Maszlee, Arab Saudi Dan Pendidikan

Baru-baru ini kecoh berita tentang cadangan Kementerian Pendidikan untuk membawa masuk guru-guru dari Arab Saudi ke Malaysia. Dan yang mendukacitakan, rata-rata kebanyakan pihak beranggapan bahawa Kementerian Pendidikan akan membawa masuk guru-guru dari Arab Saudi ini untuk mengajar di negara kita. Sekurang-kurangnya inilah kesimpulan yang dibuat oleh beberapa pihak dengan pelbagai latar belakang, dari seorang penulis blog seperti Syed Akbar Ali hinggalah ke portal media Malaysiakini dan seterusnya ke presiden parti seperti Datuk Dr Dominic Lau dari Gerakan.

Sedangkan jika dirujuk kembali pada kenyataan oleh YB Menteri Pendidikan ia jelas menyebut;

Arab Saudi juga sedang menyusun para guru mereka daripada 3 subjek iaitu English, Matematik dan Sains untuk dihantar dan dilatih di Malaysia bagi mempersiapkan sistem pendidikan mereka menghadapi Pendidikan Abad Ke-21.

Kata kunci yang jelas adalah “dihantar dan dilatih di Malaysia”. Dilatih (diajar / to be trained) pastilah berbeza maknanya dengan melatih (mengajar / to train). Dalam konteks tulisan YB Menteri Pendidikan itu sendiri, guru-guru Arab Saudi yang akan dihantar ke Malaysia ini akan dilatih bagi mempersiapkan pendidikan mereka menghadapi Pendidikan Abad Ke-21. Mereka tidak akan melatih penggiat pendidikan kita jauh sekali akan mengajar secara rasmi anak-anak Malaysia di sekolah melainkan dari apa yang mungkin perlu sebagai sebahagian dari latihan mereka.

Masalah dengan individu seperti Syed Akbar Ali (yang pernah menulis buku Malaysia And The Club of Doom), Malaysiakini (yang ditulis oleh Stephen Ng) dan Datuk Dr Dominic Lau adalah, mereka terlalu handal berbahasa Inggeris tapi gagal memahami perkataan dan ayat mudah dalam bahasa kebangsaan. Dan mungkin kerana merasakan diri lebih bijak serta sentiasa betul, mereka pantas membuat kesimpulan dan menghukum YB Menteri Pendidikan atas satu keputusan yang dilihat pendek akal dan berbau keagamaan atau fahaman Wahabi.

Tidaklah seorang menteri pendidikan, kementerian pendidikan atau kerajaan Malaysia terlalu pendek akal untuk melatih guru-guru dari Arab Saudi tanpa sebarang timbal balik yang berfaedah buat negara. Timbal balik yang paling jelas ada ditulis dalam kenyataan oleh YB Menteri Pendidikan sendiri;

Dan yang lebih penting, Kementerian Pendidikan Saudi telah memutuskan untuk memberikan 300 biasiswa kepada mahasiswa dan mahasiswi Malaysia. Tumpuan biasiswa ini adalah kepada bidang sains dan teknologi.

Tiga ratus biasiswa dari sebuah negara yang jauh lebih kaya dari kita, khusus untuk mahasiswa dan mahasiswi Malaysia dengan tumpuan kepada bidang sains dan teknologi. Bukannya kepada ilmu agama semata atau mengikut dakwaan individu seperti Syed Akbar Ali, fahaman Wahabisme yang kononnya cuba disebarkan oleh Arab Saudi di Malaysia.

Adalah penting sebenarnya dalam membina rangkaian hubungan diplomatik antarabangsa, negara kita Malaysia menjalin kerjasama erat dengan pelbagai negara selagi ianya dapat memberikan impak positif dan faedah buat Malaysia. Kerjasama dalam bidang pendidikan adalah satu cabang yang perlu diteroka dan dimeterai, demi memastikan sistem pendidikan kita kekal berdaya saing di peringkat global. Kita bukan sekadar perlu belajar dari Finland atau Jepun sahaja, tetapi juga dari negara lain dimana kelebihan atau kekuatan mereka mungkin berbeza dengan apa yang kita ada

Arab Saudi sendiri dalam bidang pendidikan tidaklah ketinggalan jauh berbanding Malaysia sebenarnya. Maka tidak hairanlah dalam Human Development Index (HDI) 2017 yang dikeluarkan oleh United Nations Development Programme, Arab Saudi sendiri berada di kedudukan ke-39 dunia berbanding Malaysia pada kedudukan ke-57. HDI atau Melayunya, Indeks Pembangunan Manusia adalah indeks komposit statistik bagi penanda jangka hayat, pendidikan dan pendapatan per kapita. Arab Saudi juga mendahului Malaysia dari segi kadar literasi dengan 94.4% populasinya celik huruf (berbanding 93.1% di Malaysia) manakala 67% rakyatnya mempunyai pendidikan tertiari berbanding hanya 44% di negara kita.

Memang, tidak dinafikan segala kelebihan ini adalah atas faktor peruntukan belanjawan pendidikan Arab Saudi yang jauh lebih besar jumlahnya berbanding Malaysia. Pada tahun 2017 sahaja Arab Saudi memperuntukkan sebanyak AS$53.4 bilion untuk pendidikan, berbanding hanya AS$15.4 bilion untuk tahun 2020 buat pendidikan negara kita.

Ini adalah kekuatan yang memberikan mereka kelebihan berbanding kita. Di sinilah peluang untuk kita berkongsi pengetahuan dengan penggiat pendidikan negara Timur Tengah itu. Mengajar dan diajar.

Kita mungkin tidak bersetuju atau sefahaman dalam banyak hal. Tetapi itu tidak bermakna bahawa kita perlu sentiasa memilih untuk mengkritik atau menghentam usaha-usaha YB Menteri dan Kementerian Pendidikan untuk menambah baik sistem pendidikan negara. Baik dari isu kecil seperti warna kasut sekolah, atau rancangan sarapan percuma, mahu pun usaha untuk belajar dari Finland dan Jepun hinggalah kepada kerjasama pendidikan antara Malaysia dan Arab Saudi. Ini semua adalah usaha untuk memastikan pendidikan Malaysia kekal mapan dalam menghadapi Pendidikan Abad Ke-21.

Harus diakui portfolio pendidikan sememangnya satu portfolio yang mencabar dalam negara kita. Ia melibatkan kepentingan banyak pihak dan acapkali dijadikan political mileage pihak tertentu, sejak dari merdeka hinggalah kini. Apa sahaja usaha menteri pendidikan yang terdahulu, tidak akan terlepas dari disindir atau dihentam pihak berkepentingan. YB Dr Maszlee Malik selaku Menteri Pendidikan hari ini pastilah juga tidak akan terlepas dari ‘diserang’.

Tetapi untuk menjadi seperti Syed Akbar Ali, Malaysiakini atau Datuk Dr Dominic Lau dengan sifat serkap jarang mereka, adalah sangat tidak adil. Terlalu cepat menghukum walhal diri sendiri tidak tahu hujung pangkal dan tidak faham apa yang ditulis. Dan setelah sedar tersilap, dengan mudah padam artikel tanpa perlu mohon maaf.

Mudah betul kerja mereka.

Komen