Media Dan Kejahatan Sempurna

MANIPULASI kenyataan dan putar belit fakta telah menjadi suatu cara bagi media memburuk-burukkan imej parti lawan di mata masyarakat.

Malah, media arus perdana saban hari cuba menerbitkan laporan yang menimbulkan kemarahan rakyat dalam kalangan pemimpin Pakatan Rakyat.

Manipulasi media boleh melaga-lagakan pemimpin-pemimpin parti sendiri melalui mainan kenyataan-kenyataan antara dua pemimpin.

Pada suatu ketika dahulu, kes Azmin Ali dengan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar boleh dijadikan contoh permainan kotor media. Bahkan isu PAS dan DAP jugak boleh dipermainkan media sehingga terjerumus ke dalam perangkap yang dipasang.

Bahkan jika kita meneliti kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan media kawalan kerajaan menjelang pilihan raya kecil di Permatang Pauh dan Rompin, kita dapat merasakan wujudnya perencanaan yang seolah-olah dengan sengaja ingin menimbulkan ketegangan, kebimbangan, dan kebencian rakyat ke atas parti lawan.

Oleh itu, timbul beberapa pertanyaan berhubung dengan penyebaran dan penguasaan maklumat yang disampaikan media. Pertanyaan-pertanyaan seperti sejauh manakah kesahihan sumber politik dan manipulasi maklumat oleh media merupakan cerminan daripada realiti?

Atau apakah sebaliknya ia menjadi separuh sahaja daripada cerminan realiti atau topeng kepada separuh realiti lain? Adakah laporan-laporan media ini mempunyai penetapan agenda atau pembingkaian yang tersendiri?

Media memainkan peranan penting dalam mencapai matlamat dalam pembangunan suatu bangsa dan negara. Dalam proses pembangunan ini, harus terdapat kekuatan yang besar. Mereka yang menguasai media memiliki kuasa begitu besar. Tujuan besar itu membangun budaya rakyat ataupun menguasainya.

Ketika media dikendalikan dengan berbagai kepentingan dan pengaruh parti politik dan parti pemerintah dengan agenda yang tersurat dan tersirat maka ketimbang menjadi cermin realiti, media sering dituduh sebagai perumus realiti sesuai dengan hasrat dan agenda yang melandasinya.

Beroperasinya agenda atau ideologi di sebalik media tidak dapat dipisahkan daripada mekanisme ketersembuyian dan ketidaksedaran yang merupakan syarat daripada keberhasilan sebuah agenda.

Maksudnya di sini adalah sesebuah agenda itu menyusup dan menanamkan pengaruhnya melalui wahana media secara tersembunyi iaitu tidak sedar dan secara halus. Ia dapat merubah pandangan setiap orang secara tidak sedar.

Inilah yang dimaksudkan dengan kejahatan sempurna. Ia adalah kejahatan yang dengan jitu membunuh realiti, yang menikam kebenaran dan yang menusuk keadilan.

Kejahatan yang begitu rapi direncanakan, disusun dan dikuasai, menghasilkan realiti-realiti kejahatan yang semu. Ini ada kaitan manipulasi dan pelacuran berita sehingga tidak dapat membezakan antara yang palsu dan realiti.

Sekiranya kejahatan yang menikam kebenaran itu berleluasa, kita perlu berasa khuatir akan “hilang”nya hal-hal nyata yang dibaluti oleh lapisan-lapisan kepalsuan fakta dan manipulasi yang tidak berhujung pangkal dan begitu rumit menjelmanya realiti dan kebenaran hakiki.

Ia akan merumitkan proses menjelmakan jati diri rakyat dalam dunia seperti itu dan lebih membimbangkan proses penikaman kebenaran akan menjadi proses utama dalam proses hegemoni.

Ia boleh berlaku kepada mana-mana media baik media pemerintah dan pembangkang di mana-mana negara.

Menurut seorang ahli akademik dan pengkritik budaya dari Indonesia, Yasraf Amir Piliang dalam bukunya Posrealitas bahawa lebih membimbangkan apabila kejahatan berbaur dengan rekayasa kejahatan, realiti kekerasan berbaur dengan hiperealiti kekerasan.

Kejahatan selalu menyembunyikan dirinya sendiri dalam rangka menyembunyikan dirinya lewat berbagai bentuk topeng, selubung ataupun mekap. Memandangkan sifatnya yang sempurna, kisah-kisah kejahatan pakatan ataupun konspirasi tidak pernah terbongkar dan tidak pernah ada jalan penyelesaian.

Ada berbagai mekanisme yang dilaksanakan di antaranya adalah mekanisme lawan atau pertentangan binari (binary opposition) iaitu penciptaan makna simbolik berdasarkan sistem kategori pasangan polaristik seperti pilihan hitam/putih. Dalam hal ini pembaca tidak mempunyai pilihan lain.

Setiap isu yang timbul akan disimpulkan antara satu kutub yang ekstrim iaitu hitam ataupun putih.

Mesin-mesin binari ini menurut Deleuze dan Parnet dalam buku mereka Dialog biasanya digunakan oleh sistem kekuasaan yang menindas dan autoritarian dalam menciptakan pembahagian budaya secara kaku.

Mesin-mesin binari ini diterapkan dalam sistem politik media dan politik kerajaan.

Mesin lawan binari ini hanya menghasilkan berbagai lawan binari dalam masyarakat umpamanya: kelas pemerintah/penguasa dan rakyat, golongan tua dan golongan muda, kerajaan dan pembangkang, patriotik dan pengkhianat negara, imej positif dan negatif, penyatuan Melayu dan anti penyatuan Melayu, pejuang Melayu dan anti-Melayu, pro kerajaan dan anti kerajaan majikan dan pekerja, kolar biru dan kolar putih dan sebagainya.

Kedua kesan yang ditimbulkan oleh mesin-mesin lawan binari ini adalah kekerasan simbolik di dalam media. Dalam hal ini disebabkan oleh kuasa pemerintah, kelas penguasa akan mengaitkan diri sebagai baik, mulia, jujur, tidak bersalah, tidak berdosa, bertanggungjawab; sementara orang-orang yang dikuasai atau pembangkang sebagai pengkhianat, penjahat, anti-pejuangan Melayu, tidak patriotik, penjenayah, ekstrimis dan anti-kerajaan.

Kecenderungan pembenaran seperti yang dikakukan media milik atau kecenderungan penguasa disebut Pierre Bourdieu sebagai kekerasan simbolik iaitu bentuk kekerasan yang halus dan tidak kelihatan yang tersembunyi di sebalik dominasi pemaksaan.

Dalam hal ini, kekerasan simbol tidak saja dilihat sebagai bentuk dominasi politik melalui media tetapi sengaja mengelirukan rakyat walaupun fakta yang dikemukakan mungkin shahih melalui konteks penulisan dan pelaporan berita piramid terbalik atau format 5W1H.

Dalam mekanisme kekerasan simbol, perhubungan komunikasi itu saling bertautan dengan perhubungan kekuasaan yang di dalamnya hegemoni sebuah kekuasaan dipertahankan dengan menguasai penghasilan dan penafsiran terhadap media, bahasa dan makna yang bergerak di dalamnya, yang menciptakan pertandaan dan pemaknaan yang serba tunggal atau dikenali sebagai mono-signification.

Pemaksaan makna dan fakta di dalam media sering kali berlangsung secara halus dan tidak kelihatan sehingga tidak disedari ianya sebagai suatu pemaksaan, kekerasan atau rekayasa. Ini bererti semuanya berlangsung tanpa disedari oleh orang yang menerimanya.

Masyarakat tidak akan pernah mengetahui kebenaran di sebalik kejahatan dan kekerasan. Seolah-olah kejahatan dan kekerasan itu tidak pernah ada, padahal kesan-kesan kejahatan tersebut terus menghantui masyarakat seperti ketakutan dan kebimbangan atau trauma.

Kepalsuan dan kepura-puraan ini akhirnya menimbulkan “dendam moral” yang mendalam di kalangan masyarakat yang padsa satu ketika nanti dapat meledak menjadi bentuk-bentuk letupan kekerasan.

Kita harus bimbang sekiranya ledakan ini berlaku dan kejahatan telah menguasai negara dan menjalar ke dalam struktur sosial secara menyeluruh, maka yang tercipta akhirnya adalah semacam masyarakat kriminal.

Mungkin juga kejadian jenayah yang kita lihat sekarang ada kaitannya dengan apa yang disebutkan di atas.

(Artikel ini adalah petikan dari buku Media=Setan)

Komen