Mampukah Muhyiddin Bertahan?

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin

Tentunya, tinjauan Merdeka Center yang menyatakan 67% rakyat di Semenanjung menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri memberi lonjakan moral kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN). Pemimpin PN, baik di nasional dan akar umbi mungkin tersenyum melihat angka-angka tinjauan ini menunjukkan kestabilan Muhyiddin mentadbir negara.

Di sebalik berita positif buat Muhyiddin dan PN, 46% rakyat dalam tinjauan ini menyatakan Malaysia menuju arah yang salah. Indikator yang menyebabkan rakyat berfikir sedemikian adalah kerana ketidakstabilan politik (27.3%), keadaan ekonomi merudum (15.5%), dan pentadbiran lemah (7.9%). Manakala 41% menyatakan negara berada di arah yang betul kerana pentadbiran kerajaan yang baik (21.3%) dan faktor keberkesanan kerajaan memberi bantuan kebajikan kepada rakyat (10.4%).

Secara umumnya, kepuasan rakyat terhadap pentadbiran Muhyiddin agak bercampur baur atau tidak jelas. Perkara ini berlaku apabila ramai yang melihat negara menuju ke arah yang salah tetapi masih memberi sokongan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri. Jadi, apakah penjelasan yang boleh dibuat untuk memahami trend ini?

Jurang Persepsi Ekonomi Dan Politik Luas

Dalam tinjauan ini, masalah ekonomi merupakan kebimbangan utama rakyat merentasi etnik dan latar belakang sejak setahun yang lalu. Seramai 68% responden mengakui ekonomi mereka kian terjejas dan hanya tujuh peratus berpendapat ekonomi masih tidak berubah.  Jika ditambah kedua-dua peratusan ini, hampir 75% rakyat melihat keadaan ekonomi negara masih merudum.

Sebanyak 63% responden Melayu menyatakan ekonomi negara kian merudum sejak setahun yang lalu, iaitu lebih rendah berbanding responden Cina (76%) dan India (75%). Tekanan ekonomi ini lebih dirasai oleh responden di bandar, iaitu seramai 70% berbanding luar bandar yang mencatatkan 63% sahaja.

Ironinya, walaupun lebih 50% orang Melayu dalam tinjauan ini menyatakan ekonomi merudum, mereka masih memberi sokongan kepada kerajaan Muhyiddin (sebanyak 84%). Adakah ini bermaksud meskipun ekonomi masih teruk, orang Melayu masih menyokong Muhyiddin yang dilihat tidak responsif dalam menguruskan situasi negara pasca pandemik?

Situasi ini menunjukkan jurang persepsi yang melebar dalam isu ekonomi dan politik dalam kalangan rakyat, khususnya orang Melayu. Ada beberapa perkara yang boleh menjelaskan situasi di atas. Pertama, kebergantungan rakyat kepada bantuan kerajaan ketika krisis merupakan salah satu faktor sokongan kepada kerajaan makin kuat. Bagi mereka, hanya kerajaan yang dapat membantu mereka dalam keadaan getir ini.

Stephen Welt, ahli akademik daripada Universiti Harvad melihat “Covid-19 bakal mencipta masyarakat yang mempunyai kebebasan terhad pasca-pandemik (‘less free’ post pandemic society). Kawalan kerajaan hari ini akan mewujudkan sebuah masyarakat yang terpaksa bergantung kepada pemerintah, dan ia akan berlanjutan dalam tempoh yang panjang.

Penjelasan ini mungkin memberi gambaran umum bahawa kebergantungan kepada bantuan kerajaan menjadi faktor yang menyebabkan rakyat, khususnya orang Melayu, menyokong Muhyiddin. Adakah situasi ini bermaksud semakin ramai rakyat tersepit dalam ekonomi, semakin bertambah sokongan terhadap parti kerajaan?

Namun, sokongan terhadap Muhyiddin akan diuji apabila Perdana Menteri mengumumkan kerajaan tidak lagi cukup wang untuk menampung bantuan rakyat. Sebanyak RM 600 bilion yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2021 dan pakej rangsangan ekonomi telah dibelanjakan bagi menangani krisis setahun yang lalu.

Ironinya, meskipun perbelanjaan kerajaan cukup besar,rakyat masih tidak merasai impak sebenar bantuan kerajaan dalam mengembalikan kegembiraan hidup mereka. Gaji graduan semakin rendah dan kadar pengangguran masih tidak berubah. Jadi, di mana sebenarnya wang kerajaan dihabiskan memandangkan ekonomi negara masih belum pulih dengan baik?

Kedua, saya berpendapat rakyat, khususnya orang Melayu, masih melihat isu ekonomi dan politik secara berasingan. Tanggapan yang melihat masalah ekonomi dan politik saling tidak berkait masih lagi kuat dalam kalangan rakyat.

Sedangkan secara teorinya, keadaan politik yang baik  dan kerajaan efektif akan memberi kesan positif kepada ekonomi negara. Manakala, pentadbiran negara yang boros dan curang dalam menjalankan tadbir urus akan menjejaskan kedudukan ekonomi rakyat dan negara. Ironinya, tinjauan Merdeka Center menunjukkan sebaliknya. Mereka masih menyokong pentadbiran Muhyiddin walaupun ekonomi sekeliling masih parah.

Mampukah Muhyiddin Bertahan?

Walaupun tinjauan Merdeka Center menunjukkan sokongan Muhyiddin masih stabil, persoalannya, sejauh manakah Muhyiddin dan kerajaan PN mampu mempertahankan sokongan yang ditunjukkan rakyat melalui tinjauan Merdeka Center untuk tempoh seterusnya?

Rakyat masih kurang senang terhadap pentadbiran PN. Mereka merasakan pentadbiran Muhyiddin masih gagal menangani wabak COVID-19 sehingga terdapat dakwaan bahawa Malaysia akan menghadapi ‘gelombang keempat’ pandemik jika kes harian tidak surut.  Konflik dalaman kerajaan PN dengan UMNO hanya menambah kekecewaan rakyat yang kian tersepit akibat krisis ekonomi. Apakah ini petunjuk yang baik untuk Muhyiddin bertahan hingga tamat penggal pentadbirannya?

Muhyiddin dan kerajaan PN perlu sedar bahawa indikator sebenar yang mengukur prestasi parti politik adalah pilihan raya. Jadi, tinjauan ini bukanlah kemenangan mutlak yang mengatakan rakyat memberi sokongan penuh PN. Boleh jadi pada pilihan raya akan datang ia menjadi sebaliknya.

Harapan besar buat rakyat adalah untuk kembali menikmati kehidupan lebih baik. Begitu mustahak bagi setiap pemimpin sedar bahawa ketidakstabilan politik hari ini sebenarnya merugikan rakyat terbanyak. Tidak ada jalan pintas melainkan pemimpin negara kembali ke pangkuan rakyat dan membantu mereka membina semula kehidupan yang terjejas teruk akibat pandemik. Tetapi, adakah pemikiran ini sudah menjadi keutamaan pemimpin negara atau melihat tinjauan ini untuk menuju pilihan raya?

Komen