Kalau ada satu perkataan yang boleh menggambarkan sistem pendidikan negara kita, aku memilih perkataan ‘messy’. Ada yang masuk tadika, ada yang tidak. Sekolah rendah dan sekolah menengah pula ada Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan, Sekolah Agama, Sekolah Berasrama Penuh, Maktab Rendah Sains MARA, Chinese Independent High School dan International School. Di peringkat pendidikan tinggi, kita ada kolej swasta, kolej-universiti swasta, universiti awam, universiti awam eksklusif (UiTM), universiti swasta, universiti swasta not-for-profit (UTAR) dan universiti luar negara yang mempunyai cawangan kampus di Malaysia.
Dalam sebuah dunia yang ideal, semua kanak-kanak di Malaysia akan menikmati kualiti dan sistem pendidikan yang sama, suasana pembelajaran dan persekitaran yang sama, bergaul dan bersahabat dengan pelbagai kaum dan belajar bersama-sama. Itulah yang diidamkan, tapi itulah masalahnya. Realiti kini bukan dunia yang ideal. Aku ada menceritakan pengalaman aku di sekolah kebangsaan di bahagian lain buku ini. Aku rasa jelas bahawa pengalaman di sekolah kebangsaan membina jati diri aku dan membolehkan aku berinteraksi dengan rakan-rakan pelbagai kaum. Ya, aku sedar pengalaman semua orang lain-lain dan tidak adil untuk aku membandingkan pengalaman sekolah siapa lebih ‘baik’ dan patut dijadikan blueprint. Aku cuma rasa kalau boleh, aku mahu lebih ramai orang mengalami perjalanan aku di sekolah kebangsaan dulu.
Sebab itu aku patut menyokong sekolah satu aliran, betul? Tidak. Aku menolak cadangan ‘sekolah satu aliran’ yang sedia ada buat masa kini. Mengapa?
Apa yang kita faham dengan istilah ‘sekolah satu aliran’? Seringkali ungkapan ini dilaungkan bersama kritikan ke atas sekolah vernakular. Mengikut sesetengah pihak, sekolah vernakular membantut usaha membina perpaduan kaum dan bangsa Malaysia. Pandangan ini sebenarnya dikongsi banyak pihak, termasuk kawan-kawan aku dari pelbagai kaum. Awak jangan ingat hanya golongan ekstrem atau ahli politik saja yang berfikir begini. Ini satu pandangan yang tidak patut dianggap ringan. Akan tetapi, bagi aku, diskusi ini terlalu sempit dan tidak bermakna.
Ini yang aku maksudkan dengan sekolah satu aliran: Semua kanak-kanak Malaysia mengharungi satu sistem pendidikan yang sama. Wacana tadi disempitkan kerana hanya membincangkan sekolah vernakular. Mana SBP? Mana MRSM? Mana sekolah agama? Apabila awak benar-benar faham apa yang dimaksudkan dengan sekolah satu aliran, awak akan faham betapa mustahilnya ia akan berjaya kerana kebanyakan penyokong ‘sekolah satu aliran’ akan menarik sokongannya. Sekolah satu aliran bukan satu asimilasi. Ia adalah ke arah pembentukan bangsa Malaysia.
Tetapi percayalah, jika sekolah satu aliran diumumkan, golongan ekstrem Melayu seperti Perkasa dan ekstrem Cina seperti Dong Zong akan bergabung tenaga menentang sekolah satu aliran. Ironik, sebab mereka saling membenci, tetapi mereka yang suka membakar sentimen sebenarnya semirip.
Mereka ingat sekolah satu aliran hanya melibatkan pengorbanan dari sekolah vernakular. Sebenarnya simbol ataupun kubu Melayu-Bumiputera seperti SBP dan MRSM pun perlu diubah jika kita benar-benar mahu mewujudkan sekolah satu aliran. Apabila aku memahami bahawa pengorbanan itu adalah lebih mustahil daripada pengorbanan sekolah vernakular, saat itulah aku hilang keyakinan terhadap idea sekolah satu aliran.
Mungkin ada pihak yang sengaja menghadkan wacana mengenai sekolah satu aliran kepada sekolah vernakular. Mungkin tujuan mereka ialah membubarkan sekolah vernakular. Tujuan aku adalah sekolah satu aliran. Aku tidak akan terperdaya dengan sebarang cadangan ‘sekolah satu aliran’ yang hanya merupakan hiasan atau muslihat. Kalau betul-betul mahu sekolah satu aliran, everything needs to be on the table.
Awak tidak boleh mengasingkan dan memberi layanan istimewa kepada sesetengah sekolah kerana ia bukan sahaja tidak adil, malah ia memberi alasan untuk sekolah lain berprasangka buruk dan menarik diri. Sekolah mana yang sudi menyerah identitinya ‘for the greater good’ jika ia mengetahui bahawa ada sekolah lain yang diberi pengecualian? Betul kata seorang kawan, Malaysia terlalu banyak stakeholders. Susah nak melaksanakan perubahan total.
Rahm Emanuel pernah berkata, you never want a crisis to go to waste. And what I mean is that it is an opportunity to do things that you think you could not do before. Aku rasa perubahan total hanya akan datang selepas Malaysia mengharungi satu krisis, dan jika ia berlaku, aku percaya pada masa itulah perubahan menjurus ke sekolah satu aliran boleh menjadi satu kenyataan. Buat masa ini, aku tidak nampak keikhlasan, malah aku menjangka keengganan semua pihak berkorban untuk sekolah satu aliran.
Di peringkat universiti pun sama. Awak perasan tak seorang anak Malaysia boleh melalui sistem pendidikan kita dari peringkat tadika hingga universiti tanpa interaksi dengan kaum lain? Melayu boleh pilih sekolah agama, SBP atau MRSM dan sambung pelajaran di UiTM atau UIA. Dan lepas tamat pengajian, mereka kerja di sektor awam atau syarikat GLC. Cina pula boleh belajar di sekolah vernakular dan sambung di UTAR. Lepas habis belajar, kerja pula di syarikat swasta Cina atau syarikat multinasional.
Aku tak faham mengapa lebih 60 tahun selepas merdeka kita masih tidak memperbetulkan keadaan ini. Malah kita memburukkan keadaan dengan kompromi yang semakin lari dari pembinaan bangsa Malaysia.
Contohnya UTAR. MCA yang gagal berunding dengan parti pemerintah untuk membuka universiti awam kepada lebih ramai bukan Bumiputera yang berkelayakan akhirnya memutuskan mereka tidak boleh berbuat apa untuk mengubah minda kabinet. Jadi mereka menubuhkan UTAR di mana kos tuisyen disubsidikan dan kebanyakan penuntutnya berbangsa Cina. Sesetengah orang kata ini satu pencapaian MCA tapi bagi aku ini simbol kegagalan sistem berasaskan perkauman. Kita semakin memisahkan rakyat!
UTAR sekurang-kurangnya universiti swasta not-for-profit. UiTM, iaitu universiti terbesar di Malaysia dari segi jumlah pelajar dan saiz universiti, adalah universiti awam. Universiti awam yang dibiayai semua rakyat Malaysia tetapi eksklusif kepada Bumiputera (kecuali program pra-universiti di INTEC). Adakah aku dan kawan-kawan Cina, India dan lain-lain marah tidak bersebab?
Cuba pandang dari sudut kami. Universiti-universiti awam tempatan yang lain sudah ada kuota lebih 55% untuk Bumiputera, kemudian ada pula universiti-universiti besar yang 100% Bumiputera. Untuk makluman, sebelum 2002, kuota diputuskan pada 55% Bumiputera dan 45% Bukan Bumiputera, tetapi walaupun kerajaan mengumumkan sistem kuota diubah, data menunjukkan sebaliknya. Pada tahun 2013, BBC melaporkan hanya 19% tempat di universiti awam ditawarkan kepada pelajar berbangsa Cina dan 3% untuk pelajar berbangsa India.
Setiap tahun pasti muncul berita pelajar cemerlang STPM dan SPM yang tidak ditawarkan tempat di universiti tempatan atau matrikulasi (atau diberi kursus yang lain daripada yang diminta). Aku tahu rakyat tidak sepatutnya rasa mereka entitled kepada semua benda yang mereka mahu, tapi bayangkanlah jika pelajar tercemerlang antara Cina dan India tidak mendapat tempat, apakah nasib pelajar-pelajar Cina dan India yang baik keputusan cuma tidak begitu cemerlang?
Ada seorang kawan aku mendapat keputusan SPM yang memuaskan. Ada beberapa A dan B. Memang tiada harapan untuk dia masuk matrikulasi dan dia tidak ada duit untuk pergi kolej swasta. Maka dia mengambil STPM. Sesiapa yang pernah melalui STPM, atau pernah melihat silibusnya, tahu bahawa STPM memang jauh lebih sukar berbanding matrikulasi. Dia gagal subjek Matematik STPM, tiada harapan masuk universiti awam dan terpaksa pinjam duit masuk UTAR untuk ulang kembali program persediaan universiti. Bazir duit, bazir masa dan dipinggirkan. Kawan ini pelajar setaraf aku waktu sekolah! Kami pelajar average dan hidup biasa-biasa.
Bukan semua Cina kaya dan pandai. Aku tak pasti macam mana lagi hendak menceritakan perasaan dipinggirkan, mungkin hanya yang pernah melalui pengalaman itu memahaminya. Mungkin ramai ibu bapa Cina dan India hantar anak-anak ke international school dan universiti swasta walaupun mereka terpaksa pinjam duit kerana mereka telah dikecewakan. Mereka syak anak-anak mereka tidak akan diberi peluang, maka mereka pun enggan memberi peluang kepada sistem pendidikan awam.
Begitulah kepincangan sistem kita. Aku sangat kecewa setiap kali berbincang pasal pendidikan di Malaysia. We could be so much better than this. Terlalu banyak wasted potentials rekaan sendiri, dan kemudian kita tertanya-tanya macam mana brain drain ini boleh terjadi. Seumpama tidak melihat gajah di dalam bilik!
Tapi nasib baik aku masih kecewa. Aku harap rakan-rakan juga kecewa. Sebab aku kenal seorang makcik ini, dulu warganegara Malaysia dan sekarang telah menetap di luar negara. Dia dengan bangganya menceritakan kehidupan luar negara dan apabila ditanya tentang Malaysia, dia kata dia sudah tidak mengambil berat. Ya, baguslah aku kecewa. Baguslah kalian rasa geram. Sebab itu bukti kita masih kisah. Aku cuma takut saban hari semakin ramai yang menjadi tak kisah, antara kawan-kawan aku juga, dan yang paling aku takut, diri aku.
Sebelum tibanya peluang untuk perubahan total, maka aku rasa kita patut mula mengambil langkah kecil-kecil. Fokus mengangkat kembali standard sekolah kebangsaan. Seperti konsep ekonomi dan pasaran, jika produk itu bagus, orang akan membelinya. Kita tidak perlu paksa orang guna produk itu. Sekarang anak menteri pun pergi international school dan universiti luar negara. Mana boleh menteri minta rakyat hantar anak-anak ke sekolah kebangsaan tapi beliau sendiri tidak mahu dan tidak akan hantar anaknya ke situ? Ini soal keyakinan.
Ini yang menyedihkan. Sekolah kebangsaan (dan universiti awam) yang sepatutnya menjadi pilihan pertama anak-anak Malaysia telah menjadi last resort. Melayu-Bumiputera yang terbaik akan pergi SBP, MRSM atau sekolah agama. Cina dan India pergi sekolah vernakular. Yang kaya pergi international school. Yang saki-baki pergi sekolah kebangsaan.
Jadi untuk aku, prioriti kerajaan adalah menaiktaraf kualiti sekolah kebangsaan secara komprehensif. Aku mengaku aku bukan pakar dan oleh itu aku tak mahu berlagak pandai. Tapi jika kita serius hendak menjadikan sekolah kebangsaan pilihan utama ibu bapa, kita perlu melakukan perubahan drastik dengan komitmen yang penuh, bukan hangat-hangat tahi ayam.
Aku rasa peluang untuk pembuat dasar membaca artikel ini sangat cetek, tapi jika ada yang membaca, aku sarankan buat reformasi sistem pendidikan seperti Finland. Empat puluh tahun yang lalu, kepincangan sistem pendidikan mendesak kerajaan Finland untuk membuat kajian dan reformasi yang komprehensif. Mereka komited terhadap aspirasi itu dan sekarang sistem pendidikan Finland adalah antara yang terbaik di dunia. Cuba rujuk pelbagai artikel, esei dan kertas kerja yang sudah ditulis mengenai pencapaian yang menakjubkan itu. Atau tonton dokumentari seperti The Finland Phenomenon.
Kalau aku kahwin dan ada anak, aku mahu hantar anak lelaki ke Penang Free School (PFS). PFS adalah satu sekolah yang istimewa dan aku nak anak aku mengalami perjalanan yang mendedahkan dia kepada rakyat pelbagai kaum. Tapi kalaulah kualiti pendidikan sekolah tersebut menjunam sangat, aku yang semangat PFS pun akan teragak-agak sebab kalau aku bertindak ikut kehendak peribadi, ia tidak adil untuk anak aku.
Oleh itu aku mahu berkata kepada semua, dan mungkin kepada diri, bahawa masih ada rakyat seperti aku yang percaya pada sistem pendidikan awam tapi ia sangat memerlukan perubahan. Pendek kata, ia agak sarat. Janganlah bergaduh pasal retorik dan benda-benda yang kamu tahu tidak akan diubah buat masa kini. Buat apa yang kamu boleh buat sekarang untuk menaiktaraf kualiti pendidikan awam sehingga orang ramai akan memilihnya.
(Artikel ini adalah petikan dari buku Aku Kafir, Kau Siapa?)

Ooi Kok Hin adalah seorang graduan falsafah dari universiti Amerika Syarikat. Pernah menulis buku Aku Kafir, Kau Siapa? terbitan DuBook Press dan kini merupakan tonggak utama Matahari Books.