Selain daripada masak dan membaca buku, membeli-belah dalam talian sudah menjadi satu hobi. Sampai ada satu hari dalam sebulan, promosi barangan akan dibuat besar-besaran.
Kawan saya, Hakimi bekerja dengan satu kurier barang. Hakimi dan kawan-kawan akan memudahkan urusan jual beli dengan menghantar barangan daripada penjual terus kepada pembeli.
Pelik sekali. Tugas mereka sama dengan tugas posmen yang menghantar surat, tetapi jarang sekali kita dengar, “Mak, nanti posmen akan datang hantar barangku. Tolong ambilkan ya?” Adakah mereka juga posmen?
Selain Hakimi dan kawan-kawan, saya rasa Majlis Perwakilan Pelajar juga boleh disamakan dengan posmen– memudahkan kerja-kerja penyampaian maklumat pihak pengurusan universiti.
Sejak beberapa minggu lalu dan beberapa bulan ke depan, universiti-universiti di Malaysia dirancakkan dengan Pilihanraya Kampus. Tujuannya adalah untuk memilih wakil-wakil mahasiswa untuk duduk dalam kabinet Majlis Perwakilan Pelajar.
Kewujudan MPP sangat ironi sekali. Mereka diundi oleh mahasiswa sepenuhnya, tetapi setelah membentuk kabinet, mereka akan duduk di bawah Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), membuatkan Timbalan Naib Canselor HEPA akan menduduki carta tertinggi dalam organisasi itu. Adakah mahasiswa mengundi MPP untuk duduk di dalam pentadbiran universiti?
Kelompok di dalam universiti terbahagi kepada tiga: (1) staf pentadbiran universiti; (2) pensyarah; dan (3) mahasiswa. Ketiga-tiga ini membentuk dan menjalankan fungsinya masing-masing dalam universiti. Maka, sangat ironi apabila MPP yang tergolong dalam kelompok (3), juga tergolong di dalam kelompok (1) kerana sudah berada di bawah naungan JHEP. Ha, kunsa!
Rata-rata MPP akan cuba untuk menjual “kebajikan mahasiswa” sebagai modal pertandingan. Kononannya nanti akan menjaga kebajikan itu. Tetapi, bukankah kebajikan mahasiswa harus diperhatikan oleh JHEP. Namanya juga Jabatan Hal Ehwal Pelajar? Bahkan pasti ada unit di dalam JHEP itu yang memerhatikan kebajikan pelajar.
Akhirnya, MPP hanya sebagai posmen bagi JHEP.
Contoh, jika ada berlakunya bencana banjir. JHEP akan meminta MPP untuk membuat hebahan mengenai mahasiswa yang terjejas. Akhirnya, data itu akan dipersembahkan kepada JHEP, dan JHEP yang akan cuba salurkan bantuan.
Ini birokrasi yang tolol dan menyusahkan. Mengapa tidak JHEP terus yang mengambil data-data, kerana mereka juga menyimpan data dan maklumat dalam sistem pengkalan data mahasiswa? Sekali lagi, MPP adalah posmen yang hanya memudahkan kerja-kerja JHEP.
Begitu juga dengan urusan pendaftaran kursus. Mengapa harus MPP yang lakukan hebahan tentang teknikaliti pendaftaran? Mengapa bukan Bahagian Akademik ataupun Jabatan Sistem dan Maklumat Universiti? Ini tidak. MPP juga yang harus kumpulkan data dan persembahkan kepada jabatan yang berkaitan.
Akhirnya, tugas mahasiswa sebagai penyambung suara mahasiswa menjadi goyah dan akhirnya terpadam. Mereka fokus kepada menjadi posmen kunsa bagi pentadbiran universiti.