Baru-baru ini telah berlangsungnya demonstrasi #Turun di ibu kota. Sebuah kumpulan yang dikenali sebagai Gerakan Turun telah berkumpul di Sogo bagi menuntut lima perkara daripada kerajaan. Antara tuntutan yang dibuat ialah memotong gaji menteri, subsidi kerajaan diteruskan, bantuan bermaruah diberikan kepada rakyat, mengawal harga barang dan menangani isu jaminan makanan.
Bagaimanapun, selepas demonstrasi aman itu beberapa peserta perhimpunan telah dipanggil oleh pihak polis untuk dilakukan siasatan. Menurut laporan Malaysiakini, 26 orang peserta demonstrasi itu telah dipanggil ke IPD Dang Wangi untuk disiasat dan apa yang memilukan adalah beberapa aktivis mahasiswa turut dipanggil.
Ramai dalam kalangan kita terutama mereka yang tidak menyokong perhimpunan ini menyatakan bahawa aktiviti perhimpunan ini tidak sewajarnya disertai oleh para pelajar dan mereka hanya perlu fokus untuk belajar. Malah, terdapat juga kata-kata yang menyatakan mereka ini hanyalah alat politik.
Bagaimanapun, masyarakat harus tahu dan bersifat terbuka bahawa mahasiswa juga merupakan seorang rakyat Malaysia yang berhak bersuara dan berekspresi seperti mana termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Maka, pihak berkuasa dan pihak universiti seharusnya meraikan laungan suara dan ekspresi mahasiswa yang mewakili suara masyarakat.
Mungkin ramai yang mempersoalkan mengapa harus mahasiswa yang memperjuangkan perkara ini? Mengapa bukan aktivis atau ahli politik lain yang membawa isu ini? Mengapa itu, mengapa ini.
Sekiranya anda tidak pernah menjadi mahasiswa atau mahasiswa yang ditaja atau mahasiswa yang mendapat keistimewaan berada di dalam universiti dengan yuran yang murah, anda mungkin tidak tahu bagaimana gigihnya golongan ini meneruskan kehidupan.
Dalam zaman gaji menteri sahaja yang tinggi manakala pendapatan rakyat yang rendah, mahasiswa adalah golongan yang paling terjejas dan terkesan. Kebanyakan mahasiswa yang berada di universiti awam datang daripada keluarga M40 dan B40 ke bawah.
Jadi, sekiranya mereka tidak berkemampuan, cara yang paling mudah adalah membuat pinjaman PTPTN. Menurut portal afterschool.my, jumlah pinjaman penuh tertinggi yang diberikan kepada seorang mahasiswa Ijazah Sarjana Muda (Sains) adalah sebanyak RM6,650 untuk setahun.
Sekiranya dibuat kiraan secara kasar, seorang mahasiswa hanya boleh membelanjakan RM554.16 sebulan atau RM18 sahaja untuk sehari. Boleh kita bayangkan dengan akal yang waras bagaimana seorang mahasiswa yang kurang berkemampuan perlu menanggung hidup sebagai pelajar dan rakyat Malaysia dengan nilai RM18 sehari pada waktu harga barang yang meninggi?
Maka, amat wajarlah seorang mahasiswa bersuara agar gaji menteri yang semakin gagal berfungsi untuk dipotong dan melaungkan pengawalan harga barang serta menuntut subsidi kerajaan diteruskan.
Sebagai seorang bekas mahasiswa di universiti, sering sahaja saya mendengar keluhan rakan-rakan dari dulu hingga kini. Golongan ini sering sahaja dipinggirkan oleh pihak kerajaan dalam memberi bantuan. Mahu digelar berpendapatan rendah, status masih pelajar. Mahu bergelar berpendapatan tinggi, kadang-kadang sebungkus mi segera dimakan dua hari.
Kepada ibu dan ayah yang memarahi anak-anak untuk menyuarakan hak mereka, ketahuilah bahawa anak-anak kalian sedang berusaha untuk menjadi yang terbaik bukan sahaja untuk dirinya tetapi masyarakat.
Kepada masyarakat yang menghina perjuangan mahasiswa, ketahuilah mereka ini sedang memperjuangkan hak mereka dan kita yang sewajarnya diraih.
Kepada pihak universiti yang melihat perjuangan mahasiswa sebagai sia-sia, ketahuilah bahawa perbuatan mengambil tindakan terhadap mereka kerana menuntut hak adalah lebih sial dan durjana.
Kepada pihak kerajaan yang memusuhi mahasiswa yang berjuang, ketahuilah bahawa mereka adalah golongan tertindas oleh kalian.
Kepada mahasiswa, terima kasih untuk perjuangan ini dan semoga terus bersemangat untuk berjuang!
Azwar Kamaruzaman merupakan seorang penulis alternatif yang telah menerbitkan beberapa buah novel. Cerpen pertama tulisannya telah diterbitkan oleh Harakah pada usia 10 tahun. Kini, dia berkhidmat sebagai content producer di salah sebuah syarikat kapitalis.