BAPA Korupsi telah menang di Melaka. Bapa Korupsi ini bergentayangan bagai hantu puntianak berlegar di Melaka sepanjang kempen baru-baru ini.
Bapa Korupsi ini adalah pesalah dan penjenayah rasuah. Bapa Korupsi ini adalah penyangak dan penyamun. Bapa Korupsi ini mengakibatkan negara kehilangan, ketirisan dan kerugian billon ringgit. Bapa Korupsi ini kaki sogok kecil dan besar. Bapa Korupsi ini adalah simbol terhebat dari Cita Bencana.
Istilah Cita Bencana ini mula-mula diperkenalkan oleh almarhum Profesor Syed Hussein Alatas pada 2001 dalam syarahannya ‘Cita Sempurna Warisan Sejarah’ dan ada diterbitkan oleh Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Istilah ini adalah kebalikan dari semua yang baik-baik, semua yang sempurna, semua yang elok-elok pada seorang pemimpin. Cita Bencana ini ada bentuk-bentuknya, dan dua dari itu memang terlihat sebagai pancaran di Melaka. Dua itu adalah maraknya pemimpin jenayah, dan pemimpin yang tegak atas nilai institusi yang bobrok lantas melacurkan kepercayaan masyarakat.
Pemimpin yang senonoh, dan bukan Cita Bencana ini menurut Profesor Syed Hussein Alatas adalah pemimpin yang dipengaruhi oleh episod atau pengajaran sejarah dengan nilai dan unsur moral yang tinggi. Pemimpin ini penuh dengan nilai kemanusiaan dan berkemampuan untuk menghindarkan diri daripada unsur cita bencana seperti rasuah dan penindasan. Hal ini ditekankan oleh Alatas terutamanya bagi pemimpin tertinggi dengan kekuasaan yang sangat besar. Ini kerana cita sejarah yang sempurna menurut beliau akan memandu pemimpin atau penguasa ke arah yang benar.
Tambah Profesor Alatas, jika seorang pemimpin dipengaruhi oleh cita sejarah dengan nilai moral yang lemah, maka akan berlakulah manipulasi terhadap agama dan memperalatkan segala-gala yang boleh untuk mendapatkan kuasa, menabur janji sewenang-wenang kepada rakyat dan memungkirinya atau melaksanakan secara ala kadar.
Untuk menghuraikan kebencanaan pada pemimpin Cita Bencana, Profesor Alatas menciptakan satu istilah untuk mereka iaitu: Jadong.
Jadong adalah singkatan daripada sifat jahat, bodoh dan sombong. Jadong digunakan untuk merujuk golongan berkuasa yang melakukan pencerobohan ke atas cita sempurna. Beliau turut mendefinisikan sifat-sifat tersebut yang mana kata bodoh dalam konteks ‘jadong’ bukan bermaksud tolol atau jahil tetapi tidak tahu menggunakan daya fikir atau tipu muslihat.
Dalam huraiannya, kata bodoh itu dibahagikan kepada tiga perkara iaitu, pertama; tidak bijak mencapai matlamat jangka panjang sebagai punca pencapaian; kedua, tidak tahu mengendalikan perasaan dan; terakhir, tidak menolak bahkan menerima pengaruh cita bencana.
Jika bodoh itu ada pecahan-pecahannya. Kata jahat dalam ‘jadong’ itu pula, sebagaimana diungkapkan oleh Syed Hussein Alatas ialah, “mengamalkan dan mencanang rasuah dalam bentuk polisi-polisi tertentu”. Dalam sejarah Islam, beliau mengambil contoh Hajaj bin Yusuf sebagai tokoh pemimpin jadong yang korup. Manakala dalam sejarah Eropah ialah Henry VIII, Raja Inggeris (1491-1547).
Dalam konteks negara kita, pemimpin Cita Bencana dan jadong ini tidak lain tidak bukan adalah Bapa Korupsi.
Syed Hussein Alatas menjelaskan pemimpin jadong ialah pemimpin yang cenderung untuk merosakkan masyarakat. Ia berkepentingan diri. Pemimpin dan pemerintahan jadong menurutnya banyak terdapat di Asia (termasuk di Malaysia) dan Afrika. Pengaruh pimpinan jadong dan tindak tanduk pemerintahan mereka ini akan mendorong berlakunya cita bencana yang besar. Cita bencana paling nista sekali ini ialah penjelmaan rasuah yang meluas. Yang tentu saja akan mengakibatkan bermacam masalah lain. Hanya ia tidak kelihatan sekarang. Kesan korupsi tidak dirasai waktu ini. Ia hanya dirasai setelah beberapa dekad, malah abad. Ia adalah barah masyarakat. Ia makan dalam.
Apabila Melaka memilih dengan sengaja (atau tidak sengaja, kerana enggan keluar mengundi) Bapa Korupsi, kita seharusnya merasa khuatir kerana pemimpin Cita Bencana ini diberi sorak-sorai, diraikan, ditatang bagai minyak penuh; bahkan kejadongannya itu dianggap sebagai sesuatu yang perlu dikasihani.
Kekhuatiran itu sangat genting dan sengit, memandangkan tebusannya adalah generasi mendatang. Generasi hari ini yang memilih dan mengundikan Bapa Korupsi tidak memikirkan bahawa mereka sedang mengukuhkan kebendaan. Ini kerana mereka memilih sogokan dan benda berbanding kemaslahatan masyarakat secara rohaninya.
Kebendaan adalah satu falsafah yang tercermin pada iblis, pada Qabil, pada Firaun, pada Haman, pada Namrud, pada Abu Lahab, pada pemimpin-pemimpin Cita Bencana; dan pada Bapa Korupsi. Ia adalah mazhab material. Ia tumbuh atas keinginan benda, atas kerosakan spiritual dan atas kepincangan moral yang luar biasa. Ia hidup dan bernyawa bernafas atas materi. Semua bentuk dan pesen materi asalkan, ia materi yang menguntungkan. Maka saat disogok, diberi habuan besar kecil, atau luar dalam; rakyat yang juga sudah digelapkan oleh kesetanan ini akan langsung lupa.
Bapa Korupsi bukan kebetulan tahu sistem yang lemah dan selok belok helah yang boleh dimainkan untuk terus berkuasa. Ia pernah tegak dan mencipta sistem lemah itu. Meskipun sudah tergolek, Bapa Korupsi tahu di mana ia boleh bermain untuk melepaskan diri. Di saat Bapa Korupsi makin terjerut, apa yang ia dapat lakukan dengan licik ialah; menggunakan kelemahan sistem demokrasi untuk menjerut dan membelit rakyat yang alpa.
Maka Bapa Korupsi dapat kembali. Ia berhasrat untuk berada di puncak semula untuk menyelamatkan dirinya, dan keluarganya dari kebencanaan. Ia pemimpin Cita Bencana yang banyak berpura-pura dan menjalar mengular menggunakan seluruh kebendaan dan kedajalan untuk mempengaruhi orang ramai.
Rasuah dihambur. Rasuah direnjis disiram dan disahut penuh kemeriahan.
Melaka, di mana segala-galanya bermula memberikan kesempatan itu. Melaka kuyup basah oleh korupsi. Melaka yakin korupsi. Melaka memilih rasuah. Melaka mencintai sogokan. Melaka gemarkan jenayah. Melaka rindukan saat ditutuh segala pembohongan kebendaan. Melaka merelakan dirinya dihenyak dihempap iblis yang menawarkan kebendaan. Ini kerana Cita Bencana itu tenaga pengajarnya adalah iblis yang mengagungkan benda.
Melaka memilih bencana. Melaka memilih jahat. Melaka memilih bodoh. Melaka memilih sombong. Melaka mengundikan kesempatan untuk mengukuhkan bencana, dan segala anasir jahat, bodoh, dan sombong. Melaka dengan sengaja (atau tidak sengaja, kerana ada yang enggan keluar mengundi) mengangkat Bapa Korupsi merupakan puncak pengkhianatan yang paling lahanat dalam sejarah moden negara ini.
Melaka telah mengkhianati seluruh generasi mendatang. Jika anda dari masa hadapan yang membaca tulisan ini; maka ketahuilah, Melaka hari ini harus dihamun dan disumpah. Kalian dari masa depan harus tahu, di sini bermula segala-galanya, iaitu di saat Melaka memilih Bapa Korupsi.
Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali sebagai Faisal Tehrani adalah Felo Penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Penyelidik Bersekutu di sebuah tim penyelidikan di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard, Amerika Syarikat. Kajian beliau menganjur dari Sastera Bandingan sehingga Hak Asasi Manusia dengan penekanan terhadap kumpulan minoriti agama.