Meletakkan Mahathir Di Tempatnya

Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan bahawa kaum Cina di Malaysia masih makan menggunakan chopsticks (penyepit) dan masih belum mengadaptasi cara makan di Malaysia yang menggunakan tangan.

Saya terkedu mengenangkan kenyataan ini di hadapan semangkuk mi segera yang baru saya siram dengan air panas. Lima minit adalah tempoh yang dicadangkan sebelum ianya siap untuk dimakan, tetapi jika saya memilih untuk menggunakan tangan dan bukannya chopsticks maka berkemungkinan besar jari-jemari saya akan melecur akibat kepanasan sup mi segera itu.

Atas faktor inilah chopsticks merupakan pilihan terbaik untuk menjamah mi segera dan apa-apa makanan seangkatan dengannya; mihun, kuey teow bahkan juga laksa yang berutas dan perlu disepit agar mudah disuap. Chopsticks juga pilihan terbaik untuk jenis-jenis makanan yang dimakan sekali suap, seperti sushi atau dimsum.

Tetapi politikus tua seperti Mahathir percaya chopsticks adalah satu contoh untuk membuktikan bahawa masyarakat Cina di Malaysia masih terikut dengan amalan budaya leluhur mereka di China dan masih belum dapat mengadaptasi cara makan di Malaysia yang menggunakan tangan. Mahathir tidak tahu agaknya bahawa masyarakat Cina di Malaysia rata-rata makan durian menggunakan tangan berbanding kerabat diraja Melayu yang khabarnya makan durian menggunakan sudu dan garfu.

Manusia makan pelbagai jenis makanan yang hadir dalam pelbagai bentuk. Oleh kerana makanan itu berlainan, ada cara-cara makan tertentu yang sesuai untuk makanan tertentu. Ada masanya kita lebih mudah menggunakan tangan kosong, tetapi ada juga makanan yang dimakan menggunakan sudu dan garfu atau kombinasi lain seperti pisau. Kemudian ada makanan yang lebih mudah dimakan jika menggunakan chopsticks. Kepelbagaian makanan menuntut kita untuk mempelbagaikan juga cara-cara kita makan.

Begitulah juga dalam hal-hal lain, khusus di Malaysia. Kita ada kepelbagaian bangsa, budaya, amalan dan kepercayaan. Ragam yang pelbagai ini membentuk Malaysia hari ini. Kita sebagai rakyat tahu dan sedar kepelbagaian ini dan boleh sahaja hidup secara tolak ansur mengenainya.

Tetapi, akan ada politikus seperti Mahathir yang tidak pernah lupa untuk menyakat kepelbagaian ini dan menjadikan ia modal politik mereka. Bagi politikus seperti Mahathir, kepelbagaian perlu diganti dengan keseragaman. Berbeza-beza itu sangat rumit bagi Mahathir dan politikus seangkatan dengannya.

Justeru, politikus seperti Mahathir percaya dalam hal politik contohnya, hanya parti Melayu boleh jaga Melayu dan parti Cina jaga Cina dan seterusnya. Mahathir percaya nasib Melayu hanya terbela jika ia diserah kepada pemimpin Melayu. Nasib Cina pula, mungkin lebih baik diurus pemimpin Cina yang juga makan menggunakan chopsticks.

Mahathir lupa bahawa pemahaman sebegini yang membuatkan Malaysia masih lagi terpecah seperti di zaman penjajahan British walaupun sudah berpuluh tahun kita merdeka. Rakyat Malaysia masih terus dipecah perintah dan ia digunakan oleh Mahathir untuk terus-terusan menegaskan kenapa perlu apa parti politik untuk setiap bangsa di Malaysia.

Apa untungnya ini semua buat Mahathir?

Untungnya adalah untuk memastikan parti beliau sendiri, PEJUANG kekal relevan sebagai salah satu alternatif parti Melayu. Tidak mengapa parti Melayu itu sudah ada tiga parti utama dan beberapa parti nyamuk lain, asalkan PEJUANG milik Mahathir masih tetap boleh menumpang dengan menunggang isu kaum.

Maka tidak menghairankan Mahathir selalu memandang sinis pada parti seperti PKR atau DAP yang merupakan parti pelbagai kaum. Kedua parti ini sentiasa menjadi sasaran Mahathir konon PKR tidak akan menang undi Melayu dan DAP pula hanya harapkan undi Cina sebagai bukti parti pelbagai kaum tidak akan pernah diterima dalam politik Malaysia.

Sama seperti chopsticks, Mahathir percaya perlu ada parti kaum untuk satu-satu kaum. Tidak boleh ada satu parti yang dianggotai pelbagai kaum, sama seperti tidak boleh ada satu negara Malaysia yang rakyatnya makan menggunakan tangan, sudu dan garfu atau chopsticks.

Tetapi Mahathir menjawab soalan tentang perbandingan asimilasi kaum di Indonesia dan Malaysia? Soal pemuja Mahathir.

Benar, tapi contoh yang diberikan Mahathir adalah dangkal. Kenapa chopsticks yang dibangkitkan sedang kita semua tahu di Indonesia sana, masyarakat sana juga masih menggunakan chopsticks tidak kisahlah mereka orang Tiongkok, Jawa atau Melayu.

Mahathir boleh sahaja memilih untuk memberikan perbandingan tentang kenapa Cina di Malaysia masih bernama Lee Chong Wei sedang Cina di Indonesia bernama Alan Budikusuma, jika perbandingan asimilasi yang mahu dihuraikan. Kenapa chopsticks juga yang perlu disentuh?

Hakikatnya politik Mahathir adalah politik lama. Politik sebelum alaf baharu yang sepatutnya sudah kita talkinkan dahulu lagi kerana ia tidak membawa negara ini ke hadapan. Sayangnya masih ada antara kita yang percayakan Mahathir, malah sanggup menerbitkan buku tulisannya dan memberikan pentas untuk beliau bercakap hal bukan-bukan. Akibatnya, hantu-hantu era PM4 selama 22 tahun akan terus muncul menghantui kita.

Mahathir adalah peninggalan lama yang sepatutnya kita biarkan diam selepas diberi gelaran Tun. Itu tempat Mahathir yang wajar kita letak sejak tahun 2003 lagi.

Meletakkan Mahathir ditempatnya adalah perlu supaya negara ini dan bangsa generasi baharunya dapat bergerak maju ke hadapan.

Komen