Peralihan antara Mei dan Jun adalah waktu yang menarik buat kita di Malaysia kerana ia adalah musim perayaan pesta menuai yang dikenali dengan nama Kaamatan di Sabah dan Gawai di Sarawak.
Tetapi tidak banyak yang diketahui oleh umumnya rakyat Malaysia di sebelah Semenanjung kerana kedua perayaan itu adalah sangat asing bagi mereka.
Maka ia sekadar berlangsung seperti biasa tanpa cuti umum di sebelah Semenanjung. Yang mungkin mengingatkan warga Semenanjung tentang adanya perayaan di seberang Laut China Selatan adalah melalui poster-poster ucapan Kaamatan dan Gawai dari pemimpin politik yang mahu dilihat inklusif dan peka dengan adat resam sebelah Borneo.
Mujurlah baru-baru ini ada sekumpulan warga dari sebelah Borneo yang datang ke Kuala Lumpur dan berarak dengan pakaian tradisional mereka. Ia tidak pernah berlaku sebelum ini, seingat saya.
Perarakan tersebut menimbulkan perbincangan di kalangan warga sebelah Semenanjung. Ada yang meraikannya sebagai satu simbol kepelbagaian budaya dan kemajmukan masyarakat dalam negara ini.
Tetapi ada juga yang kurang selesa dengan perarakan tersebut, apa lagi ia melibatkan pakaian terdedah atau separa bogel apabila peserta hanya bercawat. Sudahlah bercawat, badan pula penuh dicacah tatu.
Mereka yang kurang selesa itu mungkin datang dari dua kelompok.
Pertama, kumpulan yang tidak pernah ambil tahu tentang kewujudan Malaysia Timur di sebelah Borneo sana dan kepelbagaian etnik yang ada.
Kedua, kumpulan yang berpegang kepada fahaman Malaysia ini tertakluk kepada satu set budaya atau kepercayaan yang dominan, lazimnya budaya Melayu dan kepercayaan agama Islam.
Kumpulan yang pertama tadi mungkin agak pelik untuk diterima kewujudannya tetapi percayalah, mereka ini memang wujud.
Walaupun tahun ini akan genap 60 tahun tertubuhnya Persekutuan Malaysia, masih ada segelintir warga di sebelah Semenanjung yang tidak tahu membezakan antara Sabah dan Sarawak, apa ibu negerinya dan kenapa ada Muslim di sana yang namanya seperti orang putih atau kenapa ada orang berwajah Melayu yang keluar masuk gereja.
Mereka juga kumpulan yang mempertikaikan kenapa warga dari Semenanjung perlu melalui kaunter imigresen bila ke Sabah atau Sarawak dan kenapa permit kerja diperlukan untuk mereka bekerja di sana.
Jika hal-hal sebegini yang sepatutnya menjadi kefahaman asas kenegaraan masih belum mampu dihadam mereka, maka apalah lagi bila melihat etnik Sabah dan Sarawak berarak di tengah Kuala Lumpur dengan memakai cawat dan badan bercacah tatu?
Tetapi kumpulan pertama ini boleh diasuh dengan pendidikan kenegaraan dan pembacaan lebih meluas tentang konsep negara persekutuan yang kita amalkan. Mereka perlu disogok dengan isi kandungan Perjanjian Malaysia serta adat budaya masyarakat Sabah dan Sarawak yang sangat majmuk untuk dibuka mindanya.
Yang menjadi cabaran adalah dalam mendepani kumpulan kedua.
Kumpulan yang berpegang kepada fahaman Malaysia ini tertakluk kepada satu set budaya atau kepercayaan majoriti yang dominan. Yang mana-mana set budaya atau kepercayaan lain atau minoriti perlu akur mengikut kerangka yang dominan, atau lebih baik lagi tidak perlu ditonjolkan langsung.
Kumpulan ini juga percaya bahawa konsep Tanah Melayu itu jauh lebih besar dan utama berbanding Persekutuan Malaysia. Lalu mereka ini berfantasi tentang dominasi bani Jawi dan mencorak negara ini mengikut acuan khilafah Islam.
Suara kumpulan kedua ini lewat kebelakangan ini semakin lantang dan sesat. Terima kasih kepada kecenderungan sesetengah parti politik sayap kanan yang membajai fahaman mereka dengan mimpi-mimpi Bani Melayu dan khilafah Islam.
Kita tidak perlu berselindung dalam memberi label kepada kumpulan kedua ini. Mereka nyata sekali adalah kelompok fundamentalis dan fasis.
Justeru kumpulan kedua ini tidak selesa apabila perarakan segelintir warga Malaysia Timur dari sebelah Borneo mencabar fahaman fundamentalis dan fasis mereka.
Bercawat dan bercacah tatu jelas sekali tidak selari dengan hukum Islam yang diperjuangkan puak fundamentalis ini.
Berpakaian tradisional etnik Sabah dan Sarawak juga menggugat dominasi bani Jawi atau Melayu konservatif yang didambai puak fasis ini.
Ini bukan perarakan masyarakat Cina atau India, dua kumpulan etnik utama di sebelah Semenanjung yang kerap disisih oleh fundamentalis dan fasis sebagai budaya kaum pendatang.
Tetapi ini perarakan dari kelompok masyarakat Bumiputera yang statusnya sama dengan Bumiputera berbangsa Melayu. Cuma bezanya ia dari Bumiputera Sabah dan Sarawak.
Melalui perarakan tersebut, ia sebenarnya bukan sahaja memperkenalkan adata budaya dari Malaysia Timur.
Tetapi ia juga menggugat fahaman bahawa satu-satunya adat budaya pribumi di Malaysia ini adalah adat budaya Melayu, dan juga fahaman bahawa Bumiputera itu eksklusif hanya Melayu Islam.
Pendek kata, ia mencabar ideologi para fundamentalis dan fasis yang semakin menular di kalangan kaum majoriti di Malaysia. Ia mengingatkan kita semua bahawa negara ini bukan Tanah Melayu tetapi Malaysia dan ia tidak akan sesekali mengorbankan gagasan persekutuan untuk mimpi basah khilafah Islam.
Malaysia Timur mungkin satu-satunya harapan kita, dan kerajaan perpaduan Madani ini, dalam menjadi benteng menghalang penularan fundamentalisme dan fasisme.
Bukannya dengan terus condong mengikut acuan naratif fundamentalis dan fasis, untuk jadi lebih konservatif dan Islamik berbanding PAS dan Perikatan Nasional.
Lebih ruang dan peluang perlu diberikan kepada warga Malaysia Timur di sebelah Borneo untuk bersuara dan menonjolkan diri mereka bagi melawan naratif sayap kanan yang semakin marak.
Perarakan tempoh hari adalah salah satu cara simbolik sebagai naratif balas. Ia sepatutnya menjadi acara tahunan setiap kali menjelang perayaan pesta menuai.
Masanya untuk fikirkan cara bagaimana lagi Malaysia Timur dari sebelah Borneo boleh dibawa masuk ke dalam kerangka naratif nasional kerajaan perpaduan Madani.
Keterbukaan mereka perlu kita semai untuk membina masyarakat yang liberal dan progresif.
Kotobian Tadau Tagazo do Kaamatan dan Gayu Guru Gerai Nyamai!

Demokrat sosial. Pengerusi DAP Taman Kemuncak dan Pengerusi Pertubuhan Solidaritas. Sudah berkahwin.