Bulan Ramadan yang lalu semasa satu majlis berbuka puasa khas untuk penggiat sastera, saya sempat bertemu dengan seorang sahabat lama yang pernah bekerja di Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM). Setiap kali berjumpa, satu soalan pasti akan saya tanya.
“Duit ITBM dah dapat?”
Ya, sahabat saya itu masih belum mendapat duit upahnya dari ITBM sejak 2017. Jarang kita mendengar sebuah agensi kerajaan berhutang sebegini lama, tapi begitulah ITBM.
ITBM asalnya adalah Institut Terjemahan Negara Malaysia, yang ditubuhkan pada 14 September 1993 demi mewujudkan industri terjemahan di Malaysia, selaras dengan haluan negara menuju Wawasan 2020. Namun pada 16 Disember 2011, perkataan ‘buku’ ditambah pada nama agensi tersebut sekaligus akronimnya bertukar menjadi ITBM. Skop ITBM diperluaskan dari sekadar menterjemah kepada sebuah badan penerbitan buku.
Walaupun mungkin tidak begitu penting, harus juga saya sebut bahawa selepas menjadi ITBM, agensi kerajaan ini seterusnya menerbitkan buku Mohd Najib Razak sebagai antara buku terawal terbitan mereka sejak diberikan mandat untuk menerbitkan buku sendiri. Hal buku Najib ini khabarnya kini menjadi sebahagian dari kes penyiasatan 1MDB.
Hari ini, dan selepas pelbagai isu timbul antaranya masalah kewangan ITBM, kegagalan Kedai Buku 1Malaysia (KB1M, yang turut dimiliki oleh ITBM) dan tidak ketinggalan terpalit hal wang 1MDB; kita dikhabarkan pula tentang cadangan mengecilkan operasi ITBM dengan mungkin separuh dari kakitangannya dibuang.
Ramai yang melompat. Bukan sedikit juga yang mengaitkan hal ini dengan politik.
Walhal, industri buku yang sejak sekian lama tenat memperlihatkan betapa banyak cawangan kedai buku MPH ‘bungkus’, Borders mengecilkan saiz kedai, Popular mula menjual tetikus, air mineral juga gula-gula dan pelbagai rumah penerbitan swasta lain gulung tikar, gaji sangkut atau terpaksa membuang lebih separuh dari pekerja mereka. Big Bad Wolf yang asalnya jualan murah buku lama setahun sekali, kini menjadi jualan murah buku baharu sebulan sekali di setiap pelosok negara.
Kita semua ada teori kenapa industri buku tenat. Malaysia malas membaca, baucar buku sudah tiada atau ekonomi meleset. Rata-rata saya boleh bersetuju dengan semua teori tadi. Tapi ada satu lagi teori yang mungkin boleh saya ketengahkan.
Industri buku tenat kerana pernah pada satu masa, penerbit swasta dan kedai buku swasta terpaksa bersaing dengan penerbit dan kedai buku kerajaan.
Bagaimana? Contoh paling mudah ialah ITBM dan KB1M.
Sejak perkataan ‘buku’ dimasukkan ke dalam nama agensi itu, ITBM rancak menerbitkan buku, lebih dari menterjemah buku. Ya, banyak buku-buku sasterawan tempatan yang karyanya diterbitkan ITBM, ia satu perkara yang sihat. Tidak cukup dengan itu, buku tentang peniaga seperti Dato’ Seri Vida juga turut diterbitkan oleh ITBM, selain buku berkenaan ahli politik. Saya menjadi saksi hidup melihat sendiri sesi pelancaran buku Dato’ Seri Vida di Jakarta, Indonesia yang gilang-gemilang dan ada acara nyanyian.
Salahkah ITBM menerbitkan buku? Sebenarnya tidak. Tetapi dalam pasaran buku negara yang kecil ini, dimana hanya sebahagian kecil rakyat rajin membaca (dan ia jadi lebih kerdil apabila dipecahkan mengikut kaum atau bahasa pengantar), kehadiran ITBM merupakan satu persaingan kepada penerbit buku lain. Bezanya, ITBM merupakan agensi kerajaan yang diberi peruntukan kewangan. Mudah untuk mereka mendapatkan penulis dan manuskripnya, mudah untuk mereka menghasilkan buku dan mencetaknya. Isu kewangan buat ITBM pastilah bukan satu perkara besar seperti di rumah penerbitan swasta yang lain.
Namun, kebolehan menghasilkan buku adalah tidak sama dengan kebolehan menjual buku. Apa lagi bila berdepan dengan situasi ekonomi yang tidak menentu atau ketiadaan baucar buku. Dan lazimnya dalam mana-mana perniagaan oleh kerajaan, mereka gagal dalam bab menjual.
Oleh kerana itu hari ini kita dikhabarkan bahawa ada stok buku bernilai RM10 juta milik ITBM yang masih tidak terjual. Ada usul yang mencadangkan agar buku-buku tidak terjual ini dibeli oleh kerajaan. Bernas tapi lucu apabila memikirkan buku ini dihasilkan menggunakan dana kerajaan dan kini perlu dibeli kembali oleh pihak kerajaan.
Jika hal penerbitan buku oleh ITBM mewujudkan persaingan pada penerbit swasta, lain pula halnya dengan KB1M. Projek kedai buku mantan PM ke-6 ini diuruskan oleh ITBM sendiri dengan matlamat menyediakan bahan bacaan pada harga mampu milik buat rakyat. Tapi 6 tahun selepas dilancarkan pada 2012, semua cawangan KB1M tutup dengan kedai buku ini menanggung beban hutang berjumlah RM3 juta yang sepatutnya dibayar kepada penerbit swasta yang membekalkan buku mereka kepada KB1M.
Ya, sudahlah terpaksa bersaing dengan penerbit kerajaan, ditipu pula oleh kedai buku kerajaan. Keduanya pula berkait dengan ITBM. Begitulah nasib penerbit swasta yang tidak diberi dana untuk menerbitkan buku dan tidak pula mendapat wang hasil jualan buku.
Ini kisah ITBM dahulu, semasa mereka ada duit dan boleh buat macam-macam. Selepas kantung wang merosot dengan buku tidak terjual, ITBM kini berdepan masalah kewangan mereka sendiri.
Lantaran jalan terbaik untuk menyelesaikan kemelut ITBM ini adalah dengan mengecilkan saiz operasi mereka. Memang akan ada separuh dari tenaga kerja diberhentikan, tetapi ianya perlu demi memastikan kelangsungan ITBM sendiri. Stok buku bernilai RM10 juta yang dikhabarkan itu perlu ditunaikan, tetapi bukanlah dengan cara menjual kembali pada kerajaan. Hanya dengan cara ini ITBM dapat melunaskan hutang mereka, membayar upah sahabat saya dan juga penerbit-penerbit swasta yang telah membekalkan buku ke KB1M.
ITBM pada pandangan saya perlu kembali kepada fungsi asal mereka. Sebagai institut terjemahan, bukannya sebagai sebuah syarikat perniagaan yang sibuk menerbit dan menjual buku.
Bagaimana peranan institusi terjemahan ini? Bukanlah tugas saya untuk memikirkannya. Tapi jika buah fikiran saya mahu diambil kira, saya rasa peranan ITBM (yang mungkin selepas ini dijenamakan kembali menjadi ITNM) boleh merangkumi hal-hal berikut:
- Menganjurkan kursus atau bengkel terjemahan untuk melahirkan lebih ramai penterjemah bebas
- Menjalankan usaha sama dengan penerbit swasta dalam menterjemah dan menerbitkan karya asing, dimana ITBM melakukan terjemahan dan penerbit swasta memainkan peranan menerbit dan menjual karya tersebut
- Menjadi penggerak utama untuk karya-karya tempatan diterjemahkan ke bahasa asing melalui aktiviti terjemahan oleh ITBM sendiri
- Menjadi pihak tengah yang menghubungkan penerbit tempatan dan luar negara dalam jual beli hak terbitan, juga sebagai pemudahcara apabila melibatkan usaha terjemahan
- Memainkan peranan sebagai agensi kerajaan yang menyediakan geran atau dana untuk sebarang kegiatan terjemahan yang hendak dilakukan oleh penerbit swasta tempatan
- Sebagai institut terjemahan, ITBM boleh saja berperanan sebagai pusat bahasa asing, mendidik tenaga muda untuk mempelajari bahasa utama dunia dengan kemahiran bahasa ini tidak terhad digunakan dalam tugas terjemahan buku, tetapi boleh saja merangkumi industri yang lain
Kesemua usul di atas tidak melibatkan ITBM selaku agensi kerajaan masuk ke dalam pasaran sebagai sebuah entiti perniagaan. Pendek kata seperti mana kita tidak melihat kerajaan menubuhkan syarikat sendiri untuk masuk campur menjual kasut, ubat ketiak atau takaful, begitu jugalah yang harus berlaku dalam industri buku.
Orang putih ada menyebut, the business of government is not to be in business. Atas motto ini, kita harus akui mengecilkan saiz operasi ITBM adalah lumrah dalam usaha kerajaan merasionalisasi sesebuah agensi, agar fokus lebih jelas dan matlamat tercapai. Ini bukan soal politik dan sebagainya, tetapi satu lumrah apabila sesuatu organisasi gagal hidup sendiri dan dibebani hutang bertimbun. Dalam kes ITBM, mereka gagal dalam bidang penerbitan dan penjualan buku maka secara logiknya ia adalah lebih baik untuk ITBM kembali kepada tugas asal selaku institut terjemahan.
Mereka yang masih percaya bahawa agensi kerajaan seperti ITBM mesti terus menerbit dan menjual buku perlu sedar bahawa ianya lebih banyak menjejaskan industri buku itu sendiri. Apalah gunanya jika kita mahu gah menerbitkan ratusan judul buku setiap tahun dengan dana kerajaan, tapi gagal menjualnya kepada massa? Adakah lambakan buku tidak terjual, RM10 juta sahaja dalam gudang ITBM, bisa menjadikan rakyat Malaysia rajin membaca secara tiba-tiba?
Dan pesan saya pada para penulis yang meroyan dengan pengecilan operasi ITBM, adakah lupa bahawa kita sedia ada memiliki Dewan Bahasa dan Pustaka yang juga menerbitkan buku? Apakah kita terkejar-kejar ITBM kerana tahu wang kerajaan yang dimilikinya membuatkan karya kita mudah diterbitkan, tetapi kita sendiri langsung tidak peduli entah bagaimana ianya boleh laku dijual?
Sampai bila mahu ambil jalan mudah?
Lucius Maximus adalah seorang penulis dengan tiga buku setakat ini, Cerita Piala Dunia 2010, Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia dan Maaf Aku Bukan Lagi Leon Trotsky Kamu Semua. Beliau aktif berkicau di Twitter dalam isu-isu yang mendesak.