Mengapa DAP Dan PKR Sering Berbalah?

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin

Persahabatan antara Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) merupakan satu kerjasama yang telah mengubah landskap politik Malaysia.  Sejak Pilihan Raya Umum ke-10 (PRU10) hingga PRU14, kedua-dua parti komited dalam memperjuangkan  keadilan dan perubahan untuk seluruh rakyat Malaysia.

Mereka telah melalui ranjau politik yang sering ditekan oleh pihak lawan. Tekanan politik pihak lawan tidak pernah melunturkan semangat kedua-dua parti, tetapi telah menguatkan lagi perjuangan DAP dan PKR dalam sebuah gabungan parti politik yang berjaya menjadi kerajaan diperingkat negeri sejak 2008.  Kemuncak perjuangan DAP dan PKR tiba apabila Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan persekutuan pada 9 Mei 2018.

Ternyata, DAP dan PKR seperti adik-beradik atau saudara rapat dalam arena politik Malaysia. Walaupun ada sedikit perbezaan kecil seperti ideologi antara PKR (Liberal Demokrasi) dan DAP (Sosial Demokrasi), tetapi kedua-dua parti mempunyai beberapa persamaan seperti parti pelbagai etnik, berpegang kepada perlembagaan persekutuan, mementingkan nilai demokrasi dan anti-rasuah. Persamaan ini telah menyebabkan kedua-dua parti boleh bekerjasama dengan erat hampir dua dekad atas dasar prinsip dan integriti.

Di atas kertas, DAP dan PKR dilihat hampir sempurna. Tetapi, kedua-dua parti juga mempunyai saat-saat yang sukar kerana berbeza pendapat dalam beberapa perkara. Persoalannya, mengapa perbalahan ini sering berlaku meskipun kedua-dua parti mempunyai matlamat dan prinsip yang sama?

Mengapa Berlaku Perbalahan?

Kedua-dua parti sering berbeza pendapat dalam soal pengagihan kerusi pilihan raya. Persaingan untuk mendapatkan kerusi pilihan raya campuran etnik antara punca utama perbezaan pendapat berlaku antara DAP dan PKR.  Bagi mereka, kerusi campuran begitu penting untuk mendapatkan sokongan pengundi pelbagai etnik yang cenderung mengundi DAP dan PKR.

Namun, perebutan kerusi ini selalunya diselesaikan dengan PKR bertanding di kerusi-kerusi campuran dan DAP mendapat kerusi majoriti Cina di kawasan bandar. Aturan ini memberi sedikit kekurangan kepada DAP yang cuba meletakkan calon terbaik di kawasan campuran dan separa bandar bagi memperkukhkan imej parti.  PKR pula tidak menguji kekuatan sebenar apabila begitu selesa bertanding di kerusi campuran berbanding kerusi majoriti Melayu kerana bimbang akan kalah kepada lawan.

Kurangnya persefahaman antara ahli dan pemimpin mengenai peranan parti masing-masing turut menyebabkan perbalahan berlaku. Ada pihak dalam PKR melihat DAP perlu menggantikan MCA dan hanya memberi uslaan berkenaan politik komuniti bukan Melayu. Di pihak DAP pula, kebanyakan ahli dan pemimpin merasakan PKR cuba menjadi ‘abang besar’ dalam gabungan parti seperti UMNO.

Begitu juga kurangnya kerjasama yang erat antara ahli parti di peringkat tempatan atau kawasan. Kedua-dua parti lebih selesa menguruskan cabang dan cawangan parti masing-masing tanpa memikirkan kerjasama antara satu dan yang lain. Perkara ini menyebabkan kerjasama antara DAP dan PKR di peringkat kawasan bersifat ‘one-off’ bagi program tertentu dan masalah mula timbul apabila kedua-dua parti tidak mampu memberi kerjasama sebaik mungkin mengerakkan jentera pilihan raya kerana kurang kesefahaman antara satu dan yang lain.

Apa Selepas Ini?

Saya menganggap perbezaan pendapat antara PKR dan DAP seperti “Biduk Lalu Kiambang Bertaut”, peribahasa yang bermaksud perkelahian antara saudara yang akhirnya akan berbaik semula. Seburuk mana pertelingkahan berlaku, DAP dan PKR masih berupaya mencari titik pertemuan di jalan tengah kerana kedua-dua parti konsisten dalam mempertahankan prinsip dan perjuangan perubahan Malaysia yang lebih baik.

Sekiranya kedua-dua pihak berjaya membina persefahaman yang erat, tentunya gabungan parti seperti PH akan bertambah kukuh dan tidak berhadapan dengan ancaman musuh yang cuba memecah belahkan PH dengan melagakan DAP dan PKR.

Namun, saya tidak tahu sejauh manakah persahabatan DAP dan PKR dapat bertahan dengan mengambil kira perkembangan politik negara yang kian sengit dan kompetitif.

PKR dilihat berada di persimpangan. Selepas Langkah Sheraton, PKR mula lunak dengan UMNO untuk mendapatkan angka bagi menumbangkan kerajaan PN. Aktiviti lompat-melompat parti dalam PKR masih lagi berlaku dan dijangka akan berpenjangan sehingga PRU15. Kini, PKR pula sanggup menerima wakil rakyat parti kawan dalam PH.

Saya tidak tahu, apakah mesej yang mahu diangkat PKR sekarang. Kedudukan PKR yang mesra musuh dan dingin dengan sahabat PH sendiri tentunya tidak disukai oleh DAP dan AMANAH yang sudah menjadi sahabat setia PKR hampir dua dekad.

Apakah PKR sudah mahu menjadi ‘big brother’ seperti UMNO dalam PH? Jika PKR terus lemah dalam menguruskan konflik dalaman dan luaran, tidak hairan jika parti komponen PH akan mencari gabungan politik yang lebih kukuh dan mampu membawa agenda rakyat secara bersama.

Hakikatnya, DAP mahupun parti pembangkang yang sudah lama setia dengan perjuanag reformasi tidak boleh lagi menanggung risiko dan beban percaturan politik yang cuba dimainkan PKR. Krisis PKR juga akan memberi defisit kepercayaan kepada parti-parti pembangkang dan PH yang berusaha untuk menumbangkan kerajaan yang tidak dipilih rakyat.

Janggal sekiranya DAP dan PKR hanya bertahan di tempat yang lama dan sama untuk 10 atau 20 tahun akan datang.  Perkembangan politik selalunya kejam. Tidak semua kawan akan kekal kawan dan tidak semua musuh akan kekal musuh. Tetapi, kerjasama akan berlaku juga sekiranya timbul matlamat yang sama.

Komen