kerajaan bertindak balas dengan mengkritik badan kehakiman yang dilihat sebagai terlalu bebas dan berkuasa serta menterjemahkan undang-undang mengikut selera sendiri. Pada masa sama, kelompok penyokong Mahathir menabur propaganda yang menggambarkan para hakim hidup terlampau mewah selain meneruskan legasi kolonialisme penjajah Inggeris.
Tun Salleh Abas, selaku Ketua Hakim telah ditekan oleh para hakim yang lain untuk bertindak balas terhadap provokasi kerajaan. Tun Salleh Abas mengambil keputusan untuk menulis sepucuk surat kepada YDPA selaku institusi tertinggi negara meminta agar konfrontasi kerajaan dan kehakiman dihentikan, selain menyatakan rasa kesal badan kehakiman di atas serangan berterusan pihak kerajaan.
Namun, Mahathir meneruskan usahanya untuk menguasai cabang judisiari dan pada tahun 1988 satu tribunal ditubuhkan untuk menyiasat salah laku Tun Salleh Abas. Usaha Tun Salleh Abas mencabarkan keabsahan tribunal tersebut melalui mahkamah gagal apabila lima hakim Mahkamah Agung digantung jawatan sekaligus menggantung Mahkamah Agung itu sendiri. Pihak tribunal kemudian meneruskan timbang tara dan memecat Tun Salleh Abas dari jawatannya.
Krisis yang berlaku pada tahun 1988 ini telah mencemari konsep pengasingan kuasa (separation of powers) di dalam negara kita.
Melalui buku tulisan Tun Salleh Abas inilah saya dari sekolah rendah mula memahami model trias politica, yang mengasingkan kuasa di dalam sebuah negara kepada tiga cabang berasingan. Cabang tersebut adalah legislatif, eksekutif dan judisiari. Di Malaysia, legislatif merujuk kepada parlimen yang menggubal dan meluluskan undang-undang, eksekutif merujuk pada kerajaan atau pemerintah yang mentadbir berdasarkan undang-undang tersebut manakala judisiari adalah kehakiman yang melaksanakan undang-undang. Pengasingan kuasa ini adalah penting sebagai semak dan imbang dalam sebuah negara, sekaligus menjamin kebebasan dan keadilan untuk setiap rakyat.
Runtuhnya model trias politica ini bermakna tergugatlah kebebasan dan keadilan untuk setiap dari kita tanpa mengenal darjat dan sebagainya. Bayangkan parlimen, kerajaan dan mahkamah dikuasai oleh individu atau kelompok individu dengan kepentingan tersendiri dan ketiga-tiganya tidak lagi mempunyai kebebasan yang patut ada.
Di kalangan kita, ada segelintir yang percaya negara ini sedang mengalami regresi atau kemerosotan. Dan titik mula regresi itu berbeza-beza. Ada yang percaya ia bermula sejak Langkah Sheraton, ada pula yang rasa ia bermula sejak Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan. Tidak kurang juga yang berkata ia bermula apabila Najib Razak songlap duit 1MDB dan tidak kurang juga yang yakin ia bermula apabila Anwar Ibrahim dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM).
Tetapi bagi saya, perisitiwa yang berlaku pada tahun 1988 adalah titik mulanya negara kita menjunam ke lembah failed state. Pengasingan kuasa antara tiga cabang yang sepatutnya menjadi trisakti suci telah dinodai pihak berkepentingan. Sehingga ke hari ini, sistem kehakiman negara masih dipersoalkan dan sehingga ke hari ini juga, kerajaan tidak pernah memohon maaf atas apa yang berlaku, baik kepada tuan punya badan jauh sekali kepada rakyat keseluruhan.
Sungguh menyedihkan apabila Tun Salleh Abas telah pergi meninggalkan kita saat negara ini masih belum pulih dari dari Krisis Perlembagaan 1988. Perkara ini diperakui sendiri oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika beliau menjadi Perdana Menteri selepas Mahathir. Dalam menyatakan kekesalan pihak kerajaan atas apa yang berlaku ketika memberikan pampasan kepada Tun Salleh Abas, Pak Lah sendiri mengakui bahawa kerajaan dan negara secara keseluruhan masih belum pulih dari kerosakan sistemik ini.
Kisah bagaimana Tun Salleh Abas tidak berganjak walaupun mempertahankan kehakiman dari campur tangan kerajaan setepatnya menggambarkan keberanian beliau ibarat seekor singa di bawah takhta.
Moga “Singa Di Bawah Takhta” ini tenang di sana, hendaknya. Terima kasih kerana kekal teguh dan berprinsip mempertahankan kebebasan.
Lucius Maximus adalah seorang penulis dengan tiga buku setakat ini, Cerita Piala Dunia 2010, Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia dan Maaf Aku Bukan Lagi Leon Trotsky Kamu Semua. Beliau aktif berkicau di Twitter dalam isu-isu yang mendesak.