PERSOALAN ‘mahasiswa masuk ke universiti untuk apa?’ telah menjadi punca konflik sejak zaman awal pembukaan universiti di Malaysia lagi. Kelompok mahasiswa lambak (kebanyakan mahasiswa) berpandangan bahawa kehadiran mereka ke universiti adalah untuk belajar agar mendapat pekerjaan yang baik nanti, dan mereka sepatutnya menjauhkan diri daripada perkara yang boleh mengganggu dan membahayakan status mereka sebagai pelajar. Kemudian muncul golongan minoriti yang berpandangan kehadiran mahasiswa ke universiti bukan sahaja untuk belajar tapi memiliki tanggungjawab yang besar kepada agama, bangsa dan negara. Sekali-sekala mahasiswa harus mengambil risiko dan bersikap vokal dalam usaha untuk menjadi ‘pressure group’ kepada pihak establishment (pemerintah atau pengurusan universiti). Sebelum saya pergi lebih jauh, saya ingin menjelaskan bahawa maksud perkataan aktivisme mahasiswa yang saya akan gunakan sepanjang tulisan ini adalah aktiviti yang melibatkan risiko untuk dikenakan tindakan tatatertib oleh pihak universiti. Skop aktivisme mahasiswa terlalu luas, tapi pada kali ini saya kecilkan pada skop partipitasi dalam gerakan menggugat establishment.
Falsafah Belajar Untuk Kerja Itu Salah?
Antara tujuan utama kerajaan memperuntukkan wang untuk pembangunan universiti adalah untuk menyediakan tenaga kerja bagi memenuhi keperluan industri. Kebanyakan orang terutamanya para ibu bapa dan pensyarah tersalah faham tentang aktivisme mahasiswa. Mereka beranggapan apabila mahasiswa itu terjun ke bidang aktivisme maka masa hadapan mahasiswa itu akan gelap kerana akan terganggu pelajarannya, dan akan berhadapan dengan dihukum oleh pihak universiti. Saya berpendapat, keterlibatan mahasiswa dalam aktivisme akan meningkatkan kemahiran insaniah dan memberi nilai ‘plus’ kepada mahasiswa tersebut. Jika kita menyemak aktivis mahasiswa yang telah bergraduasi, kebanyakan mereka memiliki pekerjaan yang baik, ada yang terlibat dengan parti politik, firma guaman, syarikat korporat dan pelbagai lagi kerjaya. Pada saya, belajar untuk mendapatkan pekerjaan itu tidak salah, apa yang salah adalah apabila kemasukan seseorang ke universiti hanyalah semata-mata menjadikan ‘pekerjaan’ sebagai ‘ultimate goals’ sehingga membutakan mata dan memekakkan telinga pada persekitaran. Kemasukan aktivis yang kebanyakannya mempunyai keberanian dan pemikiran yang kritis ke dalam dunia pekerjaan akan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara dan akan menjadikan negara kita lebih baik. Tugas utama para aktivis adalah untuk membuktikan bahawa keterlibatan mereka dalam dunia aktivisme tidak menghalang mereka untuk berjaya dalam akademik dan dunia pekerjaan, ini akan membantu untuk memberi keyakinan kepada masyarakat bahawa aktivisme dan pendidikan adalah sahabat baik.
Peranan Kerajaan
Selaku mahasiswa yang bakal bergraduasi, secara jujurnya saya agak kecewa apabila melihat industri pekerjaan kita sedang dijajah oleh golongan pekerja asing. Sesiapa sahaja yang berjalan di ibu kota selama beberapa jam pasti akan menyedari perkara ini. Pemerintah tidak boleh menafikan bahawa isu pengangguran dalam kalangan siswazah merupakan salah satu isu kritikal yang perlu ditangani, dan membawa masuk golongan pekerja asing yang banyak tidak membantu untuk mengatasi masalah ini. Majikan pula pastinya lebih gemar mengambil mereka kerana kos yang lebih rendah.
Kebanyakan universiti kita pula kurang menggalakkan mahasiswa untuk berinovasi dan mempunyai daya keusahawanan yang tinggi. Kita pasti mengenali Mark Zuckerberg (pengasas Facebook) yang memulakan projeknya di universiti, kita perlukan galakan dan bantuan daripada pihak universiti untuk mahasiswa menghasilkan produk mereka pada peringkat lokal dan nasional. Malangnya kebanyakan mahasiswa kita pada hari ini tersekat pada horizon perniagaan dropship, menjual tudung, produk kecantikan dan sesekali terpengaruh dengan perniagaan MLM (Multilevel Marketing). Hal ini tidaklah salah secara total, tetapi saya yakin mahasiswa Malaysia pasti boleh melakukan sesuatu yang lebih berimpak.
Sediakan Lebih Banyak Peluang Pekerjaan
Beberapa hari yang lepas saya membaca kenyataan YAB Perdana Menteri kita bahawa rakyat perlu meningkatkan pendapatan dan jangan terlalu bergantung pada pemerintah. Saya berpandangan kebergantungan mahasiswa yang paling utama bukan terletak pada skim-skim bantuan seperti Baucar Buku 1Malaysia, tetapi pemerintah perlu mencari industri baharu yang boleh dibuka. Hal ini akan melahirkan peluang pekerjaan yang lebih baik untuk para siswazah. Sudah masanya juga pihak pemerintah menilai semula kadar gaji permulaan untuk siswazah yang baru bergraduasi kerana angka-angka yang sedia ada sepertinya sudah lama tidak berganjak. Berhadapan dengan realiti kehidupan pada hari ini, angka gaji yang sedia ada perlu dikaji semula untuk survival rakyat.
Pemerintah juga tidak boleh menjadikan Uber sebagai kambing hitam untuk menyatakan bahawa ruang untuk mendapatkan pendapatan negara ini sangat luas. Pemerintah seharusnya menyediakan peluang pekerjaan pada semua tempat, kerana tidak semua tempat di Malaysia mempunyai perkhidmatan Uber atau Grab. Buat masa ini, ia dilihat melahirkan pendapatan yang lumayan, tapi kita tidak tahu bagaimana nasib mereka yang menawarkan perkhidmatan Uber apabila lebih ramai rakyat menceburkan diri dalam pekerjaan ini.
Kekurangan peluang pekerjaan ini adalah merupakan salah satu perkara yang sering diperjuangkan oleh aktivis mahasiswa. Malangnya ramai mahasiswa yang sedar dan tahu akan menghadapi masalah ini masih enggan untuk terlibat dengan perjuangan itu. Mereka akan melenting apabila terpaksa menganggur kerana peluang pekerjaan yang kurang, tapi apabila ada rakan-rakan mereka yang berjuang untuk masalah ini di kampus, dia mengatakan itu kerja sia-sia dan tidak akan memberi apa-apa impak.
Kesimpulan
Pada pandangan saya, aktivisme mahasiswa tidak pernah menolak sifir belajar untuk memudahkan kita mendapatkan pekerjaan satu hari nanti. Cuma, mereka lebih gemar menilai alam universiti sebagai tempat untuk mencari ilmu, mempraktikkan ilmu, menuntut keadilan dan bukan semata-mata untuk mendapatkan sekeping kertas ‘cop halal’ bernama ijazah. Masyarakat perlu difahamkan tentang perkara ini agar dapatlah jampi ‘jangan rosakkan masa hadapan sendiri’ dikurangkan. Apabila ini dapat dikurangkan, maka mahasiswa akan mendapat galakkan yang lebih untuk terlibat dengan dunia aktivisme mahasiswa.
(Artikel ini adalah petikan dari buku Mahasiswa Bukan Macai Pendidikan Bukan Politik)

Rahman Imuda adalah Yang Di Pertua Ikatan Anak Muda Tawau, Ketua Editor di Nadi Mahasiswa Malaysia dan juga ORANGKATA. Beliau telah menulis dua buku bertajuk Mahasiswa Bukan Macai Pendidikan Bukan Politik dan Malaysia Tamat Tempoh.