Lewat klip yang tersebar di Twitter, saya menonton seruan Ahli Parlimen Machang kepada kerajaan untuk “menghalang propaganda yang menghalalkan, menormalisasi hubungan kelamin luar tabii, pedofilia, dan apa-apa perkara unsur yang membawa kepada LGBT dan sebagainya … agar tradisi keluarga dan agama kita terpelihara dalam konteks hak asasi yang ada di Malaysia”. Beliau juga menyuarakan sokongan terhadap tindakan kerajaan baru-baru ini yang telah merampas koleksi jam tangan Swatch yang dipasarkan sempena Bulan Jati Diri. Respons saya mengenai rampasan tersebut telah saya huraikan dalam rencana sebelum ini. Yang ingin saya bincangkan adalah pendapat saya tentang seruan yang dibuat di Parlimen negara kita.
Menyedari pengaruh Barat yang berleluasa melalui media arus perdana seperti rancangan bersiri, filem, novel, muzik, dan lain-lain, saya tidak melawan sentimen untuk mengekang penyebaran nilai-nilai yang mampu memporak-perandakan masyarakat. Namun, apa yang saya anggap sebagai nilai tidak sesuai tidak sama dengan anggapan YB Machang. Bagi saya, yang membahayakan warga kita adalah individualisme melampau dalam bahan propaganda Barat. Saya tidak senang hati dengan pemikiran mementingkan diri sendiri dan meletakkan kebebasan diri semata-mata lebih tinggi daripada kebebasan bersama. Kerana, perangai inilah yang dibawa oleh sistem kapitalistik dan hanya mengukuhkannya lagi.
Sebagai orang Islam, saya khuatir akan sikap individualistik yang sudah terjelma dalam kalangan kita. Saya takut jatuh syirik. Sepertimana saya telah huraikan dalam sebuah artikel terbitan Solidaritas, amalan syirik berkait rapat dengan pemecah-belahan masyarakat. Bilamana masyarakat terlalu mengagungkan ego masing-masing, perpaduan tidak dapat dipupuk dan kita akan terjerumus ke dalam kejahilan. Hak setiap orang akan dicabul, konflik akan berlaku, dan keganasan akan mencederai manusia sehingga tiada beza antara warga Malaysia dan masyarakat Arab jahiliah. Ketika itu, kita sememangnya jauh daripada Tuhan kita.
Selain daripada individualisme itu, ada juga beberapa perkara yang saya tidak suka tetapi keragaman seksual dan gender tidak termasuk dalam kategori itu. Ia sebenarnya tidak asing daripada masyarakat kita. Bahkan, kita dapat menemukan unsur sebegitu dalam tradisi nusantara seperti hubungan warok-gemblak, lima gender orang Bugis, dan karya agung Serat Centhini yang mengandungi adegan intim antara watak Cebolang dan Sang Adipati serta menceritakan tentang watak Nurwitri, seorang lelaki yang mempesonakan audiens dengan tariannya sambil memakai busana perempuan.
Walaupun budaya kita kaya dengan keragaman seksual dan gender, hal ini tidak bermakna yang langsung tiada masalah etika dalam contoh yang telah saya kemukakan. Saya cuma berniat membasmikan mitos yang keragaman sebegini adalah budaya Barat sahaja. Sudah terang yang hal itu tidak benar sama sekali. Yang lebih menarik, percubaan YB Machang untuk menyamakan pedofilia dan LGBT sebenarnya dimulakan di Barat oleh sayap kanan yang sedang cuba mencetuskan panik moral agar hak komuniti LGBT di sana dibataskan. Jadi, siapakah sebenarnya yang terikut-ikut Barat?
Saya berpendirian bahawa permasalahan etika mengenai LGBT dan institusi keluarga memerlukan perbahasan yang matang dan berahmat kerana wujudnya warga LGBT dalam kalangan rakyat Malaysia. Kehidupan orang LGBT, termasuk saya sebagai pondan, adalah suatu kenyataan, bukannya polemik abstrak yang tidak memberi apa-apa kesan. Jika ahli parlimen seperti YB Machang meneruskan perbuatan mengobarkan perang budaya (culture war) demi mengaut sokongan para konservatif, kami juga yang binasa. Adakah perkara itu adil buat kami yang hanya mahu menjadi rakyat sambil menyumbang kepada pembangunan negara? Tepuk dada tanya selera.
Memandangkan YB Machang adalah wakil Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), saya ingin menyeru kepada mereka yang menyertai politik atas nama agama. Seorang Muslim harus menjadi contoh yang baik kepada orang lain dengan menurut kata-katanya sendiri. Jika YB Machang bimbang akan perkembangan pedofilia, maka beliau patut bermula dengan perkahwinan bawah umur yang masih kerap berlaku di negara kita. Seorang Muslim yang berpolitik juga sewajarnya berusaha untuk mencontohi nabinya yang digelarkan oleh Tuhan dalam al-Quran sebagai rahmat kepada seluruh alam. Adakah politik kebencian yang membahayakan sebahagian umat selari dengan sifat rahmat tersebut? Saya rasa tidak. Maka, saya harap YB Machang menginsafi hal ini, dan moga-moga kita semua mengenal erti rahmat supaya jauh daripada peribadi Arab jahiliah.
Wallahu A’lam.
(Artikel tulisan saudara Ratu Yousei ini merupakan pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan pihak Solidaritas)
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Solidaritas.