Medium Sosialisasi: Sudut Positif Dan Negatif

Saban hari, peratusan penggunaan laman web, aplikasi dan media sosial meningkat. Jika dahulu, penggunaan medium konvensional seperti khabar dijadikan pelantar utama dalam menghidangkan maklumat dan informasi yang baharu. Namun, pada era globalisasi ini, segalanya terletak di hujung jari. Memang tidak dinafikan, penggunaan internet kini lebih produktif dalam menyalurkan suara rakyat dan rakyat dilihat lebih memihak isu-isu yang disampaikan di dalam laman web, aplikasi dan media sosial berbanding liputan media tradisional (termasuk percetakan dan penyiaran). Tambahan pula, apabila sesetengah siaran atau ulasan media tradisional yang disajikan, seringkali dilihat berat sebelah atau taksub mana-mana ideologi parti politik masing-masing. Ini menyebabkan rakyat Malaysia lebih tertumpu untuk menjadikan laman web, aplikasi dan media sosial sebagai trend komunikasi alternatif.

Menurut bancian yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan laporan melalui Jabatan Perangkaan Malaysia pada Mac tahun 2020 mendapati, daripada 32.37 juta populasi rakyat Malaysia, 27.1 juta adalah pengguna internet, 25.35 juta pemilik akaun Facebook, 11.49 juta pemilik akaun Instagram, 13.07 juta Khidmat Pesanan Ringkas (SMS), 5.4 juta Linkedin dan angka ini terus bertambah setiap hari bagi memenuhi permintaan orang ramai. Sungguhpun, dari sudut positif lebih banyak memihak, namun dari sudut negatif turut juga berlaku. Sedar atau tidak sedar, rakyat Malaysia mudah terpedaya kepada racun laman web, aplikasi dan media sosial. Penyebaran maklumat palsu, fitnah-memfitnah, perli-memerli, berbaur perkauman dan putar belit sesuatu fakta kini berleluasa dalam dunia maya. Hal ini kerana rakyat Malaysia dilihat hanya menilai, mengkritik dan mengulas sesuatu isu tanpa bukti konkrit.

Umum mengetahui laman web, aplikasi dan media sosial adalah satu bentuk wahana yang digunakan secara talian internet dan membolehkan rakyat Malaysia berhubung, berinteraksi, dan berkongsi secara terus. Kemudahan medium serba canggih ini membolehkan persepsi negatif yang esktrem dilontarkan tanpa sempadan. Lihat sahaja kekecohan yang ditimbulkan sepanjang musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlaku di negara ini. Pelbagai persepsi dan cerita jelik bercampur-aduk sehingga menyebabkan rakyat Malaysia sendiri keliru dengan kesahihan berita tersebut. Apa yang lebih menggusarkan, generasi muda yang hari ini mudah tertipu terhadap kandungan laman web, aplikasi dan media sosial. Pelbagai slogan palsu bertopengkan perjuangan hak asasi manusia tersebar. Selain itu, serangan ideologi Barat yang menjahanamkan minda rakyat Malaysia seperti Komunisme, Kapitalisme, Liberalisme, Sekularisme, Orientalisme, Pluralisme dan Sosialisme turut menular sama ada melalui laman web, aplikasi ataupun media sosial. Bukan itu sahaja, kumpulan militan Islamic State in Iraq and Syria (ISIS) yang berselindung di sebalik kalimah jihad turut mempromosikan agenda mereka menerusi rangkaian sosial tersebut

Jadi kesannya, umat Islam yang cetek akan isu semasa dan kurang arif dalam ilmu agama akan mudah terjebak dengan apa yang dibaca. Mereka beranggapan bahawa ISIS hanyalah gerakan biasa, bukan suatu ancaman. Maka, berlakulah proses normalisasi yang akhirnya melahirkan masyarakat Islam yang menyokong kepada keganasan dan peperangan. Seterusnya, keterbukaan pornografi juga makin menjadi-jadi apabila dikriteriakan ‘sajian’ oleh penggemarnya. Pada tahun 2018, pihak SKMM melaporkan kira-kira 4,318 laman web lucah dan 400 laman web melibatkan seksual kanak-kanak serta sesetengah yang lain memiliki pengikutnya tersendiri, di samping golongan cerdik pandai turut mengawal dunia ghairah khayalan tersebut. Menurut statistik global yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat, Malaysia antara negara yang memiliki jumlah penonton sumber lucah paling tertinggi di Asia dan kaum wanita antara mengungguli carta terbanyak berbanding lelaki. Maka, kesannya bukan sahaja merugikan diri sendiri, institusi kekeluargaan, agama dan masyarakat bahkan nama negara juga turut terkena tempias.

Oleh sebab itu, pihak SKMM menasihati rakyat Malaysia agar lebih cerdik dan berhati-hati ketika mengendalikan laman web, aplikasi dan media sosial. Ini bagi mengelakkan berlakunya perpecahan, menghancurkan ketenteraman dan mengancam kesihatan fizikal serta mental yang sedia ada. Laman perangkaian sosial seperti permainan sosial, blog, mikroblog, forum, Instagram, WhatsApp, WeChat, Twitter, Facebook, Myspace, Tumblr, Youtube serta aplikasi terbaharu Tiktok perlulalah dikendalikan dengan efisien dan baik bagi memastikan penggunaan dunia siber yang sedia ada itu terus terjamin pada masa hadapan. Rakyat Malaysia juga perlu ingat bahawa, undang-undang yang dikendalikan oleh pihak SKMM sama ada ‘online’ atau ‘offline’ itu sama. Segala penggunaan melalui laman web, aplikasi dan media sosial perlu mengikut garis panduan serta menghormati undang-undang dalam negara. Dari aspek keharmonian pula, impak buruk akan berlaku jika laman web, aplikasi dan media sosial tidak dijaga serta diurus dengan cekap. Suasana keharmonian yang sedia ada akan runtuh dan hubungan masyarakat berbilang kaum yang terjalin sejak dahulu lagi akan rosak. Maka negara ini akan bertukar wajah. Isu perpaduan dan seterusnya isu perkauman akan bertambah serius.

Tentang Penulis

Muhammad Zulazri Hanis adalah siswa Universiti Malaysia Perlis dalam jurusan Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Teknologi Robotik dan Automasi). Beliau adalah penulis yang terpilih dalam Liga Penulisan Artikel Pengajian Tinggi.

Komen