16 September 2020 adalah hari Malaysia yang ke 57. Hari di mana kita memperingati pembentukan Malaya bersama-sama Singapura (yang kemudiannya keluar dari pembentukan ini), Borneo Utara dan Sarawak sebagai sebuah negara merdeka. Pembentukan ini juga telah memperlihatkan Malaysia sebagai salah sebuah negara di dalam dunia ini yang kaya dengan pelbagai adat dan tradisi masyarakat berbilang kaum yang menjadi rakyatnya.
Tidak dinafikan untuk menjadi sebuah negara yang makmur, pelbagai cabaran telah dihadapi Malaysia dan ia bermula seawal penubuhan Malaysia di mana ia mendapat bantahan daripada Indonesia dan Filipina. Diikuti pula dengan pelbagai krisis dalaman negara yang membabitkan isu perkauman yang pada akarnya isu ini dimainkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab demi untuk kekal berkuasa. Ya, tidak dinafikan lagi ahli politik dari dahulu sehingga kini gemar bermain dengan isu perkauman dan agama demi meraih sokongan dan itu amatlah menyedihkan. Seorang sahabat pernah memberitahu saya, ahli politik seharusnya menjadi jambatan yang menghubungkan setiap rakyat, namun sayangnya ia tidak berlaku sebegitu. Ahli politik terutamanya yang datang dari parti nasionalis gemar membakar sentimen perkauman dan agama antara kita.
Allah swt berfirman di dalam Surah Al Hujurat ayat ke 10 “Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal”.
Allah mencipta kepelbagaian hambaNya adalah supaya kita saling mengenali dan memahami antara satu sama lain dan kemudian mencari jalan agar kita boleh hidup bersama-sama dan saling melengkapi antara satu sama lain.
Walau bagaimanapun tidaklah semuanya buruk di Malaysia ini. Masih ada manisnya hidup di dalam negara yang penuh rahmat ini. Baru-baru ini seluruh dunia diancam pandemik Covid-19. Malaysia juga tidak terlepas dari ancaman pandemik tersebut dan sehingga kini negara kita masih merekodkan kes-kes terkini setiap hari. Kerajaan telah mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai satu langkah membendung penularan pandemik ini.
Dan pada waktu itulah bermulanya cabaran getir bagi kita semua rakyat Malaysia. Ada yang hilang pekerjaan. Ada yang terputus bekalan makanan asas. Namun cabaran ini telah kita hadapi bersama-sama. Kita saling membantu antara satu sama lain, menjaga antara kita sehingga wujudnya tanda pagar #KitaJagaKita yang viral di sosial media.
Kutipan derma untuk tabung-tabung bagi membantu rakan-rakan kita yang lain giat dijalankan dan kita semua berupaya membantu sesama kita yang menghadapi kesukaran. Semangat ini adalah semangat yang hadir dari perasaan kasih sayang, sifat kemanusiaan dan sifat kekitaan antara kita semua. Kita ketepikan perbezaan yang ada dan bersama-sama membantu “ahli keluarga” kita yang berada dalam kesusahan. Saya bangga kerana kita semua masih lagi tetap bersama susah dan senang disebalik pelbagai ancaman memecah belahkan persaudaraan ini.
Saya impikan Malaysia yang rakyatnya “buta warna” terhadap perbezaan agama dan kaum dan itu telah kelihatan sewaktu kita semua menjalani PKP. Rupanya kita semua masih boleh hidup tanpa perlu menunding kepada perbezaan yang ada. Kita semua masih sayang antara satu sama lain walaupun ada yang cuba meracuni kasih sayang ini. Alangkah baiknya jika kita terus dapat hidup harmoni sebegini selamanya.
Baru-baru ini Ahli Parlimen Pasir Puteh, Dr Nik Muhammad Zawawi telah mengeluarkan kenyataan yang sangat sensitif yang telah menyinggung perasaan rakyat Malaysia yang beragama Kristian. Perbuatan itu adalah perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab dan tidak sensitif. Keengganan beliau memohon maaf adalah mencerminkan sifat egois dan bongkak beliau. Sebagai seorang yang beragama Islam, saya malu dengan apa yang telah terjadi. Islam mengajar agar kita saling hormat menghormati antara satu sama lain, tidak kira apa jua latar belakang termasuklah agama dan kaum. Apa yang dinyatakan oleh Dr Nik Zawawi seolah-olah mencerminkan bahawasanya Islam mengajar umatnya untuk berkelakuan biadab dan tidak menghormati orang lain. Saya mempunyai ramai kawan yang tidak beragama Islam. Mereka sangat menghormati agama dan pegangan saya sebagai seorang Islam. Tetapi kenapa kita sebagai seorang Islam mudah untuk memperkotak-katikkan agama lain dan tidak menghormati ajaran dan pegangan mereka. Kita marah apabila saudara Islam kita yang berada di luar negara ditindas, namun kita juga seakan-akan melakukan perkara yang sama kepada mereka yang bukan Islam di dalam negara ini. Ingatlah, di luar sana, tiada yang istimewa seperti mana di dalam negara kita ini. Ini semua nikmat yang kita perolehi kerana bernaung di bawah payung Malaysia yang merdeka. Jangan kita menjadi manusia yang jahil dan kolot serta tidak beradab hanya kerana kita merasakan kita “superior”.
Beberapa bulan yang lalu juga gempar isu tulisan jawi di Pahang apabila seorang Adun negeri tersebut mencabar ketetapan pihak kerajaan negeri mewajibkan tulisan jawi pada papan tanda perniagaan mereka. Hal ini telah menimbulkan pelbagai reaksi. Puak-puak ekstrimis dan nasionalis mula mengambil kesempatan untuk memecah belahkan sesama kita. Kadang-kadang kita terlupa, bila kita mula untuk berbalah, maka ada pihak lain yang tidak bertanggungjawab akan mengambil kesempatan untuk menjadi racun dan menyebarkan kebencian antara kita – mematikan kasih sayang yang ada dalam diri kita. Begiu juga dengan isu tulisan jawi ini. Ini bukan isu pertama. Tahun lepas gempar apabila Kementerian Pendidikan membuat keputusan untuk memasukkan tulisan jawi ke dalam buku teks bahasa Melayu sebanyak 3 muka surat untuk pelajar tahun 3 di sekolah kebangsaan. Pelbagai pihak muncul dan cuba menjadi hero. Perkara begini sepatutnya boleh diselesaikan dengan cara rundingan. Kita tidak perlu emosi dalam menangani perkara sebegini. Tulisan jawi sejak dari dahulu lagi telah digunakan di tanah Melayu sebelum penggunaan tulisan rumi yang diperkenalkan oleh pihak penjajah. Ramai pedagang yang datang ke Melaka untuk berdagang juga menggunakan tulisan jawi sebagai medium untuk berurusniaga selain daripada menggunakan bahasa Melayu. Ia bukanlah masalah besar dan bagi saya tidak terhakis mana-mana jati diri seseorang jika mereka mengetahui tulisan jawi ini bahkan ia satu bonus kerana ia adalah satu pengetahuan. Saya selalu merasa saya seorang yang rugi kerana saya tidak pandai membaca tulisan cina dan tulisan tamil apatah lagi bertutur dalam mandarin dan tamil, sedangkan Cina dan India adalah kaum-kaum yang terdiri di dalam negara ini.
Setiap konflik yang melibatkan isu perkauman dan agama sebenarnya wujud kerana sikap “ignorance” dan sombong seseorang. Menyedihkan bila ia mula merebak dan meluas. Jangan kita biarkan perkara sebegini mengganggu gugat keamanan dan keharmonian negara ini. Kita harus saling menghormati adat dan tradisi serta agama kaum-kaum yang lain termasuklah kaum orang Asli dan orang Asal. Saya mengakui ramai antara kita tidak mengetahui dengan lebih lanjut tradisi kaum orang Asli dan orang Asal di negara kita ini. Ada yang fasih bercerita mengenai sejarah kaum “Red Indian” di Amerika Syarikat tetapi tidak mengetahui mengenai kaum-kaum orang Asli dan orang Asal di negara sendiri.
Kita hanya ada satu Malaysia. Tiada Malaysia lain di dalam dunia ini. Jika Malaysia ini hancur kerana kebencian, apa lagi yang tinggal buat kita. Jangan kita biarkan ideologi politik menghancurkan kasih sayang dan keharmonian antara kita. Jangan kita berikan peluang kepada puak-puak ekstrimis untuk menyemai kebencian antara kita. Kasih sayang itu lebih baik dari kebencian. Kita adalah Malaysia. Malaysia bersaudara. Terimalah kasih sayang saya untuk seluruh rakyat Malaysia agar kita tetap teguh di bawah naungan negara yang makmur ini. Panggil saya saudari dan anda adalah saudara saya.
Pernah berkhidmat sebagai pegawai khas parlimen dan dasar kini menceburi bidang korporat. Extrovert. Memasak adalah terapi dan masih single.