Mengapa Nenek Anda Akan Undi DAP

Tahukah anda lebih 20% populasi negara kita akan berusia lebih 65 tahun menjelang 2056, naik mendadak 7% dari 2020. Hal ini dilaporkan Bank Dunia. Pada usia 65 tahun ke atas, ini bermakna generasi tua tidak lagi aktif secara ekonomi, justeru pandangan tradisionalnya adalah; akan terdapat beban besar buat kerajaan untuk menanggung mereka dan untuk itu, akan ada gangguan pada kepesatan ekonomi.

Begini, saya baru selesai menulis dua drama, dan mementaskan salah satunya di Panggung Eksperimen Aswara. Dalam drama berjudul “Ghaib” itu, seorang lelaki yang baru beroleh pekerjaan di Amerika Syarikat berada dalam keadaan dilema, sama ada untuk terus menempa nama dan kerjaya di luar negara, atau ‘menjadi anak yang baik’ secara tradisi di Asia, iaitu menjaga ibunya yang sudah tua dan mula menghidap Alzheimer. Ibunya ditempatkan di sebuah pusat jagaan milik negara, iaitu Institut Alzheimer Negara (semacam Institut Kanser Negara atau Institut Jantung Negara).

Dalam sebuah drama lain, Republik Orang Tua (diterjemahkan ke bahasa Inggeris oleh Brigitte Bresson) yang saya tulis untuk Yayasan Hans Nefkens berpangkalan di Barcelona, Sepanyol, saya merenung pengalaman yang saya perolehi di sebuah negara tetangga.

Pengalaman itu ialah melihat bagaimana ramainya orang tua yang terketar-ketar terpaksa bekerja sebagai jurubersih di kantin, ruang makan awam dan taman bunga, lantaran simpanan mereka sudah habis, dan kadar sara hidup pula meningkat. Pengalaman melihat bagaimana mereka terabai di negara jiran ini mendorong saya menulis drama pendek tersebut.

Dalam bidang ekonomi, usaha untuk menjadikan penjagaan sebagai salah satu sumber dan cara untuk membajainya dinamai ekonomi perak (silver economy).

Untuk pemimpin dan kepimpinan negara yang berwawasan dan cekap, kewujudan dan peningkatan populasi orang tua tidak seharusnya dilihat sebagai satu beban, sebaliknya ia boleh menjadi sumber ekonomi yang sihat dan panjang.

Salah seorang pemimpin Pakatan Harapan (lebih tepat DAP) yang nampaknya mempunyai perancangan tersusun mengenai ekonomi perak ini (atau beliau namakan sebagai “care economy”/ekonomi penjagaan) adalah Howard Lee, ADUN Pasir Pinji yang saya harap akan diletakkan oleh DAP di peringkat Parlimen untuk PRU15 mendatang. Howard, bekas exco kerajaan Perak ketika pentadbiran PH adalah satu-satunya pemimpin politik yang saya lihat mempunyai pelan jelas mengenai ekonomi perak ini, di mana beliau mencadangkan “National Care Economy and Ageing Community Preparedness Plan” atau dalam bahasa Melayunya “Siaga Jaga”.

Di kala pemimpin-pemimpin Melayu-Islam sedang meratib untuk PRU meskipun dalam banjir, dan tidak sudah-sudah berzikir kuasa, kuasa, kuasa, atau nak jadi menteri, nak jadi menteri, nak jadi menteri; atau nak bertanding, nak bertanding, nak bertanding, tidak ada seorang pun yang saya lihat konsisten untuk memperjuangkan ekonomi perak ini. Padahal masanya sudah mendesak untuk kita bermula awal, supaya tidak mengalami masalah parah seperti negara sebelah.

Ekonomi perak ini sangat penting, nenek saya dan nenek kamu, pembaca mestilah didedahkan kepada masalah yang dihadapi sebuah negara jiran kita, di mana generasi tuanya tidak lagi punya simpanan (kerana usia lebih panjang daripada jumlah tabungan atau wang saraan) dan terpaksa melawan lesu atau sakit tua untuk terus bekerja.

Harus diingat, bukan semua daripada kita mempunyai anak-anak untuk menjaga kita di usia lanjut kelak. Dan harus diingat, kematian juga tidak datang menjemput yang tua, tetapi juga yang muda. Kita mungkin sebatang kara kelak.

Ekonomi penjagaan atau ekonomi perak ini memerlukan perancangan ultra rapi. Saya melihat Howard mempunyai itu, beliau sudah melihat bagaimana institusi pendidikan negara memerlukan subjek dan latihan untuk melahirkan penjaga secara profesional. Kerajaan perlu menabung dan menjana sekarang untuk melahirkan penjawat awam yang boleh berperanan sebagai penjaga orang tua. Bukan saja orang tua yang terlantar. Dalam hal ini, bukan saja orang tua bujang, ini merangkumi orang tua yang juga punya anak.

Bahkan ekonomi penjagaan ini mestilah mencakupi anak-anak yang terpaksa menjaga ibu atau bapa mereka yang sudah tua. Ada keadaan generasi muda terkesan oleh ketuaan generasi sebelumnya.

Saya pernah mempunyai seorang pelajar PhD yang asyik menangguh pengajian dan nyaris gagal, ekoran sering menangguhkan pengajian dek menjaga ibunya yang sakit. Tidak lama selepas ibunya meninggal dunia, dia terpaksa menjaga bapanya pula. Dia berhenti kerja dan hanya menjual biskut kecil-kecilan untuk menampung sara hidup. Bapanya telah mengeluarkan sebahagian besar simpanan KWSP ketika pandemik dan kini bapanya disahkan menghidap kanser pula. Jika kerajaan ada pelan jelas, pelajar ini juga sewajarnya menerima elaun kerana tidak dapat berfungsi dalam masyarakat.

Akan tetapi, adakah kerajaan Melayu-Islam sekarang mempunyai pelan dan kecanggihan untuk melihat isu ini secara menyeluruh? Saya tidak nampak itu. Pemimpin kita malangnya sedang bercekcokan untuk merebut jawatan.

Adalah malang sekali bakat bekas pelajar saya ini yang boleh dimanfaatkan negara, kini telah terabai. Padahal bapanya, sang warga tua adalah juga rakyat. Howard nampaknya jelas apa yang ingin dicapai. Beliau malah menyarankan pembinaan pusat latihan penjagaan orang tua di Perak, iaitu di Tanjung Malim agar dapat melahirkan pekerja yang mempunyai pengetahuan cukup mengenai warga tua.

“Pelan National Care Economy and Ageing Community Preparedness” atau “Siaga Jaga” beliau ini bukan saja merancang untuk mengangkat sektor penjagaan ini, tetapi telah siap disusun rapi untuk mencapai kapasiti tersebut, melihat keperluan angka penjaga yang munasabah, pencukaian berkaitan dan insentif untuk majikan mengupah dan melatih warga tua yang masih sihat dan kuat kelak.

Maaf, saya belum melihat kesedaran dan kerapian begini dari mana-mana parti lain, kecuali dari DAP. Ada parti kerjanya menyamun wang negara, yang lain hanya layak melebai dan memegang tongkat masjid; kepekaan sebegini datangnya dari akal jernih dan pengalaman meluas yang canggih.

Anak-anak muda patut mengundi DAP dalam PRU mendatang, jika ini menjadi tawaran atau pelan pasca PRU15 gabungan parti PH. Ini kerana, menjelang 2056, mereka sendiri di ambang usia senja, manakala ibu bapa mereka, syukur akan panjang usia dan lebih terjaga. PRU15 ini, jangan perjudikan usia, nasib dan masa depan kalian.

Sudah tiba masanya nenek kita berhenti mengundi parti dan pemimpin yang tidak peduli pun mereka, atau hanya mempedulikan mereka ketika kempen pilihan raya dengan memberi sampul berisi RM200. Nenek kamu dan nenek saya perlu memilih parti dan pemimpin yang dapat menjaga mereka, dan diri kamu (kita) sendiri kelak.

(Artikel tulisan saudara Faisal Tehrani ini asalnya diterbitkan di Free Malaysia Today dan ia diterbitkan kembali dengan izin)

Komen