Menanti Kelahiran Perdana Menteri Wanita Pertama Malaysia

Pepatah lama ada menyebut “tangan yang mengayun buaian dapat menggoncang dunia”. Pepatah ini secara langsung merujuk kepada sifat wanita, walaupun lemah lembut tapi mampu menyumbangkan tenaga dan idea untuk membangunkan negara atau pun untuk melaksanakan kerja-kerja yang sukar. Tidak dinafikan dalam dunia yang serba maju dan berkembang ini, banyak kerjaya dan bidang yang dipelopori oleh lelaki sudah mula diceburi oleh wanita. Antaranya ialah bidang kejuruteraan, penerbangan, perubatan, bidang astronomi dan juga politik.

Di Britain, pada tahun 1979, Margaret Thatcher telah diangkat menjadi Perdana Menteri wanita pertama negara itu. Beliau juga adalah Perdana Menteri yang paling lama berkhidmat di negara tersebut. Seorang wartawan Soviet pernah menggelarkan Thatcher sebagai “Iron Lady” atau wanita besi kerana sifat tegas dan cara beliau menangani konflik perang dingin. Sebagai Perdana Menteri, Thatcher telah memperkenalkan polisi yang kemudiannya dikenali sebagai Thatcherism. Beliau telah berjaya memenangi Perang Falklands dan berjaya membawa ekonomi Britain yang pada masa itu mengalami kemerosotan yang teruk dengan kadar pengangguran yang sangat tinggi kembali pulih justeru melayakkan beliau memenangi pilihan raya dan menjadi Perdana Menteri pada penggal kedua.

Beberapa minggu yang lalu dunia menyaksikan kemenangan kedua Jacinda Ardern yang juga merupakan kemenangan besar beliau dalam pilihan raya New Zealand yang melayakkan Ardern menjadi Perdana Menteri negara Kiwi itu untuk penggal yang kedua. Sewaktu menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri buat penggal yang pertama, Ardern yang merupakan wanita termuda pertama yang menjawat jawatan tersebut menempuh pelbagai dugaan untuk memimpin negara itu. Antara yang paling mendapat perhatian dunia ialah apabila berlakunya peristiwa tembakan di sebuah masjid di Christchurch yang mengorban 51 nyawa dan terbaru ialah ancaman pandemik Covid-19 yang dirasai kesannya di seluruh dunia. Namun, Ardern begitu cemerlang menangani setiap episod hitam yang menimpa New Zealand. Beliau juga berjaya memperkenalkan beberapa rang undang-undang baru yang membawa kebaikan dan perubahan untuk penduduk negara tersebut dari segi sosial dan ekonomi. New Zealand kini antara negara yang bebas ancaman pandemik Covid-19 dan ia adalah kerana tindakan cemerlang dan cekap Ardern dalam menangani krisis.

Ardern di dalam satu wawancara akhbar pernah mengakui naluri dan sifat simpati serta empati yang beliau ada – sifat yang merupakan anugerah semulajadi yang ada di dalam diri seorang wanita, telah menjadikan beliau seorang yang peka dengan keadaan sekeliling dan sedikit sebanyak membantunya membuat keputusan. Namun pada pendapat saya, keadaan sosial di New Zealand juga pada sedikit sebanyak menyumbang kepada kelahiran Jacinda Ardern di dalam bidang politik New Zealand. Masyarakat di New Zealand lebih terbuka dengan idea mempunyai seorang wanita sebagai pemimpin dan Perdana Menteri. Begitu juga dengan masyarakat di Britain pada tahun 1979 yang mana mereka terbuka menerima Thatcher sebagai seorang Perdana Menteri. Perkara ini adalah suatu idea yang agak terlalu radikal untuk diterima di negara kita.

Sejak dari kemenangan kedua beliau, ramai warganet mula bertanya-tanya adakah Malaysia mempunyai sosok yang boleh menandingi kelebihan Ardern di negara ini. Jawapannya sudah tentulah ada! Malaysia mempunyai ramai wanita-wanita terutamanya wanita muda yang bijak dan berbakat dalam bidang politik serta mempunyai bakat kepimpinan yang tinggi. Namun mengapa agak susah untuk kita menemukan sosok seperti Jacinda Ardern mahupun Margaret Thatcher di negara kita ini? Ini adalah pandangan peribadi saya yang meminati dan secara tidak sengaja terjebak dalam bidang politik Malaysia. Sejujurnya di Malaysia masyarakat kita masih lagi tidak begitu berfikiran terbuka, di mana masyarakat kita masih lagi terikat dengan adat dan tradisi lama terutamanya masyarakat Melayu yang masih sedikit sebanyak mendukung ideologi patriarki dalam kehidupan seharian.

Kebanyakan wanita terutamanya wanita muda kurang diberikan peluang untuk menjadi pemimpin atas sebab stereotaip di dalam masyarakat kita yang menolak seorang wanita menjadi pemimpin terutamanya untuk memimpin sesuatu organisasi apatah lagi sebuah negara. Bagi saya sejajar dengan perkembangan dunia masa kini, tidak salah jika kita memberikan ruang dan peluang untuk golongan wanita di Malaysia menunjukan bakat mereka memimpin dan menggubal dasar untuk negara ini. Tetapi malangnya untuk menjawat jawatan tertinggi di dalam parti politik sahaja sudah menjadi sesuatu yang amat sukar buat golongan wanita.

Golongan wanita kurang menjawat jawatan tinggi di dalam parti masing-masing kerana mereka kurang mendapat kepercayaan daripada perwakilan yang mengundi dan kepimpinan parti juga tidak mempunyai kecenderungan untuk melantik mereka untuk menjawat jawatan tertinggi di dalam parti. Ia bukan satu kebiasaan untuk wanita berjawatan tinggi seperti Naib Presiden apatah lagi menjawat jawatan Presiden parti di negara ini. Golongan wanita hanya boleh bersandarkan kepada sayap-sayap parti khusus untuk wanita ataupun khusus untuk lingkungan umur mereka.

Memetik kata-kata Nur Qyira Yusry, salah seorang pengasas Undi18 di dalam satu webinar baru-baru ini;

“Kita tidak boleh hanya mempunyai sayap-sayap wanita di dalam parti politik dan tidak memberikan mereka peluang untuk meningkat naik. Ia bukannya memberikan tempat percuma, tetapi memberikan peluang sama rata kepada mereka untuk perkembangan dan sifat kepimpinan.”

Nur Qyira juga menambah antara salah satu halangan bagi wanita yang menyertai bidang politik ialah mereka tidak dilihat sebagai salah satu aset dan pendukung politik. Nur Qyira dalam webinar yang sama mengatakan golongan wanita sering diberikan kepercayaan untuk menjalankan gerak kerja di peringkat akar umbi, namun agak sukar untuk mereka diletakkan sebagai muka hadapan parti. Jika kita lihat kekuatan pada parti UMNO adalah pada jentera Wanita UMNO mereka. Jika Wanita UMNO ini lumpuh, maka lumpuhlah gerak kerja akar umbi parti tersebut. Namun berapa ramai ahli Wanita UMNO yang menjadi Ahli Majlis Tertinggi parti tersebut?

Golongan wanita yang menyertai politik juga sering diejek dan diperkecilkan oleh golongan lelaki yang mendominasi dunia politik ini. Ini sedikit sebanyak merencatkan hasrat wanita-wanita untuk meneruskan cita-cita di dalam bidang politik. Saya sendiri pernah diberi nama gelaran yang kurang enak kerana bersikap terlalu tegas oleh rakan-rakan seperjuangan lelaki saya di parti terdahulu. Hal ejek-mengejek ini bukan sahaja berlaku di peringkat bawahan, bahkan hal ini juga berlaku di dalam persidangan Dewan Rakyat pada bulan Julai baru-baru ini apabila ahli parlimen Baling, Datuk Seri Azeez Rahim secara terang-terang mengeluarkan kenyataan berbaur seksis dan rasis kepada ahli parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto. Sebabnya saya rasa sama seperti apa yang terjadi kepada saya – Kasthuri agak tegas dan lantang dalam menyuarakan pendapat beliau sewaktu sidang yang kecoh kerana pertukaran Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat pada masa itu. Jika direnungkan daripada peristiwa ini, sebilangan besar kaum lelaki yang bermain politik seperti tidak boleh menerima kehadiran wanita di dalam dunia politik. Mungkin mereka berasa sedikit tercabar dengan kehadiran wanita yang tampak lebih berkredibiliti dan mempunyai daya saing juga mampu berfikir di luar kotak. Masihkah anda ingat bagaimana ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang pada waktu beliau menjawat jawatan sebagai Menteri Industri Utama diejek saban hari di Parlimen dan di media sosial kerana idea beliau untuk mempromosikan minyak kelapa sawit dan menjadikan buluh sebagai salah satu alternatif tanaman utama negara. Kini idea itu pula dikitar semula oleh menteri terkini.

Jika masyarakat kita masih terperuk dengan pemikiran begini, pada pendapat saya kita tidak mungkin akan mencipta sejarah mempunyai Perdana Menteri wanita yang pertama dalam jangka masa 10 hingga 20 tahun akan datang. Atau mungkin selamanya! Belum lagi kita bercerita pula dengan golongan yang menunggang agama yang sememangnya menggunakan agama untuk menghalang perkembangan wanita dan penglibatan wanita sebagai seorang pemimpin. Mereka seakan-akan lupa bahawa isteri kepada baginda Rasullulah saw, Saidatina Khadijah binti Khuwaylid adalah seorang wanita hebat yang merupakan seorang ahli perniagaan berjaya sewaktu beliau bertemu dengan baginda Rasullulah. Ia bukti bahawa wanita boleh memimpin sejak dari zaman Rasullulah saw lagi.

Golongan wanita jika diberikan platform yang betul dan sesuai, pasti akan menyerlah dan akan memberikan yang terbaik. Sebagai contoh kita lihat Young Syefura Othman dan Lim Yi Wei yang kedua-duanya adalah ahli dewan undangan negeri di Pahang dan Selangor yang tidak henti bekerja demi rakyat dan masyarakat setempat di DUN mereka. Begitu juga dengan wakil rakyat wanita yang lain. Wakil rakyat wanita tampak lebih rajin turun padang mendengar keluh resah rakyat di dalam kawasan mereka. Segala masalah yang dikemukakan kepada mereka akan mereka cuba sedaya dan upaya mereka untuk menyelesaikannya – bahkan ada masalah yang bukan untuk perhatian mereka juga, tetap dibantu untuk menyelesaikannya demi kesejahteraan rakyat. Ia sejajar dengan sifat semulajadi wanita yang peka dan prihatin dengan orang dan keadaan sekeliling. Wanita juga adalah golongan yang cekap yang mampu melakukan pelbagai tugasan dalam satu masa. Selain dari menjadi wakil rakyat, ada di antara mereka menjadi suara kepada perjuangan untuk beberapa masalah sosial yang berkaitan dengan rakyat seperti isu kesihatan mental, isu keganasan domestik, isu-isu yang berkaitan dengan wanita, kanak-kanak dan belia dan pelbagai lagi.

Namun masyarakat kita masih tidak boleh menerima wanita seperti Young Syefura, Hannah Yeoh, Lim Yi Wei, Teo Nie Ching, Nurul Izzah dan ramai lagi wanita yang berbakat besar dalam bidang politik juga kepimpinan menyerlah menjadi pemimpin di negara ini. Salah satu perkara yang selalu membelenggu golongan wanita yang bergiat dalam bidang politik ialah gangguan seksual dan ugutan seperti ugutan bunuh dan mencederakan. Apabila hal begini disuarakan secara terbuka, ramai termasuk juga golongan wanita yang tidak bergiat dalam bidang politik memberikan pendapat bahawa gangguan sebegini adalah lumrah jika berkecimpung di dalam bidang politik. Melihat sikap masyarakat kita yang sebilangan besar menjadi “enabler” kepada perilaku tidak bermoral ini sedikit sebanyak memberikan indikasi bahawa kita masih lagi tidak bersedia untuk menerima khidmat seorang perdana menteri wanita.

Malaysia sudah ada Rafidah Aziz, seorang menteri wanita yang berkaliber, lantang dan berjaya membawa Malaysia ke mata dunia, Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri Wanita pertama di Malaysia, dan Azalina Othman Said sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat wanita pertama dalam sejarah politik di negara kita ini. Namun kita masih lagi belum bertemu dengan wanita yang mampu menjadi Perdana Menteri wanita pertama Malaysia. Adakah kita akan bertemu dengan sosok itu di masa hadapan? Adakah kita akan mempunyai Margaret Thatcher atau Jacinda Ardern kita sendiri? Ya, kita mampu dan kita boleh mempunyai Perdana Menteri wanita pertama bahkan mungkin lebih hebat dari dua sosok itu. Namun masyarakat kita juga perlu memainkan peranan dalam melahirkan Perdana Menteri wanita pertama Malaysia ini.

Kita kena bersikap terbuka terhadap idea dan perkembangan baru. Kita tidak boleh lagi terlalu berpegang kepada adat dan tradisi. Kita kena kikis idealogi patriarki dan mengajar anak perempuan kita agar lebih yakin, berani dan berdikari. Kita juga perlu lebih menggalakkan anak-anak perempuan kita untuk menyertai bidang politik ini kerana jika tiada penyertaan daripada mereka maka tiada perwakilan dari golongan wanita. Berikan ransangan terhadap minat mereka dan dorongan untuk mereka pergi jauh dan cemerlang dalam bidang ini. Lengkapkan diri mereka dengan pendidikan yang cukup serta pupuk sifat-sifat dan jati diri yang utuh di dalam diri mereka. Tidak mustahil selepas itu, akan muncul Margaret Thatcher Malaysia atau Jacinda Ardern Malaysia yang mempunyai jati diri Malaysia di dalam dirinya dan akan membawa nama Malaysia ke kemuncak dunia.

Komen