Masih Ada Orang Kata Malaya Itu Malaysia

Dalam bulan kemerdekaan, iaitu dari 17 Ogos hingga 16 September, masih terbaca ungkapan-ungkapan dari kalangan anak muda yang menyebut “Malaysia yang dahulunya dikenali sebagai Malaya” dalam posting-posting di media sosial.

Walaupun ungkapan itu hendak menyatakan bahawa nama negara ini dahulunya adalah Malaya dan kini ia dikenali sebagai Malaysia, tetapi ia merupakan pernyataan yang tidak benar dan menggambarkan kekeliruan di kalangan rakyat, terutama mereka yang berada di semenanjung.

Kebenarannya ialah Malaya bukan Malaysia dan Malaysia bukan Malaya. Malaya tidak pernah bertukar menjadi Malaysia. Oleh kerana bagi penduduk semenanjung, negara mereka dahulu adalah Malaya dan kemudian menjadi Malaysia tidak bererti bahawa Malaya bertukar nama menjadi Malaysia.

Malaysia adalah nama negara yang menggabungkan Malaya, Singapura, Sarawak dan Sabah pada tahun 1963. Dengan terkeluarnya Singapura dari Malaysia pada 1965, maka yang tinggal ialah Malaya, Sarawak dan Sabah.

Apa yang dirasakan bahawa Malaya bertukar menjadi Malaysia ialah selepas 1963, nama Malaya hilang. Ini kerana nama itu sudah tidak digunakan lagi. Ketika itu, istilah yang digunakan ialah Malaysia Barat dan Malaysia Timur. Malaysia Barat terdiri daripada negeri-negeri Singapura, Johor, Negeri Sembilan, Selangor, Pahang, Perak, Terengganu, Kelantan, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis. Sementara Malaysia Timur adalah Sarawak dan Sabah.

Kalau hendak kata Malaya sudah bertukar menjadi Malaysia Barat pun tidak betul. Ini kerana Malaysia Barat meliputi Singapura. Sedangkan Malaya yang merdeka pada tahun 1957 tidak meliputi Singapura. Di sinilah timbul kekeliruan. Ini kerana sebelum Perang Dunia Kedua, ada istilah yang digunakan oleh pihak Inggeris bagi negeri ini, iaitu British Malaya.

Oleh kerana Empayar British adalah sebuah kuasa besar dunia dengan perundangan antarabangsa menerima kesan pengaruhnya, maka istilah yang digunakan di peringkat dunia, adalah daripada bahasa mereka.

Maka British Malaya terdiri daripada tiga entiti Federated Malay States (FMS) atau Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Unfederated Malay States (UFMS) atau Negeri.negeri Melayu Tidak Bersekutu dan Straits Settlement atau Negeri-negeri Selat yang terdiri daripada Penang, Malacca dan Singapore. Jadi British Malaya termasuk Singapura, yang merupakan ibu kotanya.

Mengapa British Malaya? Mengapa tidak Malaya saja? Sebabnya di Malaya, ada yang bukan British. Maknanya ketika British mula sampai ke Malaya, tentulah tidak ada mana-mana wilayah yang dimiliki oleh British. Pulau Pinang adalah di bawah Kedah, yang setiap tahun perlu menghantar “bunga emas” ke Siam. Melaka di bawah Belanda. Singapura adalah sebahagian daripada kerajaan Johor-Riau.

Kemudian barulah British memperoleh Pulau Pinang dan Seberang Perai. Melaka diperolehi British sebagai tukaran pada Bangkahulu di Sumatera dengan Belanda. Ia selaras dengan perjanjian Belanda-Inggeris bahawa sempadan pengaruh imperialisme adalah di Selat Melaka. Jadi Malaya adalah di bawah Inggeris dan Sumatera diserahkan pada Belanda.

Dari kaca mata British ketika awalnya Malaya dikira termasuk Singapura. Nama Malaya tidak timbul sebelum kedatangan British. Orang Melayu tidak memanggil tanah ini Malaya. Mereka hanya menyebut ikut negeri-negeri yang ada umpamanya Kedah, Perak, Selangor, Melaka, Johot, Pahang, Terengganu dan Kelantan. Nama-nama negeri itu pula merupakan nama sungai utama masing-masing.

Pada zaman Kesultanan Melaka, ada orang luar menyebut keseluruhan semenanjung sebagai Melaka beserta selat yang memisahkannya dengan Sumatera sebagai Selat Melaka.

Orang Greek pernah menamakan semenanjung ini sebagai Golden Chersonese atau Semenanjung Emas. Tetapi itu mungkin terjemahan daripada nama Sanskrit terhadap semenanjung ini, iaitu Swarnabumi atau Bumi Emas. Tetapi Swarnabumi ini merujuk wilayah dari Singapura sampailah ke Siam. Sebelum munculnya kesultanan Melaka, Siam menganggap keseluruhan semenanjung sampai ke Singapura adalah miliknya. Mereka meletakkan seorang gabenor di Singapura yang ketika itu dipanggil Temasik.

Malah sekarang pun, Thailand merujuk dirinya sebagai Svarnabhumi seperti mana orang Melayu memanggil Kepulauan Melayu sebagai Nusantara. Nama Lapangan Terbang Antarabangsa Bangkok ialah Svarnabhumi.

Pasangan Swarnabumi ialah Swarnadwipa atau Pulau Emas. Ia merupakan nama Sanskrit bagi pulau Sumatera. Bukan itu saja, Sumatera juga mempunyai nama Melayunya iaitu Seri Andalas. Di Sumatera juga, terdapat sebatang sungai bernama Sungai Melayu. Di situlah dikatakan asal-usul nama Melayu.

Ada satu kisah ketika pertama orang Inggeris sampai ke semenanjung, mereka datang dari India setelah menakluknya. Mereka datang dengan membawa penunjuk arah dari India. Bila sampai di Kedah, mercu tanda pertama yang ternampak ialah Gunung Jerai. Orang India yang sering datang ke Kedah hanya menyebutnya sebagai “gunung” .

Jadi apabila orang Inggeris itu mula sampai, ditanya apa nama tempat ini. Maka penunjuk arah itu kata “gunung” dengan merujuk pada Gunung Jerai atau dalam bahasa mereka ialah “malaya.”
Maka British menyebut semenanjung ini termasuk Singapura sebagai Malaya. Ketika FMS dan Negeri-negeri Selat diwujudkan, British Malaya merujuk pada negeri-negeri ini saja. Ketika itu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu dianggap oleh British sebagai di bawah pengaruh Siam, yang bererti mereka merupakan Siamese Malaya. Hanya kemudian apabila berlaku perjanjian Inggeris-Siam, tidak ada lagi Siamese Malaya dan empat negeri Melayu itu menjadi sebahagian daripada British Malaya.

Untuk mengukuhkan kedudukan kemerdekaannya, Siam menukar namanya kepada Thailand atau Muang Thai iaitu Tanah Thai. Kalau Tanah Inggeris dipanggil England, maka Thailand juga mempunyai tanah yang tidak boleh digugat oleh penjajah.

Maka orang Melayu juga mahukan negerinya bernama Tanah Melayu atau Malayland. Tetapi British tidak mahu menggunakan Malayland kerana Pulau Pinang, Seberang Perai, Dinding, Melaka dan Singapura sudah menjadi miliknya. British terus memanggilnya sebagai Malaya. Sebelum Perang Dunia Kedua, Malaya dikira termasuk Singapura. Sebab itu Universiti Malaya ditubuhkan di Singapura. Tetapi apabila disebut Tanah Melayu, ia tidak meliputi Singapura kerana dianggap pulau itu sudah terlepas ke British.

Selepas Perang Dunia Kedua, British mewujudkan Malayan Union tanpa dimasukkan Singapura. Maka Malaya dikira tanpa Singapura. Sehingga hari ini pun tidak ada perkataan Melayu untuk Malayan Union. tidak ada orang menggunakan istilah Kesatuan Malaya.

Jadi apabila ditubuhkan Persekutuan Tanah Melayu, ditegaskan bahawa nama betul Malaya adalah Tanah Melayu. Itu yang termaktub dalam pemasyhuran kemerdekaan walaupun dalam teks bahasa inggeris. Tetapi dari segi penggunaan dalam bahasa Inggeris dan di peringkat antarabangsa, ia menjadi Federation of Malaya.

Perkataan Tanah Melayu dan Malaya lenyap dengan penubuhan Malaysia. Tetapi istilah Malaysia Barat dan Malaysia Timur juga lenyap dengan keluarnya Singapura daripada Malaysia.

Melihat banyak negara yang terbahagi dengan timur-barat dan utara-selatan seperti Jerman Timur, Jerman Barat, Korea Utara, Korea Selatan, Vietnam Utara, Vietnam Selatan dan Yaman Utara, Yaman Selatan yang muncul akibat Perang Dingin. Dengan Pakistan Barat dan Pakistan Timur yang berpecah dan melahirkan Bangladesh. Maka istilah Malaysia Barat dan Malaysia Timur sudah tidak sesuai.

Jadi istilah yang kini digunakan ialah Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah. Tanah Melayu atau Malaya sudah menjadi Semenanjung Malaysia atau Peninsular Malaysia. Tetapi Malaya tidak pernah menjadi Malaysia. Malaysia mesti ada Sarawak dan Sabah juga.

Komen