Mencari Toruk Makto Politik Malaysia

Saya baru sahaja selesai menonton kembali filem Avatar arahan James Cameron, sebagai persediaan untuk sekuel Avatar 2 yang dijangka akan ditayangkan pada tahun 2022. Walaupun Avatar kali pertama ditayangkan pada tahun 2009, ia masih segar dan relevan untuk tontonan hari ini. Bahkan, teknologi sinematografi dan kesan khas yang digunakan dalam filem lebih 10 tahun lamanya itu masih tampak moden dan setaraf dengan filem-filem masa kini, termasuklah dari francais Marvel Cinematic Universe.

Mesej yang dibawa oleh Avatar pada pandangan saya adalah tentang alam. Lupakan kisah percintaan atau peperangan yang merupakan sebahagian dari rencah filem itu, tapi lihat pada mesej utama tentang alam sekitar yang dibawa oleh Avatar. Dan di dalam Avatar juga, ketika nasib Na’vi iaitu penduduk asal bulan Pandora dan alam semulajadi ulan itu berada dalam marak bahaya, muncul seorang pahlawan yang menyatukan umat dan alam dalam perjuangan menentang kuasa jahat dan penindasan.

Pahlawan yang dimaksudkan adalah Toruk Makto, satu gelar yang diberikan kepada mana-mana wira yang mampu menunggang haiwan seperti naga iaitu Great Leoneptryx. Toruk Makto dihormati oleh semua Na’vi dan lazimnya merupakan simbol yang akan menyatu padukan kesemua puak-puak Na’vi ketika waktu kesedihan atau kesusahan. Dalam filem Avatar, Jake Sully menjadi seorang Toruk Makto dan beliau kembali untuk menyatukan semua Na’vi bagi melawan kolonialis manusia yang mahu menjarah Pandora dan segala hasil alamnya.

Menghayati kisah Toruk Makto, kesusahan bangsa Na’vi dan ancaman ke atas Pandora; mengingatkan saya pula tentang apa yang berlaku dalam negara kita sekarang. Malaysia kini sedang berdepan ancaman juga, bukan sahaja dari Covid-19 tetapi juga ancaman ke atas ekonomi, demokrasi dan hak-hak rakyat. Seperti Pandora yang dijarah manusia, Malaysia kini dijarah oleh Perikatan Nasional (PN) satu perikatan melibatkan pengkhianat dan penunggang agama yang sanggup melakukan apa sahaja demi kuasa dan wang. Justeru di dalam saat kesusahan yang besar ini, rakyat Malaysia sedang ternanti-nanti siapakah perwira yang dapat bangun menyatukan semua rakyat dalam melawan kebobrokan pemerintah PN yang tiada sempadan jahatnya.

Kita sebenarnya memerlukan Toruk Makto politik untuk negara kita. Seorang pemimpin politik yang boleh menyatukan semua parti-parti politik untuk melawan PN.

Tapi siapakah beliau yang boleh menjadi Toruk Makto politik Malaysia?

Berfikir demikian, saya cuba menyenaraikan satu persatu pemimpin parti politik yang boleh melawan mereka yang berada di dalam PN.

Zahid Hamidi, UMNO

Nama pertama yang terlintas adalah Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi.

Secara tradisi, hampir semua Perdana Menteri sebelum ini adalah dari parti UMNO dan ini memberi petanda betapa besarnya pengaruh UMNO dalam politik Malaysia.

Namun begitu, UMNO di bawah Zahid adalah ibarat harimau tua yang terluka. Dalam Dewan Rakyat, Zahid dan UMNO hanya memiliki 35 kerusi. Dicampur dengan kerusi dari rakan sekutu Barisan Nasional (BN), jumlah besarnya 39 kerusi.

Angka ini jauh dari mencukupi untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah. Maka Zahid perlu menarik sokongan dari parti lain dan ianya hanya boleh tercapai jika jiwa Toruk Makto ada dalam diri beliau.

Akan tetapi, umum menyedari UMNO kini bukan sahaja harimau tua yang terluka, tetapi juga ibarat retak menanti belah. Dalam UMNO, ada pelbagai faksi dengan sokongan politik berbeza. Ada di antaranya, terang-terang menyokong PN.

Jelas, Zahid Hamidi bukanlah calon Toruk Makto yang kita cari.

Mahathir Mohamad, PEJUANG

Mantan Perdana Menteri ke-4 dan ke-7 ini walaupun sudah senja, tetapi masih punyai pengaruh yang luas. Ketika menjadi Presiden UMNO, beliau meletakkan parti itu pada kedudukan terkuat dalam sejarah yang hingga kini tidak dapat ditandingi oleh pemimpin selepasnya. Ketika menjadi Pengerusi BERSATU, beliau menjadi simbol penyatuan yang membantu kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam PRU14. Mahathir boleh sahaja kita anggap pernah menjadi Toruk Makto ketika bergelar PM4 atau PM7.

Walaupun begitu, Mahathir dan PEJUANG hanya memiliki 4 kerusi dalam Dewan Rakyat dan walaupun mungkin pernah menjadi Toruk Makto, tidak nampak beliau mampu melakukannya sekali lagi.

Sudah banyak pihak lain dalam politik yang serik dengan Mahathir, terutamanya dari PKR. Untuk kembali memberikan kepercayaan kepada Mahathir sebagai perwira adalah sesuatu yang sukar buat mereka. Begitu juga di kalangan UMNO yang berdendam tidak sudah dengan peranan Mahathir menjatuhkan BN pada PRU14.

Kesimpulannya, Mahathir mungkin pernah menjadi Toruk Makto tetapi kita semua tahu zaman itu sudah berlalu.

Shafie Apdal, WARISAN

Shafie Apdal mungkin boleh menjadi Toruk Makto yang kita cari. Kejayaan beliau dalam PRU14 menumbangkan kerajaan negeri BN di Sabah dengan parti WARISAN yang masih baru merupakan satu kisah epik yang menjadi ingatan ramai.

Tetapi, ramai juga antara kita yang ingat bagaimana Shafie dan WARISAN gagal dalam PRN Sabah 2020 sekaligus tidak berjaya menghalang rampasan oleh PN dan sekutunya. Kekalahan itu membawa amaran bahawa sokongan ke atas WARISAN sudah sedikit terhakis pasca PRU14.

Persoalan tentang WARISAN yang juga merupakan sebuah parti kenegerian di Sabah dan bukannya parti di peringkat kebangsaan juga menimbulkan kesangsian tentang upaya Shafie menggembleng sokongan semua pihak. Dengan hanya 8 kerusi dalam Dewan Rakyat, pengaruh WARISAN di luar Sabah sangat terhad.

Bagaimana mungkin Shafie boleh dilihat semua sebagai Toruk Makto yang mampu bangkit melawan PN?

Anwar Ibrahim, PKR

Calon Toruk Makto politik Malaysia yang terakhir dan mungkin satu-satunya harapan kita.

Anwar Ibrahim dari segi ketokohan dan pengaruhnya jelas adalah lawan yang setaraf buat Muhyiddin Yassin dan konco PN. Dengan jumlah kerusi dalam Dewan Rakyat sebanyak 35 (47 kerusi sebelum pengkhianatan Langkah Sheraton), Anwar mempunyai upaya untuk menjadi Toruk Makto yang menyatukan semua parti politik yang menentang PN.

Malahan, desas-desus perbincangan Anwar dan UMNO untuk menumbangkan PN adalah bukti pengaruh beliau melebihi dari kelompok PKR dan PH. Anwar masih ramai kawan dalam UMNO, dan ia boleh menjadi aset penting menarik sokongan UMNO.

Pada masa yang sama, di sebalik sedikit perselisihan yang ada, Anwar masih dihormati dalam PH oleh dua parti komponen lain, DAP dan AMANAH. Anwar juga dilihat tidak mempunyai masalah jika mahu menarik sokongan WARISAN atau jauh lebih menarik, sokongan dari Gabungan Parti Sarawak atau GPS.

Lantaran itu, jelas Anwar mungkin perwira Toruk Makto yang kita cari. Apa yang beliau perlukan mungkin sesuatu yang boleh menimbulkan rasa hormat dan bertindak sebagai simbol penyatuan semua parti politik. Dalam Avatar, sesuatu yang dimiliki oleh Jake Sully itu adalah Great Leoneptryx.

Buat Anwar, beliau tidak memerlukan haiwan hebat dan gah seperti itu. Tapi yang Anwar perlukan ialah karisma atau aura kepimpinan. Ini yang akan meletakkan Anwar sebagai perwira Toruk Makto politik Malaysia, dan seterusnya menjadi satu-satunya perwira yang membawa gabungan semua parti politik lain dalam melawan PN.

Persoalannya, adakah Anwar berani menjadi Toruk Makto yang kita perlukan?

Komen