Melihat Anwar Berucap

SEMALAM, buat pertama kalinya sejak sekian lama saya melekat di hadapan peti televisyen menonton siaran langsung ucapan seorang Perdana Menteri.

Sudah lama saya tidak begitu. Tidak ketika Perdana Menteri sebelum ini dengan slogan Keluarga Malaysia beliau, atau Perdana Menteri sebelumnya dengan naratif Kerajaan Prihatin yang dijaja. Perdana Menteri sebelum-sebelum itu juga tidak dapat memastikan saya melekat di hadapan peti televisyen melainkan ucapan yang disampaikan bersifat pengumuman khas yang benar-benar perlu diberi perhatian.

Tetapi ucapan oleh Anwar Ibrahim semalam sebagai Perdana Menteri ke-10 adalah sangat berlainan berbanding Perdana Menteri sebelum beliau.

Pertama sekali, ucapan ini adalah kali pertama sejak sekian lama seorang Perdana Menteri berucap tanpa teks ucapan.

Selepas melalui episod ngeri seorang Perdana Menteri yang mengelak untuk berucap di khalayak, jauh sekali menjawab soalan dan sebaliknya memilih untuk mengedarkan fail PDF, apa yang dilakukan Anwar adalah sesuatu yang menyegarkan.

Apa yang lebih menarik, Anwar menyampaikan ucapan tanpa teks beliau selama hampir satu jam. Dan di dalam tempoh hampir satu jam itu, walaupun tanpa teks dan secara spontan ia masih berupaya membuatkan saya sendiri terpaku melihatnya sehingga habis.

Anwar menyampaikan ucapan beliau dalam Program Pertemuan Mahabbah Perdana Menteri bersama Ulama dan Asatizah di Seri Perdana, Putrajaya. Pertemuan yang dihadiri para ulama, ustaz dan ustazah serta wakil dari NGO Islam dan institusi pengajian agama merupakan satu pertemuan yang menarik jika dilihat kepada fitnah dan tohmahan yang dilemparkan ke atas kerajaan perpaduan yang ada sekarang.

Melalui satu pertemuan yang jelas mendapat sambutan, Anwar telah menyangkal dakwaan pihak lawan bahawa kerajaan pimpinan beliau adalah ancaman kepada agama Islam. Ia juga membuka ruang buat Perdana Menteri menyantuni kelompok agamawan yang tidak bertunjangkan politik, untuk memperjelas dan mencari kesefahaman bersama.

Ianya jelas dalam ucapan tanpa teks hampir satu jam beliau, Anwar menggunakan peluang untuk memberikan pemahaman tentang kerajaan perpaduan yang diketuainya serta keabsahan yang diperolehi melalui mandat pilihan raya umum dan juga perkenan Yang Dipertuan Agong bersama Majlis Raja-raja Melayu.

Apa yang dilakukan Anwar adalah satu gerakan politik bagi mematikan naratif yang kerap dimainkan oleh pihak sebelah sana yang mendakwa mereka mewakili suara Melayu dan Islam. Anwar melalui pertemuan mahabbah sebenarnya menjawab kembali bahawa beliau juga bersuara untuk orang Melayu dan umat Islam.

Tetapi mesej Anwar tidak hanya terhenti pada hal bangsa dan agama.

Anwar juga menggunakan pertemuah mahabbah itu untuk berucap tentang agenda yang lebih besar yang mahu dibawa beliau.

Dan inilah isi penting yang mahu saya nukilkan di sini buat bacaan kita semua.

Tadbir Urus Yang Baik Berasaskan Prinsip Islam

Anwar memberikan jaminan bahawa kerajaan pimpinannya akan melaksanakan tadbir urus yang baik berasaskan prinsip Islam.

Tidak seperti pemimpin politik lain, Anwar mengelak untuk menggunakan istilah ‘kerajaan Islam’. Sebaliknya Anwar memilih untuk menekankan prinsip Islam yang mengutamakan keadilan, kasih sayang dan integriti sebagai asas kepada sebuah kerajaan.

Dan sebuah kerajaan yang berpegang teguh kepada prinsip Islam tadi akan diterjemah kepada pelaksanaan tadbir urus yang baik.

Negara Hukum – Tiada Tolak Ansur Rasuah

Anwar juga menegaskan pentingnya konsep ‘negara hukum’ dalam mengemudi Malaysia ke arah yang lebih baik. Jaminan diberikan bahawa tiada campur tangan ke atas badan penguatkuasa undang-undang seperti PDRM, SPRM dan institusi kehakiman dalam menjalankan peranan masing-masing.

Rasuah tidak akan diberikan sebarang tolak ansur. Mana-mana menteri yang didapati bersalah terlibat dalam rasuah akan dipecat serta-merta.

Apa yang ditekankan Anwar ialah mengurus negara itu perlu melalui ketertiban peraturan negara, bukannya dengan wewenang individu yang diberi kuasa memimpin.

Melawan Kemiskinan Tanpa Mengira Warna

Anwar juga bercakap tentang pentingnya kerajaan pimpinan beliau melawan kemiskinan yang menghambat sebahagian dari rakyat. Usaha melawan kemiskinan ini antaranya bermula dengan usaha beliau membantu pesawah padi yang dihimpit kemiskinan di sebalik pekerjaan mereka dalam keterjaminan makanan negara.

Anwar menekankan betapa majoriti dari rakyat miskin adalah bangsa Melayu. Tetapi Anwar juga menjelaskan bahawa beliau bukannya berjuang untuk bangsa tertentu. Yang paling miskin, jelas beliau ada antaranya Orang Asli dan kaum India.

Justeru, kerajaan pimpinan beliau melawan kemiskinan bukan atas dasar bangsa tetapi atas dasar perlunya mengangkat rakyat termiskin tanpa mengira warna kulit untuk keluar dari kesengsaraan mereka.

Melihat ucapan Anwar semalam memberikan saya sekelumit harapan untuk melihat negara ini kembali ke landasan yang sebenar. Tetapi Anwar tidak berucap dengan nada bahawa beliaulah yang akan menjadikan semua itu realiti.

Sebaliknya penyampaian Anwar dibuat dengan mengajak kita semua bersama beliau bagi merealisasikan agenda yang ingin dibawanya dalam kerajaan perpaduan pimpinannya.

Untuk sekian lama sejak saya berhenti melihat Perdana Menteri berucap, Anwar sebaliknya telah berjaya mengajak saya bukan sahaja sekadar melihat malah berkobar untuk bersama beliau membawa sinar harapan yang baharu.

 

Komen