DIA suka menulis puisi. Puisi-puisinya dibenci saya. Saya tidak suka. Puisi-puisinya sampah-sampah belaka.
Tetapi, begitulah reaksi antara perbezaan dalam kehidupan yang menyedihkan ini. Kami bercinta.
Apabila sebuah malam yang tersangat kaku itu membuatkan awak terasa sangat lapang dan panjang, ia adalah sebuah malam yang paling tidak akan terkenang. Percayalah.
Ketika itu kami sedang menikmati makan malam. Yang telah saya jangkakan sebagai makan malam yang terakhir kami bersama.
Dia memegang tangkai cawan kopinya. Saya memegang perkara yang serupa. Sambil mencungkil gigi yang penuh dengan daging kambing, dia bertanya tentang apa yang saya rasa.
Boleh lah, kata saya. Berdebar sikit lah, kata saya lagi. Dia meletakkan pencungkil gigi di atas meja. Gelas jernih yang terisi air suam diambilnya perlahan. Untuk debaran yang tersangat cekal ini, saya melihat sejalur embun mengalir dan menguntum untuk beberapa ketika di lehernya yang gebu itu.
Dia mengambil separuh rokok di tangan saya dan menghisapnya perlahan-lahan. Asap rokok yang halus dan keras itu jatuh perlahan ke atas meja, seiring dengan jelas air matanya.
Selamat jalan, dia kata.
Pintu rumah kami dirempuh dengan kuat oleh entah siapa.
Bunyi hentakan yang sangat kuat kedengaran. Saya hampirhampir terpejam mata kerana terkejut akan bunyi yang tersangat hebat itu. Bunyi-bunyi derap kaki melangkah terus jelas kedengaran dari tingkat atas.
Saya memegang tangannya. Mengucapkan perkataanperkataan cinta, yang dijanjikan dengan tiada.
Kerana malam ini, aku sungguh takut berjanji.
Sekumpulan lelaki yang bersut hitam seragam dengan bertutupkan helmet di kepala mereka masuk ke aras atas dengan keras. Tangan mereka yang masing-masing tergenggam sebatang kayu dan sepapan perisai penghadang menghentak-hentak tubuh saya dengan garang.
Di depan mata, dengan hidung yang berdarah dan sebuah pijakan di kepala, saya melihat dia menoleh ke arah lain, menghisap rokok yang terakhir itu dengan anak mata yang sudah mati dengan sebuah sedu-sedan dan sebelum sempat asapnya dihembus, tubuhnya terbang jauh direlakan sebatang kaki yang besar.
Saya ingin menjerit tetapi sebuah pukulan yang sangat kuat menghentak rusuk dan seterusnya menikam-nikam belakang
kepala.
Selamat malam, sayang. Moga malam ini tidur mu makmur.
Tulisan Petak Daud ini ada di dalam Perempuan Tua Di Kedai Sup.