Mengenang Shebby

Semalam seluruh negara khususnya di kalangan peminat bola sepak telah gempar dengan berita pemergian mengejut Serbegeth Singh atau lebih dikenali dengan nama panggilan Shebby. Shebby dilaporkan terkena serangan jantung ketika sedang beriadah dengan berbasikal. Shebby berumur 61 tahun ketika menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Dunia bola sepak tempatan sangat mengenali Shebby. Bahkan, boleh dikatakan juga di peringkat antarabangsa nama Shebby sangat sinonim dalam bola sepak sebagai seorang pundit atau pengulas khususnya melibatkan bola sepak Malaysia dan juga England apabila menyentuh Liga Perdana Inggeris. Shebby adalah testimoni seorang pemain bola sepak tempatan yang pasca era pemainnya telah berjaya menceburkan diri dalam bidang lain iaitu media berkaitan bola sepak.

Tidak ramai di kalangan pemain bola sepak Malaysia yang mampu menempa karier sebegitu rupa.

Shebby dilahirkan di Johor pada 20 Ogos 1960 dan memulakan karier pemain bola sepaknya di negeri kelahiran beliau. Selama enam tahun beliau berbakti di Johor dari 1978 hingga 1983, Shebby kemudiannya memilih untuk berhijrah ke Kuala Lumpur pada tahun 1984 dan ketika inilah nama Shebby mula menjadi perhatian.

Bersama Kuala Lumpur, Shebby berjaya menjuarai Piala Malaysia tiga kali berturut-turut dari tahun 1987 hingga 1989. Shebby merupakan salah seorang dari tonggak utama dalam sekuad Kuala Lumpur yang turut dibarisi pemain ternama seperti Fandi Ahmad, K. Kannan, Rashid Hassan, Razip Ismail, Mat Zan Mat Aris dan Lim Teong Kim. Kuala Lumpur juga turut menjuarai liga pada tahun 1986 dan 1988.

Penghijrahan Shebby ke Kuala Lumpur bagaimanapun mendapat bantahan dari Johor yang mendakwa ianya dilakukan tanpa prosedur yang betul. Manakan tidak, catatan oleh Shebby sendiri menyatakan bahawa beliau telah menerima pesanan untuk menghubungi S Subramaniam, jurulatih Kuala Lumpur ketika itu. Sebaik sahaja beliau menghubungi Subramaniam melalui panggilan telefon, Shebby telah diarahkan untuk “menaiki kereta api pukul 10 pagi esoknya dari Kluang dan turun di Kajang untuk dijemput oleh Subramaniam sendiri”.

Kejayaan Shebby bersama Kuala Lumpur juga membolehkan beliau menjadi salah satu pemain utama dalam skuad kebangsaan. Dekad 1980-an boleh dikatakan pengakhiran zaman emas bola sepak Malaysia di peringkat antarabangsa. Harimau Malaya ketika itu masih antara pasukan terkuat di Asia tetapi bibit-bibit kemunduran sudah mula terasa ditambah pula dengan kebangkitan mendadak pesaing seperti Korea Selatan, Jepun dan negara-negara Timur Tengah. Shebby berpeluang beraksi dalam tiga edisi Sukan Asia pada tahun 1982, 1986 dan 1990 tetapi rekod pencapaian Harimau Malaya tidaklah membanggakan.

Dalam saingan kelayakan Piala Dunia pula, Shebby merupakan antara pemain pilihan ketika pusingan kelayakan Piala Dunia 1986 dan 1990. Namun dalam kedua-dua edisi kelayakan itu perjalanan Harimau Malaya ke Piala Dunia telah disekat oleh musuh tradisi Korea Selatan yang pada masa kini telah jauh meninggalkan Malaysia dalam arena bola sepak, selain ekonomi dan teknologi pastinya. Shebby bersara dari bola sepak kebangsaan pada tahun 1991 dan terus menumpukan kariernya pada saingan bola sepak domestik.

Selepas Kuala Lumpur, Shebby berkelana ke Pahang menjadi sebahagian dari projek besar Galacticos skuad Tok Gajah tetapi hanya bertahan dua musim sebelum beliau kembali ke Kuala Lumpur. Shebby kemudian meneruskan saki baki era pemain bola sepak beliau dengan berbakti di Negeri Sembilan dan destinasi akhir, Perak. Tidak sekali pun Shebby kembali ke negeri kelahirannya Johor sebagai pemain.

Kebangkitan Liga Perdana Inggeris dan munculnya perkhidmatan televisyen satelit berbayar membuka ruang baru buat Shebby sebagai pundit atau pengulas bola sepak. Shebby menempa nama dalam dunia media berkaitan bola sepak, menjadi pengulas di Star Sport, saluran sukan berbayar di bawah Astro ketika itu. Pada tahun 2006, Shebby menyertai Khairy Jamaluddin dan Jason Lo sebagai sebahagian dari tenaga jurulatih untuk rancangan realiti televisyen, MyTeam yang digembar-gemburkan bakal merevolusikan bola sepak Malaysia yang ketika itu sudah tenat.

Bertahan empat musim, MyTeam gagal memberikan impak yang dinginkan bagi benar-benar mencungkil bakat baharu yang boleh mengubah bola sepak Malaysia.

Shebby bagaimanapun ketika itu sudah menjadi nama besar dalam dunia bola sepak Inggeris. Dan kemuncaknya berlaku pada 18 Jun 2012 apabila beliau dilantik sebagai penasihat global untuk kelab Inggeris, Blackburn Rovers yang pernah menjuarai Liga Perdana pada musim 1994-95. Namun era Shebby bersama Blackburn Rovers agak kontroversi, hingga beliau dikatakan menjadi punca kepada kejatuhan kelab tersebut dalam piramid bola sepak Inggeris. Akhbar The Independent antaranya pernah menyebut bahawa Shebby ‘presiding over the farcical decline of the club’ ketika di Blackburn Rovers. Blackburn Rovers tersingkir dari Liga Perdana pada tahun 2012, dan seterusnya jatuh lagi dari Liga Kejohanan ke Liga Satu, peringkat ketiga dalam piramid bola sepak Inggeris.

Shebby pada waktu itu telah pun meninggalkan Blackburn Rovers untuk kembali ke Johor menjadi antara tenaga terawal dalam projek penubuhan Johor Darul Ta’zim atau JDT.

Kisah Shebby dalam bola sepak baik selaku pemain, pengulas atau penasihat penuh warna serta suka dan duka. Saya sendiri pernah menulis tentang beliau dalam buku Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia. Tentang komitmennya, sikapnya serta kecelakaan kecederaan yang berlaku ke atas dirinya di saat-saat getir perlawanan kelayakan menentang Korea Selatan. Apa yang dilalui Shebby adalah asam garam seorang insan yang menyara diri dan keluarganya melalui bola sepak.

Perginya Shebby adalah satu kehilangan. Semakin ramai dari generasi beliau yang kini sudah tiada. Bahkan, jurulatih S Subramaniam yang menemui bakat Shebby di Johor dan membawanya ke pentas bola sepak negara juga telah pergi pada Ogos tahun lalu. Nama-nama mereka bagaimanapun akan terpahat sebagai lagenda bola sepak sebaris dengan Mokhtar Dahari, R. Arumugam dan Chow Kwai Lam sekadar menyebut beberapa nama tersohor.

Terima kasih Shebby atas keterujaan bola sepak yang dipersembahkan. Rest in power.

Komen