Mengalih Kezaliman Dengan Kezaliman Lebih Besar

“ALLAH telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kalian dan mengerjakan amal-amal soleh bahawa dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh-sungguh dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka, dan dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku. Dan barangsiapa tetap kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik” (An-Nuur 24:55)

Akhlak pemimpin sebenarnya adalah cerminan akhlak masyarakat yang diperintahnya. Jika masyarakat berakhlak buruk, maka manusia berakhlak buruklah yang akan naik ke atas menjadi pemimpin. Begitulah kitaran dalam masyarakat. Masyarakat melahirkan pemimpin seperti adanya.

Pemerintah ibarat pengembala. Apabila arahan pemerintah sekalipun pemerintah yang zalim, tidak dipatuhi, maka tiada lagi undang-undang didaulatkan. Bermulalah bibit-bibit pemberontakan. Akan terlucutlah kambing-kambing gembalaan yang akhirnya akan memudahkan serigala pemangsa memakannya.

Kerosakan dan keburukan dalam masyarakat hari ini adalah menyeluruh. Masyarakat menzalimi diri sendiri, bukan setakat dizalimi pemerintah. Pandanglah sekeliling untuk melihat kehancuran dalam masyarakat jahiliyah moden ini. Nafsu dan cinta dunia menjadi budaya. Masyarakat sedang diglobalisasikan dengan budaya hidup baru. Tamadun Barat yang muflis moral menjadi sumber rujukan utama masyarakat dunia. Manusia semakin jauh daripada mengamalkan nilai-nilai agama. Apabila agama sudah luput dalam masyarakat, jadilah masyarakat itu tanpa panduan, seperti kumpulan haiwan liar yang menurut nafsu. Rasuah, penipuan, judi, arak, syirik, zina, khianat dan pelbagai kemungkaran berleluasa dalam masyarakat.

Dunia ini, seperti yang diumpamakan Nabi Muhammad SAW, adalah bangkai yang tidak cukup sifat, yang terdampar di tepi jalan.

Pemerintah zalim telah jelaslah kezalimannya dan harus ditentang. Masyarakat, yang melupakan agama pula, akan memperjuang kepentingan diri mereka. Maka yang terjadi hanyalah perebutan bangkai. Mereka mudah terhasut dengan cerita rasuah, salahguna kuasa, kekayaan melampau pemimpin dan bermacam perkara lagi yang dibawa pemberontak. Akhirnya perjuangan ini tidak lagi kerana agama, tetapi kerana iri hati, dendam, benci dan percaturan ekonomi.

Dalam sistem demokrasi, ternyata perjuangan hari ini adalah untuk memuaskan kehendak pengundi, bukan lagi perjuangan menyempurnakan akhlak masyarakat seperti yang dilakukan Nabi Muhammad SAW.

Cuba perhatikan. Perjuangan hari ini bukan lagi meminta masjid, misalnya. Masjid telah sedia ada seperti cendawan selepas hujan, malah cantik, moden lagi selesa. Bahkan, masjid yang hanya meriah pada hari Jumaat dan pagi hari-hari perayaan. Manusia telah lalai memakmurkan masjid tersebut pada waktu-waktunya.

Parti-parti politik tidak lagi menjaga kepentingan agama, tetapi menjaga kehendak-kehendak pengundi. Tiada lagi kebenaran agama dilaungkan mereka, melainkan suara kehendak-kehendak masyarakat yang ingin mereka raih undi dalam pilihanraya. Parti-parti ini telah diubah dasar-dasar oleh pengundi, bukan sebaliknya. Mereka telah menjadi pejuang-pejuang duniawi untuk memuaskan kehendak masyarakat demi mendapatkan kekuasaan negara. Mereka mengkompromikan dasar-dasar agama untuk undi.

Parti politik ini pasti akan dikalahkan pemerintah. Sistem demokrasi ada pelbagai kelemahan dan mudah disalahgunakan. Demokrasi pasti lebih memenangkan pemerintah yang memiliki akta-akta undang-undang yang boleh menyekat kebangkitan rakyat. Kepada yang tewas, akhirnya mereka akan memilih cara demonstrasi, yang lambat-laun akan membawa kepada revolusi seperti yang terjadi di negara-negara lain.

Masyarakat menolak kezaliman, tetapi masyarakat juga menzalimi diri sendiri sebagai hamba-Nya. Bagaimana mungkin kita dapat mengalih kezaliman itu, melainkan mengangkat kezaliman lebih besar ke dalam masyarakat. Jika suasana menjadi anarki, akan terbukalah pintu-pintu fitnah yang tidak akan dapat ditutup lagi dan kita semua akan tenggelam punca dan saling menyalahkan. Kita akhirnya akan bercakaran dalam gelapnya fitnah, dan tidak tahu siapa kawan dan lawan.

Masalah dunia hari ini adalah masalah ketaatan kepada agama, yang tidak boleh didapatkan dengan menjatuhkan kerajaan sedia ada dan membentuk kerajaan baru. Jika kerajaan baru ditubuhkan, masyarakat tetap masyarakat yang sama, yang tidak dapat dipuaskan kehendaknya. Kita bukan bersetuju dengan pemerintah zalim, cuma bagaimanakah untuk membetulkan masyarakat selaras dengan fitrah agama. Islam tidak akan bangkit dengan politik demokrasi, apatah lagi dengan revolusi. Islam hanya akan berkembang dengan politik dakwah, tarbiah, tabligh dan pendidikan hati. Membaiki akhlak masyarakat bermula dari individu, kerana masyarakat yang baik secara automatik akan menolak pemimpin dan sistem yang zalim.

Tiada usaha-usaha menyeru dan membawa kepada kebenaran agama. Apa yang ada hari ini adalah perebutan bangkai di kalangan manusia bernaluri binatang yang mengeksploitasi agama dan isu-isu yang dekat dengan rakyat untuk mencapai kekuasaan.

Sekiranya kerajaan yang ada dijatuhkan secara revolusi oleh rakyat, maka rakyat yang sama juga akan menjatuhkan kerajaan yang baru ditubuhkan itu nanti dengan alasan yang sama. Satu siri ulangan tidak berkesudahan.

Malaysia tidak hidup sendirian. Apa yang berlaku di sini adalah penting kepada dunia. Kita kini dalam dunia globalisasi. Kuasa-kuasa besar dunia juga memainkan peranan mereka ke atas seluruh negara di dunia, termasuk Malaysia. Tangan-tangan asing dari luar ini turut mencatur Malaysia. Ini tidak dapat dinafikan. Kuasa-kuasa asing ini diketahui mahu meruntuhkan struktur-struktur masyarakat lama untuk memudahkan kemasukan budaya dan pengaruh dagang mereka yang selama ini dihalang dinding-dinding sekatan ekonomi atau dasar-dasar negara. Ini bukanlah paranoid, tetapi realiti. Kuasa-kuasa asing inilah serigala pemangsa yang menunggu peluang untuk membaham semuanya.

Apabila pemerintah yang zalim ditentang masyarakat yang juga tidak berakhlak, inilah akhir sebuah masyarakat dan negara.

(Artikel ini adalah petikan dari buku Keldai Dan Kitab)

Komen