Mengapa Speaker Dewan Rakyat Perlukan Politik?

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin

Dalam sebuah wawancara televisyen beberapa hari yang lalu, Yang di-Pertua Dewan Rakyat (YPDR), Datuk Azhar Azizan Harun telah menjelaskan perbezaan pendiriannya dengan Timbalan YPDR, Dato’ Sri Azalina Othman Said dalam isu pembukaan parlimen ketika pandemik dan darurat.

Menurut pandangan Azhar, Azalina lantang mendesak kerajaan membuka parlimen atas kapasiti beliau sebagai ahli parlimen yang tentunya mempunyai kepentingan politik.  Berbeza dengan dirinya yang dilihat tidak mempunyai kepentingan politik dalam urusan parlimen. Jadi, beliau tidak perlu berpolitik dalam isu parlimen seperti Azalina.

Pendirian Azhar Harun yang cuba menjarakkan dirinya daripada politik adalah satu perkara yang tidak tepat. Hakikatnya, Azhar Harun dipilih sebagai YPDR dalam kalangan ahli politik kerajaan untuk menggantikan YPDR sebelumnya, Tan Sri Muhammad Arif atas alasan ‘ada calon baharu’. Maka, dakwaan yang menyatakan YPDR perlu menjarakkan diri dengan politik adalah pandangan yang separuh masak.

Politik Untuk Pertahankan Parlimen

Kita perlu menerima hakikat bahawa pemilihan Speaker atau YPDR adalah sebahagian daripada proses politik dan tidak terkecuali sebagai individu penting yang boleh mempengaruhi politik negara. Malah parlimen itu sendiri adalah institusi politik untuk membahas dan memperjuangkan dasar-dasar kesejahteraan rakyat dan negara. Justeru, mengasingkan parlimen daripada politik juga adalah satu pemikiran yang kurang tepat.

Apa yang lebih penting, sama ada seorang Speaker dipilih itu pernah menjadi  ahli politik atau golongan profesional, kefahaman dan selok-belok ‘berpolitik’ amat diperlukan dalam menjalankan tugasnya. Mengapa?

Pertama, Speaker memerlukan politik untuk mempertahankan kedaulatan dan fungsi parlimen daripada dibungkam atau ditekan ahli politik, khasnya jemaah menteri. Ketegasan politik Speaker mampu membendung parlimen menjadi mangsa percaturan politik yang tidak memberi kesan dalam mengubah nasib rakyat.

Kedua, politik juga dapat membantu Speaker dalam mewujudkan kerjasama antara pihak kerajaan dan pembangkang demi kepentingan rakyat. Speaker yang mahir menganalisis situasi politik dan tahu kaedah menyatukan ahli parlimen yang berbeza pendapat untuk bekerjasama dalam sesuatu isu atau dasar akan memberi nilai tambah kepada parlimen dan membentuk sebuah parlimen yang peduli akan nasib rakyat.

Ketiga, Speaker memerlukan politik bagi membina keyakinan dan kesedaran ahli parlimen, menteri, dan rakyat dalam usaha menambah baik sistem demokrasi berparlimen Malaysia. Cara ini akan memudahkan Speaker melaksanakan cadangan dan ideanya bagi memperkasa fungsi parlimen dalam menyemak dan mengimbangi tadbir urus jemaah menteri.

Namun, perlu diperjelaskan bahawa politik yang diperlukan Speaker bukan bersifat kepartian, tetapi untuk mempertahan dan mewujudkan rasa kerjasama dwipartisan antara kerajaan dan pembangkang di parlimen.  Dengan politik, ia akan membentuk seorang Speaker teguh dan berprinsip dalam menetapkan pendirian dalam mempertahankan peranan parlimen daripada dirobek oleh ahli politik yang tidak bertanggungjawab.

Kesan Speaker Yang Tidak Berpolitik

Sebenarnya, parlimen dan rakyat lebih menanggung rugi apabila Speaker parlimen cuba menjarakkan diri daripada politik.  Pertama, Speaker yang bebas cenderung untuk tidak bertanggungjawab kepada rakyat selain ahli politik yang memilih dirinya dalam jawatan tersebut.  Perkara ini boleh mewujudkan persepsi bahawa Speaker terasing dengan realiti rakyat sebenar. Kedua, badan eksekutif didakwa mudah mempengaruhi seorang Speaker yang bebas atau dianggap ‘profesional’ untuk memastikan kerajaan mendominasi perjalanan parlimen.

Ternyata, Speaker yang menjarakkan diri daripada politik seperti Azhar Harun telah mengundang rasa kecewa ahli parlimen dan rakyat. Sikap berdiam diri beliau dalam mendesak parlimen bersidang telah menghantar mesej yang ‘salah’ kepada rakyat yang mahu semua pemimpin kerajaan dan pembangkang kembali ke parlimen untuk bekerjasama membincangkan isu rakyat bagi menghadapi COVID-19.

Azhar Harun boleh sahaja bersuara memperjuangkan hak ahli parlimen untuk meneliti tadbir urus kerajaan dan menjadi pendesak Perdana Menteri bertanggungjawab kepada parlimen. Namun, beliau memilih untuk mengikut ketetapan eksekutif menerusi Ordinan Darurat dalam isu parlimen.

Kerana Speaker tidak lantang mempertahankan parlimen, rakyat sudah mula memperlekehkan dan hilang kepercayaan akan fungsi parlimen menguruskan krisis COVID-19 dan ekonomi negara. Ini adalah kos atau kerugian yang terpaksa ditanggung oleh sistem demokrasi berparlimen Malaysia dalam tempoh jangka masa panjang.

Hakikatnya, ukuran Speaker parlimen yang baik bukan bergantung sejauh mana dia berpolitik atau tidak, mempunyai parti atau tidak, ahli politik atau profesional. Apa yang lebih penting adalah sejauh mana Speaker boleh menggunakan kecekapan dan pengalamannya untuk memastikan parlimen berfungsi dan memberi impak besar kepada kesejahteraan rakyat dan negara.

Speaker boleh menjadi contoh yang baik dalam arena politik negara bagi melawan politik jahat daripada pemimpin tertentu yang menganggap parlimen institusi yang merumitkan kepentingan politik mereka.

Kedudukan Speaker sebagai pemimpin tertinggi dalam parlimen penting dalam mencorak politik yang lebih matang meskipun ruang politiknya mempunyai batasan, berhubung kait dengan parlimen, dan tidak boleh berat sebelah (political impartiality). Begitu penting orang awam, aktivis masyarakat dan ahli politik memahami perkara ini agar tidak mengulangi kesilapan sama dalam melihat peranan Speaker parlimen pada masa hadapan.

Komen