(Artikel ini asalnya ditulis pada 25 Oktober 2010 di blog Trankuiliti Tronoh dan diterbitkan di dalam buku Maaf Aku Bukan Lagi Leon Trotsky Kamu Semua pada tahun 2012. Ia diterbitkan sekali lagi di laman Solidaritas bersempena rasminya bangunan Merdeka 118 yang kini menjadi bangunan kedua tertinggi di dunia)
KATAKANLAH, aku ini seorang Presiden Ecuador yang merupakan salah satu negara pengeksport pisang utama di dunia. Sebagai seorang Presiden aku mahu lakukan sesuatu untuk menempa nama sendiri dan menjadi mercu tanda kebanggaan Ecuador. Dengan girangnya aku mengumumkan pembukaan ladang pisang baru seluas 100,000 hektar yang menjadikannya salah satu ladang pisang terbesar di dunia.
Masalahnya, ketika aku mengumumkan projek ladang mega ini, permintaan pasaran pisang dunia hanya pada kadar 8 juta tan metrik setahun. Sedangkan bekalan pisang dunia dari Ecuador dan negara-negara pengeksport pisang lain mencecah hingga 10 juta tan metrik setahun.
Maka negara pengeksport lain menyuarakan rasa tidak puas hati. Pembukaan ladang mega ini nanti hanya akan menjejaskan harga pisang dunia. Akan ada lambakan pisang di pasaran kata mereka.
Tapi aku peduli apa? Ini negara Ecuador aku yang punya. Tambahan pula cadangan ladang mega ini datang dari sebuah syarikat bernama Syarikat Pisang Awak Sdn Bhd. Mereka akan melabur dalam sektor pisang dan yakin pelaburan mereka adalah satu langkah yang bijak. Duit mereka, peduli apa kata mereka.
Maka projek ladang mega diteruskan. Lima bulan kemudian bila ianya mengeluarkan hasil, bekalan pisang dunia mencecah hingga 12 juta tan metrik setahun sedangkan permintaan hanya meningkat kepada 9 juta tan metrik setahun. Harga pisang jatuh, ada lambakan pisang di pasaran dan bukan saja Ecuador malahan negara pengeksport pisang yang lain turut terjejas. Syarikat Pisang Awak Sdn Bhd terpaksa beri pisang percuma kepada ungka, beruk, babun dan siamang di zoo.
Itu contoh pisang. Sekarang kita cuba bawa kepada senario yang lebih kompleks lagi.
Ada berapa banyak ruang pejabat di Kuala Lumpur?
Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta menyatakan ada sejumlah 72.67 juta kaki persegi ruang pejabat di Kuala Lumpur pada masa ini. Sebanyak 58.51 juta kaki persegi telah dihuni, yakni pada kadar 80.51%. Itu bermakna Kuala Lumpur ada lebihan 19.5% ruang pejabat kosong.
Menara Warisan Merdeka yang kosnya mencecah RM5 bilion dijangka menyediakan tambahan sebanyak 3 juta kaki persegi ruang pejabat lagi. Itu belum campur dengan projek bangunan pejabat yang lain.
Kadar hunian ruang pejabat di Kuala Lumpur hampir mencecah 100% sebelum krisis kegawatan ekonomi tahun 1997. Apabila gawat berlaku, kebanyakan syarikat asing menutup operasi mereka dan pada tahun 1998 pula, Menara Petronas siap dibina dengan sejumlah 4 juta kaki persegi ruang pejabat baru.
Semenjak dari tahun tersebut, kadar hunian hanya berlegar di sekitar paras 75% hingga 85% sedang penyediaan ruang pejabat di Kuala Lumpur kekal bertambah secara konsisten (sekitar 40 juta kaki persegi pada 1997 meningkat kepada sekitar 70 juta kaki persegi pada masa ini).
Dalam pembentangan Bajet 2011 telah disebut Menara Warisan Merdeka yang dibangunkan PNB bakal siap pada 2015. Mungkin pada masa itu ruang pejabat Kuala Lumpur hampir mencecah 80 juta kaki persegi. Persoalannya, adakah kadar permintaan dan hunian ruang pejabat akan meningkat paling tidak sekitar 90% menjelang 2015?
Apa mahu peduli? Duit PNB jadi itu kiranya PNB punya pasal. Sama macam kes Ecuador dan pisang tadi. Tapi kenapa isu ini menjadi sangat kecoh?
“Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2011 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu”.
Ayat di atas adalah ayat yang sama disebut setiap kali bermulanya pembentangan bajet. Yang bertukar hanya tahun.
Dibaca sepintas lalu apa yang boleh kita faham ialah sejumlah wang dari satu simpanan akan digunakan untuk satu tahun tertentu. Jadi apa saja jumlah wang yang disebut dalam bajet merujuk khusus kepada sejumlah wang dari simpanan tersebut.
Bila RM5 bilion disebut sebagai nilai projek Warisan Merdeka kita tidak akan terfikir wang dari sumber yang lain melainkan Kumpulan Wang Disatukan. Ketika bajet dibentang, ada disebut bahawa “Permodalan Nasional Berhad akan mula membangunkan projek bersepadu” tersebut.
“Mula membangunkan” lebih berbunyi kepada memajukan atau menguruskan projek. Ia seperti Ahmad bercadang membina rumah bernilai RM250 ribu dan Syarikat Pembinaan Ah Fat bakal menbangunkan rumah tersebut. Ahmad keluar RM250 ribu dapat rumah, Ah Fat buat rumah dapat RM250 ribu.
Maka sehari selepas pembentangan bajet, 1Malaysia kecoh dengan projek menara 100 tingkat mercu tanda negara. Kerana 1Malaysia terbayang senario sama seperti Ahmad dan Ah Fat. Yang pertama terbayang kepada kita ialah kerajaan keluar RM5 bilion yang bakal dinikmati oleh PNB.
Jangan bazirkan duit rakyat, kata 1Malaysia.
Makanya kenyataan baru dikeluarkan. Idea menara 100 tingkat mercu tanda negara ini adalah dari PNB dan mereka sendiri yang bakal mengeluarkan wang berjumlah RM5 bilion. Kerajaan tidak perlu berbelanja satu sen pun.
Soalnya, jika benar kenapa perlu disebut dalam bajet yang khusus untuk membincangkan tentang hanya dan hanya wang dari Kumpulan Wang Disatukan?
Misteri nusantara di situ.
Baiklah, PNB yang bakal mengeluarkan wang dari poket mereka sendiri. Sejumlah RM5 bilion kesemuanya. RM5 bilion ini ciput saja nilainya buat PNB yang mempunyai dana sejumlah RM150 bilion di bawah seliaan mereka. Ya, RM150 bilion kekayaan hasil dari pelaburan amanah saham oleh 1Malaysia.
1Malaysia kecoh lagi. PNB adalah sebuah syarikat pengurusan dana. Sebahagian besar darinya adalah dana amanah saham yang dilanggan oleh 1Malaysia. 1Malaysia tidak mahu wang pelaburan amanah saham mereka digunakan untuk membina menara 100 tingkat mercu tanda kebanggaan negara, biarpun hanya RM5 bilion dari jumlah besar RM150 bilion.
Makanya satu lagi kenyataan baru dikeluarkan, kali ini oleh PNB. Wang RM5 bilion ini bukan dari wang pelaburan amanah saham tetapi dari wang terkumpul hasil urus niaga PNB selama ini. Maknanya mungkin lebihan dari pembayaran dividen yang dibuat mereka kepada pemegang amanah saham setiap tahun.
Maka kita kembali kepada, apa mahu peduli? Itu duit PNB dan lantak PNB apa yang dia mahu buat dengan duit itu. Kita tidak tahu apa strategi dan wawasan PNB. Mungkin mereka nampak apa yang kita semua tidak nampak, macam Kuala Lumpur bakal melalui era ‘property boom’ dalam tempoh 5 tahun lagi maka atas sebab itu PNB perlu bersedia dengan menara 100 tingkat mercu tanda kebanggaan negara.
Paling tidak, seandainya jangkaan PNB meleset, mereka boleh saja menggunakan 20 tingkat untuk ruang pejabat mereka sendiri dan gunakan 80 tingkat yang lainnya untuk industri penternakan sarang burung Walit.
Manalah tahu, lepas ini kita boleh pula mempunyai ASBW, Amanah Saham Burung Walit. Kah, kah, kah!

Lucius Maximus adalah seorang penulis dengan tiga buku setakat ini, Cerita Piala Dunia 2010, Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia dan Maaf Aku Bukan Lagi Leon Trotsky Kamu Semua. Beliau aktif berkicau di Twitter dalam isu-isu yang mendesak.