Melawan Politik Rasis

HAMPIR 53 tahun setelah kejadian 13 Mei, masih ada lagi manusia bodoh menggertak kita akan kebarangkalian mimpi ngeri itu boleh berlaku semata-mata mahu memuaskan nafsu serakah gila kuasa.

Tuan-puan,

Walau apa jalur ideologi, pedoman hidup anda, kita semua wajib sepakat melawan kebencian kaum.

Jadi izinkan saya berkongsi pengalaman yang dilalui Subky Abdul Latif, seorang tokoh wartawan saat tragedi itu berlaku di dalam memoir beliau bertajuk Propagandis Zaman.

Di halaman 311, Subky merekodkan apa yang berlaku beberapa jam sebelum hanya Tuhan saja tahu berapa banyak nyawa naik ke langit.

Petang kejadian, tokoh wartawan ini bersama seorang teman sedang menunggu bas untuk pulang ke rumah mereka di Kampung Baru dari pejabat Utusan Melayu mereka yang terletak di kawasan Cina.

Tengah depa dua menunggu, ada seorang Cina yang mengenali teman Subky memberhentikan keretanya lalu bertanya ‘nak pi mana?’

Temannya menjawab, ‘Kampung Baru’.

Lalu kawan cina tadi membawa mereka balik ke sana.

Sesudah sampai menghantar depa di Jalan Raja Uda, Kampung Baru itu, rakan Cina yang baik hati tanya macam mana nak keluar?

Teman Subky yang bernama Pak Husni beri panduan. ‘Ambil mana-mana lorong masuk ke kiri anda akan sampai ke Jalan Raja Muda. Jika ikut ke kiri ke Chow Kit Road dan kalau ke kanan sampai ke Jalan Tun Razak dan Dato’ Keramat’.

Selepas itu, sekitar lima minit Subky Latif kata dia nampak orang berlari-lari anak di Jalan Raja Uda. Ada rusuhan berlaku di depan rumah Menteri Besar Selangor, Dato’ Harun.

Kata Subky, ada ribuan orang Melayu daripada seluruh semenanjung berhimpun menunjuk rasa (protes) sebab bimbang dengan prestasi teruk Perikatan di Selangor, Perak dan paling cikai di Pulau Pinang.

Lalu Subky, dalam memoirnya bertanya apa yang terjadi pada Cina yang sudi menghantar depa balik tadi? Adakah dia belok kiri (kalau kiri selamat). Kalau ke kanan, sudah tentu dia tersekat di tengah perkumpulan besar di kediaman Menteri Besar Selangor.

Jadi saya nak tanya tuan-tuan,

Berbaloikah kita terhasut dengan propaganda yang dibikin oleh beberapa manusia tak guna (saya tujukan khusus kepada ustad Tiktok) yang dok cakap pasal 13 Mei hari ini?

Menurut saya, naratif ‘kedudukan agama terjejas, diburuk-burukkan’, ‘status dan hak bangsa dianatirikan’, ‘maruah Melayu dipersenda dan dipijak-pijak’ adalah hujah paling bangang tiada tolok bandingannya.

Jika golongan-golongan ini terlalu mementingkan maruah bangsa dan agama, depa sepatutnya memperhati prestasi dan track record pilihan pemimpin mereka di Dewan Parlimen.

Ini mai Parlimen pun 24/89.

Ada hati kata orang macam ni akan pelihara, mempertahankan bangsa dan agama?

Depa ni paham ke tidak pemimpin depa itu adalah policymaker (pembuat dasar). Susah-senang hidup depa bergantung kepada dasar dan polisi orang-orang yang berada dalam Parlimen.

Kalau selama ni hang tengok kehidupan hang takat tu saja, maknanya itu bukan salah sebab azan tak berkumandang. Itu salah orang yang hang pilih!

Saya bukan nak bawa cerita simpati Cina seperti yang diceritakan Subky Latif dalam memoir beliau.

Saya cuma nak tanya, dalam kejadian berdarah yang dia bangga-banggakan itu, siapa yang lebih ramai mati? Orang politik yang hang pertahankan? Atau rakyat biasa miskin pembayar cukai?

Seorang manusia yang beriman takkan berpesan kepada kita sesuatu yang mekar rasa kebencian. Dia takkan tiupkan semangat perkauman. Dia takkan bagitau kita hak agama dia saja yang penting, keyakinan orang lain wajib menuruti saja.

Sebaliknya dia akan berpesan untuk menerima keputusan.

Ini bukan cerita salah orang yang tidak mengundi. Ini juga bukan salah orang yang keluar memilih siapa yang dia berkenan di hati.

Ini salah orang yang tak reti menerima dan menghormati keputusan manusia lain.

Lepas tu dia bising, buat video setan perkauman dia pakai serban, pakai jubah, tayang gambar parang dan sebagainya.

Menghormati apa jua keputusan adalah benda yang saya – lelaki slack ini pesankan kepada tuan-puan sekalian. Anda takkan dapat benda ni dari mereka yang gila kuasa, ada lebai atas kepala macam ustad tu.

Hidup ini terlalu singkat untuk mati di jalan perkauman. Lebih memalukan mati mempertahankan mereka yang berkuasa atas nama ketuanan bangsa dan superioriti agama.

Tugas kita sebagai manusia waras dan merdeka ialah melawan sesiapa sahaja yang menumbuh biakkan rasa benci walaupun dia seorang yang memilik ijazah tinggi dalam agama. Ini ternyata adalah tanggungjawab kita bersama, “To arms we call you to arms”.

Biar saya tutup perenggan ini dengan apa yang ditulis Subky Latif di halaman 316 Propagandis Zaman,

“Perkauman itu suatu yang lahir bersama lahirnya setiap suku dan puak. Benihnya ada pada setiap insan beriringan dengan nafsu yang menjadi sebahagian daripada sifat manusia. Sebagaimana nafsu memandu jiwa amat payah dikawal, maka begitulah perkauman sukar dikawal apabila hawa nafsu yang berkuasa mengawal setiap hala tuju kaum. Bagi kaum serumpun yang dipandu nafsu, setiap suku mencurigai suku yang lain. Suku Acheh tidak sedia bertentang muka dengan suku Jawa, puak Kelantan tidak sedia bersetia dengan puak Terengganu.”

Komen