Mencari Persamaan Dalam Semangat Merdeka

Tarikh 31 Ogos adalah suatu tarikh keramat bagi negara kita Malaysia. Pada tarikh inilah menjadi saksi merdekanya sebuah negara dari cengkaman penjajah yang berabad lamanya. Tarikh ini jugalah yang menjadi saksi terbentuknya sebuah negara berbilang bangsa, kaum dan agama.

Pada tahun ini, negara kita sudah menginjak usia 64 tahun kemerdekaan. Usia yang sepatutnya sudah matang dalam pelbagai urusan dan kepentingan. Kalaulah diibaratkan kepada manusia, usia 64 tahun itu bermaksud usia yang emas, pasti bernilai dengan 1001 pengalaman, pengajaran yang boleh diambil sebagai peringatan dan teladan.

Kemerdekaan yang negara kecapi hari ini adalah kerana gandingan bahu semua kaum yang terdapat dalam Malaysia. Malaysia adalah negara kita bersama, bukan milik satu bangsa atau kaum tetapi Malaysia adalah milik bangsa Malaysia. Janganlah dipecahkan kesatuan ini. Jangan dirosakkan semangat persaudaraan sesama bangsa Malaysia.

Semangat ini juga yang dibawa oleh DAP sepanjang sejarah perjuangannya di Malaysia. Kami menerapkan ideologi yang sama antara semua di samping menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara dan prinsip lain yang terkandung dalam perlembagaan Malaysia. Kami memperjuangkan satu negara yang bermartabat tinggi, demokratik, adil, peduli serta progresif untuk semua rakyat Malaysia. Inilah halatuju kita.

Mengambil semangat kemerdekaan inilah maka DAP Kedah menyeru seluruh warga Malaysia agar terus kekal bersatu padu, ketepikan perbezaan sesama sendiri serta bergeraklah sebagai satu keluarga dan saudara senegara. Bersama-samalah kita berjuang untuk membangunkan kembali negara yang hampir musnah akibat dilanda pandemik Covid-19.

Terima kasih Tunku Abdul Rahman, Tun V.T. Sambanthan dan Tun Tan Cheng Lock yang menjadi arkitek pembinaan jambatan perpaduan sehingga negara berjaya mendapatkan kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos 1957. Menjadi tanggungjawab kepada kita yang mewarisi kemerdekaan tersebut mengisinya dengan sebaik mungkin.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Komen