MANFAAT WARGA EMAS UNTUK TAHUN 2024

Warga emas merujuk kepada individu yang berumur 60 tahun dan ke atas dan populasi warga emas di Malaysia semakin bertambah selari dengan peningkatan jangka hayat.

Malaysia sedang menuju status negara tua menjelang 2030 disokong melalui laporan Jabatan Statistik Malaysia (JSM) apabila peratusan penduduk dikategorikan sebagai warga emas meningkat kepada 7.3 peratus pada 2022 berbanding 7.0 peratus (2021) daripada keseluruhan populasi Malaysia.

Berdasarkan definisi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula, Malaysia sudah menjadi negara menua, tambahan lagi usia penengah meningkat dari 30.1 tahun pada 2021 kepada 30.4 tahun pada 2022.

Justeru apa-apa dasar kerajaan perlu mengambil kira kepentingan dan kebajikan warga emas ini.

Dengan menjelang tibanya tahun 2024, perlu ada manfaat yang bersesuaian dengan keperluan warga emas agar kesejahteraan mereka terjaga.

Salah satu manfaat yang bakal diperolehi warga emas tahun hadapan adalah Bantuan Warga Emas (BWE).

BWE berbentuk bantuan tunai bagi warga emas miskin tegar (warganegara) yang berkelayakan bertujuan untuk memastikan kelangsungan dan kesejahteraan hidup.

Satu lagi manfaat yang disediakan oleh kerajaan ialah Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE).

PAWE merujuk kepada perkhidmatan pendampingan sosial dan pembangunan setempat melibatkan kerjasama strategik antara KPWKM dengan pelbagai agensi kerajaan dan NGO bertujuan memelihara kesejahteraan warga emas.

Diharapkan manfaat yang disediakan untuk warga emas ini akan membantu mereka menikmati hari tua di usia emas dengan lebih bermakna.

Komen