Meneladani Za’ba: Gagasan “Bergantung Pada Diri Sendiri”

Za’ba atau Zainal Abidin Ahmad, sebuah nama yang tidak asing lagi dalam kalangan rakyat negara ini. Beliau merupakan seorang tokoh yang amat penting untuk kita kenali, khususnya kerana sumbangan yang beliau berikan dalam bidang kebahasaan iaitu Bahasa Melayu. Tanpa beliau, kita pasti akan menghadapi suatu masalah dalam bidang bahasa kerana tidak dapat memperkembangan dan memperbaiki sistem bahasa kita sendiri.

Walaupun beliau banyak menyumbang dalam bidang tersebut, beliau tidak bersikap meninggi diri. Malah, beliau menyatakan bahawa beliau hanya ‘menambah baik’ dan ‘menyusun kembali’ sistem bahasa yang telah dilakukan oleh orang Inggeris pada ketika itu.

Za’ba dikenali ramai kerana sumbangannya dalam bidang kebahasaan, tetapi tidak ramai yang mengetahui atau mencermati karya dan usaha Za’ba di bidang lain. Sebenarnya, sangat banyak sumbangan khususnya dalam bentuk penulisan yang telah diluncurkan oleh Za’ba yang menyinggung mengenai wacana pembangunan dan pembaikan masyarakat. Namun, sisi beliau yang ini jarang sekali diangkat dan dikedepankan kepada mata dan telinga umum.

Antara buku beliau yang banyak dibicarakan, dan diterbitkan hanya selepas 9 tahun beliau meninggal dunia adalah karya “Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri” yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1982. Buku ini dikatakan diterbitkan hanya selepas Za’ba bertemu dengan Pencipta kerana beliau tidak mahu menyebabkan kontroversi khususnya dalam kalangan kelompok elit Melayu dan masyarakat Melayu sendiri umumnya. Hal ini lantaran tulisan yang dimuatkan dalam manuskrip tersebut banyak menyampaikan sudut pandang beliau yang agak ‘pedas’ untuk ditelan oleh masyarakat Melayu.

Walaupun demikian, atas keizinan waris beliau, buku tersebut berjaya menembusi rumah penerbitan dan berada di tangan sesetengah daripada kita yang berminat dengan karya yang kritis.

Di dalam buku ini, banyak perkara yang disinggung oleh Za’ba terutamanya melibatkan pembangunan orang Melayu. Za’ba menjelaskan bagaimana sudut pandangan masyarakat Melayu yang ‘kebiasaan’ sehingga menyebabkan mereka ini menjadi kelompok yang seringkali melarat dalam ranah kemiskinan. Selain itu, Za’ba tidak hanya menyampaikan nada kritikannya terhadap masyarakat Melayu, tetapi menyuluh juga jalan keluar kepada mereka daripada belenggu kemiskinan yang semakin parah.

Gagasan besar yang dikedepankan oleh Za’ba adalah “Bergantung pada diri sendiri” yang merupakan serangan terhadap perangai “Bergantung pada orang lain” yang menurutnya sering ditemukan dalam diri masyarakat Melayu. Gagasan ini pada pandangan penulis amat relevan untuk kita pegang bersama bagi memastikan kemajuan dan pembangunan negara dapat dicapai dengan jayanya.

Penulis ingin menyentuh mengenai gagasan “Bergantung pada diri sendiri” dalam konteks kelimuan, berfikir dan beragama. Kita tahu bahawa perangai bergantung pada orang lain ini merupakan suatu perangai yang akhirnya memakan diri kita sendiri. Lantas, demikian jugalah ia akan memakan diri kita apabila terlalu bergantung pada orang lain untuk ilmu, berfikir dan beragama.

Hal inilah yang telah dikritik keras oleh Za’ba yang pada beliau merupakan suatu perangai utama yang menyebabkan kemunduran khsusunya dalam konteks masyarakat Melayu. Berilmu, berfikir dan beragama merupakan hal yang amat penting buat seseorang manusia. Manusia mempunyai tingkat darjat yang lebih tinggi berbanding makhluk lainnya kerana kelebihan manusia untuk menggunakan akalnya. Apabila manusia tidak menggunakan akal fikirannya dengan baik dan sepenuhnya, hanya bergantung pada orang lain, inilah yang dinamakan sebagai dehumanisasi yang bertentangan dengan saranan agama.

Za’ba menekankan adalah penting untuk setiap orang berusaha sendiri dalam mendapatkan ilmu. Ilmu yang melata di muka bumi ini amat pelbagai, adalah wajib pula untuk kita menuntut berkaitan ilmu yang dekat dengan praktikal kita sehari-hari misalnya ilmu agama. Adalah tidak molek untuk kita bergantung sepenuhnya kepada orang lain dalam hal ilmu. Ini kerana akan menyebabkan kita hanyut jauh dari budaya yang penting buat umat manusia menyuburkan erti kemanusiaan, iaitu budaya berfikir.

Kerana itu, beliau gagaskan berkaitan “Bergantung pada diri sendiri” supaya budaya ilmu dan berfikir dapat dipupuk untuk membawa pengakhiran yang baik dalam kehidupan bagi menghadapi era pemodenan yang pantas. Di dalam buku beliau ini, turut dimuatkan sebuah bab yang membincangkan berkaitan “Bersendiri pada ilmu dan amalan” yang banyak mengupas berkaitan perlunya seseorang mendapatkan ilmu dengan usaha sendiri.

Beliau amatlah kuat menentang perangai bergantung pada orang lain dan keras pula mengkritik budaya bertaklid tanpa ilmu. Kebergantungan kita kepada orang lain semata-mata, tanpa berusaha untuk mengeluarkan diri daripada wilayah ‘tidak tahu’ akan memakan diri. Perangai inilah yang akhirnya akan menyebabkan diri kita mudah diperbodoh dan menyebabkan kita taksub kepada seseorang. Kita tidak membiasakan diri untuk berdialog atau mencari sendiri ilmu, tetapi hanya membiasakan diri bergantung pada orang lain yang dikatakan lebih berilmu. Perangai sebegini beliau samakan seperti “kutu di atas kepala” yang hanya memanfaatkan yang sedia ada tanpa berusaha mewujudkan manfaat kepada dirinya sendiri, bergantung dengan sesuatu yang bersifat magis dan hanya menanti sesuatu kebaikan itu datang kepadanya.

Demikianlah perkongsian pendek penulis berkaitan gagasan “Bergantung pada diri sendiri” yang diketengahkan oleh Za’ba. Walaupun penulis tidak memperincikan segala perbahasan beliau, sekurangnya dapat menimbulkan rasa ingin tahu dan ingin mencermati sendiri karya tersebut dalam kalangan pembaca. Moga perangai bergantung pada orang lain dapat dihapuskan dan perangai bergantung pada diri sendiri dapat disuburkan dalam diri kita.

(Artikel ini adalah tulisan Izzat Dahelan dan tidak semestinya mencerminkan pandangan pihak Solidaritas)

Komen