Terkenang saya sewaktu mendirikan solat Zuhur: mak mendesak untuk sembahyang di kala pipi saya dibanjiri air mata, gara-gara angkara teruna yang telah mematahkan hati saya. Sungguh ironi. Seorang lelaki yang dipermainkan lelaki. Mana pergi fitrah kejantanan yang sepatutnya menjadikan diri kuat dalam menelusuri soal cinta dan emosi? Karut agaknya tanggapan tersebut. Walaupun radang terhadap jejaka itu telah lama susut, amarah baharu mula mengalir dalam urat dari ketidakpuasan yang membungkam dalam hati terhadap mak. Saya mula merasakan yang jika saya teruskan sembahyang, maka ia hanya mengesahkan kepercayaan mak bahawa dengan solat saya akan dijauhkan daripada kesongsangan, seolah-olah naluri ini lahir daripada ketiadaan Tuhan. Tidak! Hal itu tidak benar sama sekali. Saya pun berhenti sembahyang untuk memperbaiki niat kerana kita diajar sejak amali solat di sekolah rendah untuk mengakhiri ucap niat dengan lafaz lillahi ta’ala (kerana Allah semata-mata).
Sejak peristiwa itu, terdetik dalam hati rasa mencari erti dalam amalan sembahyang, erti yang tidak terhad pada fahaman akhirat dan syurgawi semata-mata, seakan-akan sembahyang itu satu urusniaga kerana saya yakin hubungan manusia dengan Tuhannya lebih bermakna daripada hubungan perniagaan. Pengertian yang saya mencari adalah erti sembahyang yang membumi pada dunia yang nyata lagi benar menurut pancaindera. Pencarian itu telah menemukan saya dengan beberapa perkara yang ingin saya kongsikan di sini.
Pertama-tama, saya tertanya-tanya: apakah Tuhan? Menurut ayat pertama surah al-Ikhlas:
“Katakanlah (wahai Muhammad), ‘(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa.”
Di sini kita mengenali sifat Tuhan yang membezakan agama kita daripada kepercayaan nenek moyang terdahulu yang menyembah unsur-unsur alam seperti matahari, pokok dan sebagainya. Kita mengenali Tuhan itu sebagai kewujudan yang esa atau dalam bahasa lebih mudah: Tuhan yang satu. Kesatuan Tuhan ataupun tauhid inilah yang menjadi asas kepada akidah kita sebagai orang Islam.
Tuhan itu satu, tiada yang layak disembah melainkan-Nya. Pengisytiharan ini membentuk separuh daripada syahadah kita. Maka tidak aneh bahawa kelakuan menduakan Tuhan atau syirik merupakan dosa yang tidak diampuni-Nya. Namun begitu, apakah sampai sini sahaja pemahaman tauhid kita mengenai hal menduakan Tuhan?
Ketika zaman jahiliah sebelum kedatangan Islam, Arab Quraisy giat menyembah berhala yang diukir mereka sendiri untuk dijadikan bahan sembahan. Walaupun dibesarkan dalam masyarakat itu, nabi Muhammad SAW tidak pernah turut serta dalam amalan menyembah berhala, bahkan baginda nabi mengasingkan diri ke Gua Hira untuk menjauhi amalan yang tidak disenanginya itu. Tetapi, adakah sebenarnya yang tidak disenangi baginda nabi itu sekadar amalan menyembah berhala yang turut diamalkan dalam masyarakat majmuk kita pada hari ini, atau wujud amalan yang jauh lebih keji?
Caitlin Yoshiko Buysse (2009), dalam esei The Qur’an, Poverty, and AIDS, telah menerangkan keadaan sosioekonomi di Mekah ketika zaman jahiliah. Masyarakat Mekah ketika itu mengamalkan ekonomi yang bersifat mementingkan diri sendiri, mengabaikan kaum tertindas dan mengagungkan kekayaan sebagai kuasa terhebat. Nor Nazimi Mohd Mustaffa (2020) pula telah menghuraikan dengan lanjut amalan mereka tersebut dalam sebuah artikel. Menurut beliau, susun lapis masyarakat yang membahagi mereka mengikut kabilah telah mewujudkan jurang dan mendorong mereka untuk bersikap berpuak-puak atau asabiah. Hal ini membawa kepada berlakunya perang, kekerasan, penindasan dan persengketaan hanya kerana kemahuan untuk mendapatkan kekuasaan. Akibatnya, golongan bawahan, miskin, wanita dan kanak-kanak juga yang menjadi mangsa keganasan. Selain itu, masyarakat Arab jahiliah telah mengamalkan ekonomi bebas di mana riba menjadi kebiasaan dalam jual beli dan pinjaman. Disebabkan ketiadaan perundangan mahupun peraturan, penyelewengan yang berlaku dalam perniagaan tidak terkawal dan membolehkan pihak tertentu untuk mengambil kesempatan ke atas mereka yang tidak mampu membela nasib diri. Kezaliman-kezaliman seperti inilah yang sebenarnya menanam dalam hati baginda nabi keinginan mencari makna dalam hidup yang lebih besar daripada amalan mazmumah orang Mekah. Dengan itu, baginda nabi telah mengasingkan diri demi merenung hal ini.
Menurut Buysse (2009), terdapat hubungan antara tauhid dan keadilan ekonomi. Fahaman bahawa Tuhan hanya satu bukan sahaja mencabar kepercayaan orang Mekah dengan berbagai-bagai tuhan, malah juga mencabar ekonomi mereka yang menganiaya golongan miskin. Amalan syirik dan ketidakadilan ekonomi dianggap sebagai struktur yang saling bergantung kerana syirik mencerminkan akidah masyarakat yang berpecah-belah dan menolak kesatuan dalam kalangan mereka hingga berlakunya penindasan. Ciri-ciri sebegini dapat kita temukan dalam sistem kapitalisme yang bersifat individualistik dan mendorong manusia untuk mengejar keuntungan semata-mata tanpa memikir panjang tentang akibatnya terhadap orang ramai.
Dalam zaman nihilisme yang diiringi budaya konsumerisme ini, patung-patung digantikan dengan harta benda sebagai berhala sembahan yang melalaikan manusia. Kita dapat perhatikan (dan juga alami) fenomena pengasingan yang dijelaskan oleh Karl Marx. Secara ringkasnya, pekerja menghasilkan produk buat majikan untuk dibayar gaji ciput demi melangsungkan kehidupan. Dalam proses penghasilan ini, dua bentuk pengasingan sedang berlaku: pengasingan diri daripada tenaga buruh dan pengasingan diri daripada masa sendiri. Pertama, produk yang dihasilkan daripada kudrat dan keringat pekerja menjadi objek yang fizikalnya asing daripada jasmani pekerja. Kita dapat menggambarkan ini sebagai hasil kerja yang berasal daripada tenaga pekerja telah menjadi barang yang tidak lagi sebahagian daripadanya. Kedua, waktu kerjanya merupakan masa yang tidak lagi dimilikinya kerana digajikan untuk bekerja buat majikan sahaja. Dengan ini, pekerja berkurangan masa untuk melakukan perkara yang dikehendakinya lantas dihalang daripada mencapai saadah atau kebahagiaan dalam hidup. Kedua-duanya membawa kepada pekerja rasa hilang kawalan dalam kehidupan lantas melahirkan kelopongan dalam dirinya.
Menurut Erich Fromm (2004) dalam Marx’s Concept of Man, amalan menyembah berhala bukan sahaja merujuk kepada perbuatan menduakan Tuhan secara literal, malah ia dibenci para nabi kerana kesan yang dibawanya. Patung yang merupakan hasil kerja dan tenaga manusia, seperti produk hasil buruh pekerja, dijadikan bahan sembahan. Dalam erti kata lain, manusia menyembah sesuatu benda yang terasing daripada dirinya sedangkan Tuhan bukanlah asing daripada kita, seperti firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 186:
“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul.”
Tuhan sentiasa ada dengan kita. Dia hanya menantikan kita untuk bertanyakan tentang-Nya. Satu cara untuk berbicara dengan Tuhan adalah melalui sembahyang, kerana itulah waktu untuk berdamping dengan-Nya. Sembahyang merupakan masa untuk muhasabah diri dan menginsafi segala benda yang telah kita lakukan. Ia bersifat introspektif dan melahirkan kesedaran diri yang tinggi. Renungan seperti ini jauh berbeza daripada sembahan objek buatan manusia yang terasing daripada diri kita. Amalan tersebut tidak membimbing manusia dalam mengenali Tuhan kerana tumpuannya diberi kepada perkara selain dirinya sendiri. Perbuatan ini bertentangan dengan pepatah orang Arab: “Barangsiapa yang mengenali dirinya, mengenali Tuhannya.”
Dengan itu, jelaslah bahawa penyembahan berhala akan membawa kepada keterasingan spiritual yang hanya dapat diatasi dengan menyembah Tuhan Yang Satu melalui sembahyang.
Sebelum ditanyakan, izinkan saya menyoal sendiri, “Apakah syirik sahaja menyebabkan pecah-belah dalam kalangan masyarakat? Bagaimana pula dengan semangat nasionalisme? Ideologi yang menentang kapitalisme seperti sosialisme tak menyeru pun ke arah tauhid dalam membasmi penindasan.”
Maka saya jawab begini: apakah benar sosialisme tidak mengandungi unsur tauhid? Sepertimana yang saya huraikan, konsep kesatuan dalam tauhid melampaui idea yang Tuhan itu satu. Tuhan juga melambangkan kesatuan insan kerana daripada-Nya kita datang dan kepada-Nya jua kita akan pulang. Dialah kewujudan yang mengaitkan lantas menyatukan seluruh umat manusia. Dalam prinsip materialisme dialektika, para sosialis berpegang pada kepercayaan bahawa dunia ini disatukan dalam jirim (matter), selari dengan pemikiran dialektik bahawa segala benda dalam dunia ini tidak wujud secara tersendiri, malah berhubung antara satu sama lain. Apakah beza tauhid Islam dan kesatuan dialektik selain bahasa yang digunakan untuk mengajar manusia erti yang sama? Jelaslah bahawa tauhid berkait rapat dengan menegakkan keadilan melalui kesatuan walaupun nama kesatuan itu berbeza. Dalam surah al-Furqan ayat 43, Tuhan berfirman:
“Nampakkah (wahai Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya jangan sesat?”
Di sini, kita dapat lihat yang Tuhan juga boleh diduakan dengan menurut hawa nafsu semata-mata walau tanpa bersujud kepada berhala dalam seumur hidup.
Kesimpulannya, sembahyang diwajibkan ke atas orang Islam supaya kita sentiasa merenung kejadian diri dan alam melalui bicara intim dengan Tuhan. Tuhan bukanlah kewujudan yang asing daripada kita, malah kita akan lebih mengenali-Nya dengan memandang ke dalam diri kita sendiri. Hanya dengan mencapai kesedaran diri dapat kita merapatkan hubungan bersama-Nya. Dalam sembahyang juga, kita dapat mendalami keesaan Tuhan yang tidak patut terbatas pada fahaman literalnya yang amat dangkal, kerana dalam memikirkan kejadian alam dan segala makhluk yang mendiaminya, kita akan lebih peka terhadap keadaan masyarakat. Dalam surah al-Ma’un, Tuhan menceritakan tentang orang yang mendustakan agama sedangkan dia mendirikan solat:
“Tahukah engkau akan orang yang mendustakan agama (meliputi hari pembalasan)? Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim, Dan ia tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin. (Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan agama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang – (laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya; (Juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya), Dan orang-orang yang tidak memberi sedikit pertolongan (kepada orang yang berhak mendapatnya).”
Kita dapat lihat bahawa Tuhan dengan jelas mengaitkan perbuatan menzalimi anak yatim, tidak memberi makan kepada fakir miskin dan tidak menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan dengan perbuatan mendustakan agama. Dengan itu, jika sesuatu masyarakat mengamalkan penindasan, rasuah, ketidakadilan ekonomi dan sebagainya, maka saya berpendirian bahawa ia menjadi tanggungjawab seorang Muslim yang mendirikan solat untuk melawan kezaliman tersebut, selari dengan legasi agama kita yang diwahyukan untuk membebaskan manusia daripada tirani dan kejahilan.
Sebelum mengakhiri tulisan, saya ingin menyatakan bahawa saya bukan mengutuk penyembahan berhala yang diamalkan segelintir anggota masyarakat Malaysia, tetapi hanya mengulas falsafah di sebalik konsep tauhid dan syirik menurut perspektif Islam dan Marxis. Saya dengan tegas menghormati kebebasan warga Malaysia untuk menganuti agama dan kepercayaan masing-masing, di samping hidup senegara berlandaskan nilai-nilai pluralistik. Saya juga amat mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ingin membalas rencana ini dengan pendapat yang bertentangan agar kita semua dapat meneliti kebenaran.
Wallahu A’lam.
(Artikel tulisan saudara Ratu Yousei ini merupakan pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan pihak Solidaritas)