Mengapa Perlu Tolak Sikap Perkauman

Sikap perkauman adalah satu penjara minda. Dengan perkauman, anda akan melihat semua kejadian dari sudut kaum. Anda akan kira untung rugi yang kaum anda peroleh. Akhirnya anda tidak akan bahagia sepanjang hayat. Hidup anda akan dipenuhi dengan kebencian terhadap kaum lain. Anda juga akan membenci anggota kaum anda yang berbaik-baik dengan kaum lain.

Apabila anda keluar dari penjara perkauman, minda anda akan bebas untuk berasa bersaudara sesama manusia. Anda akan dapat melihat kepelbagaian manusia. Ada yang baik, ada yang jahat. Sikap kemanusiaan ini membuat anda melihat kebaikan dan kejahatan bebas daripada sudut kaum. Anda sudah tidak perlu membenci sesuatu kaum. Anda hanya membenci kejahatan.

Untuk berhijrah daripada bersikap perkauman kepada kemanusiaan adalah sukar bagi sebahagian besar orang. Lebih-lebih lagi apabila melihat kaum sendiri lemah dalam berbagai bidang, khususnya politik dan ekonomi. Jadi apa saja kemajuan yang dicapai oleh kaum lain dilihat sebagai kegagalan kaumnya sendiri. Seperti individu manusia, tentulah pencapaian sesuatu kaum itu berbeza. Tidak semestinya isu politik dan ekonomi itu dikaitkan dengan perkauman. Untuk mengaitkan isu politik dan ekonomi memang mudah. Tetapi penyelesaiannya pula akan bersifat kaum, dan bertambah dalamlah sikap perkauman. Sebaliknya, jika sesuatu isu politik dan ekonomi diselesaikan tanpa dikaitkan dengan kaum, ia mengurangkan sikap perkauman.

Apakah yang dimaksudkan dengan perkauman? Istilah lain yang berasal dari bahasa inggeris ialah rasisme. Orang yang bersikap perkauman dipanggil rasis. Sikap perkauman bukan semata-mata menyedari tentang jati diri sendiri. Kesedaran terhadap jati diri atau identiti yidak menjadi masalah. Contohnya, kalau seseorang itu menyedari tentang dirinya sebagai orang Melayu, lalu berbudaya Melatyu, perkara itu tidak menjadi masalah. Begitu juga kalau seseorang itu sayang pada kaumnya dan berusaha untuk memajukan kaumnya, itu merupakan sikap positif dan tidak dipanggil rasis.

Tetapi sikap perkauman mempunyai unsur kebencian pada kaum lain. Ia terbit dengan prasangka iaitu menyangka buruk terhadap anggota kaum lain. Umpamanya apabila ada seseorang dari kaum lain memberi bantuan, maka prasangkanya ialah dia berbuat demikian kerana bertujuan untuk mengembangkan agamanya.

Bagaimana jika kaum lain itu membuat aniaya terhadap kaumnya? Tidakkah wajar seseorang itu bersikap membenci terhadap kaum itu? Apabila berlaku penganiayaan, tentulah yang melakukannya adalah seseorang atau sekumpulan daripada kaum itu. Tetapi bukanlah keseluruhan kaum itu. Apa yang patut dibenci adalah perbuatan orang berkenaan atau orang yang melakukannya.

Tetapi bagaimana kalau sesuatu kaum itu secara meluas dan konsisten menindas kaum sendiri, tidakkah perlu mereka ditentang dan dilawan? Tentu sekali penindasan dan kezaliman perlu dilawan tetapi ia wajar dilakukan untuk menentang kejahatan, dan bukannya membenci kaum itu secara borong. Ini kerana sebagai manusia, ada yang baik dan ada yang jahat. Sikap perkauman membawa kepada pergaduhan dan peperangan yang mengerikan.

Contohnya ialah perang di negara yang dahulunya Yugoslavia. Kaum Serb berperang dengan orang Bosnia dan Croatia. Sedangkan beratus tahun mereka hidup bersama dalam sebuah negara. Sikap perkauman membawa pergaduhan. Dalam perang itu, orang Serb didorong oleh kebencian terhadap kaum lain. Akibatnya kaum lain pun membenci orang Serb.

Akhirnya Yugoslavia berpecah. Tetapi di Serbia, masih terdapat orang Bosnia dan Croat. Begitu juga di Bosnia dan Croatia masih terdapat orang Serb. Perasaan kebencian itu sukar dipadam tetapi mereka akhirnya kena juga hidup bersama. Rasisme adalah sesuatu yang sia-siia dan mendatangkan kesengsaraan.

Di Amerika Syarikat, kebencian terhadap orang kulit hitam membawa kepada permusuhan dan pergaduhan. Merata-rata tempat di dunia, perkauman wujud dan menghasilkan keadaan yang buruk. Kemuncak rasisme dalam sejarah moden ialah semasa Perang Dunia Kedua. Rejim Nazi Jerman menggalakkan rasisme terhadap orang Yahudi. Hasilnya ialah Holocaust dan kesengsaraan berjuta-juta manusia akibat Perang Dunia Kedua.

Perkauman berbeza daripada kebangsaan. Kalaupun perkauman adalah rasisme, kebangsaan adalah nasionalisme. Dalam konteks tanah-tanah jajahan,nasionalisme menghasilkan kemerdekaan negara.

Nasionalisme adalah kesedaran terhadap negara sendiri. Apa yang dimaksudkan bangsa adalah warga negara berkenaan. Dalam negara pula terdapat pelbagai kaum, baik majoriti mahupun minoriti. Dari satu segi, nasionalisme bertentangan dengan rasisme. Ini kerana nasionalisme menganjurkan perpaduan dan kesaksamaan tetapi rasisme membawa kepada perpecahan negara dan diskriminasi. Nasionalisme menjadi buruk apabila ia mengandungi kebencian pada orang asing, sikap ini dipanggil xenofobia.

Di Eropah, nasionalisme dianggap buruk kerana pengalaman sejarah mereka. Seringkali nasionalisme itu dikaitkan dengan sikap Jerman dalam Perang Dunia Pertama dan Kedua. Dengan semangat nasionalisme itu, Jerman menjadi agresif dan menakluk negara lain. Bertambah buruk lagi apabila nasionalisme bentuk begini dicampur dengan rasisme dan supremasi kaum. Di Jerman Nazi, rasisme mereka adalah anti-semitisme atau anti-Yahudi. Sementara supremasi kaum mereka adalah kepercayaan keagungan kaum Aryan yang terdiri daripada orang Jerman, Nordik dan Parsi.

Tetapi di Asia, nasionalisme dianggap baik kerana perjuangan rakyat pribumi menentang penjajah bagi mendapatkan kemerdekaan. Perkara ini berlaku selepas Perang Dunia Kedua. Sementara rasisme timbul bermula dengan pribumi menolak kehadiran kaum lain yang berhijrah semasa zaman penjajahan dan menetap di negara mereka. Penolakan ini pada mulanya bersifat politik dan ekonomi tetapi akhirnya menjadi kebencian yang berpanjangan disambung oleh generasi baharu. Rasisme berlaku di kedua-dua belah pihak. Ia saling balas membalas dan akhirnya tiada kesudahan. Akibatnya ia menjejaskan pembangunan dan kemajuan negara.

ini kerana rasisme menarik tumpuan rakyat pada isu-isu kaum dengan memalingkan perhatian daripada kemajuan dan pembangunan negara. Satu lagi ialah apabila berlaku peminggiran, negara kerugian kerana terlepas daripada memperoleh manfaat daripada kepandaian kaum yang dipinggirkan. Setiap kaum mempunyai kecenderongan yang berbeza tetapi mereka wajar dilayan secara saksama selaku warganegara.

Rasisme berlaku di seluruh dunia. Ia pula berpanjangan dalam sejarah. Daripada zaman perdagangan hamba hinggalah kepada dasar Apartheid di Afrika Selatan. Walaupun kesedaran terhadap keburukan rasisme sudah meluas tetapi ia tetap menebal di banyak bahagian termasuk Amerika Syarikat dan Eropah.

Malaysia tidak asing dengan masalah perkauman. Banyak orang berfikir masalah kaum di Malaysia adalah unik dan ia tidak boleh disamakan dengan negara-negara lain. Di Malaysia, kaum pribuminya adalah majoriti dan memegang kuasa politik tetapi terpinggir dan ketinggalan dari segi ekonomi.

Usaha untuk meningkatkan kedudukan sosio-ekonomi Bumiputera sememangnya perlu dilakukan. Tetapi ia merupakan masalah rakyat dan negara, maka tidak wajar dikaitkan dengan perkauman.

Tetapi kerapuhan emosi seseorang memang mudah dimainkan dengan sentimen perkauman, dan ia akan akhirnya mendatangkan keburukan.

Apabila perasaan kebencian sudah tersemai, segala tindakan akan berlandaskan pada perkauman. Sementara tindak-tanduk biasa pula turut dilihat dari sudut perkauman. Akhirnya sikap perkauman ini menjejaskan pembinaan jati diri kebangsaan.

Bagi negara ini, apa yang dimaksudkan dengan kebangsaan ialah kebangsaan Malaysia. Membezakan antara perkauman dan kebangsaan ini masih sukar di kalangan rakyat Malaysia.

Komen