Saya kira dalam banyak-banyak kerusi DUN untuk PRN Melaka ini, kerusi N15 Pengkalan Batu antara yang paling menarik.
Kerusi ini dulunya dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) melalui DAP. Siapa yang tidak kenal dengan Norhizam Hassan Baktee yang turut popular dengan panggilan YB Beliau, YB Viral atau pun YB Babi (kerana rajin menembak babi dan pernah mencarut perkataan babi dalam DUN Melaka). Norhizam kemudiannya melompat keluar dari PH untuk menjadi ADUN Bebas pasca Langkah Sheraton yang menjerumus kepada tumbangnya kerajaan negeri Melaka pimpinan PH.
Tapi itu suatu masa dahulu. Kini. Norhizam sekali lagi menjadi salah seorang anasir yang membuatkan kerajaan negeri tumbang lagi apabila beliau bersama tiga ADUN lain menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka lalu membuka jalan kepada PRN Melaka 20 November ini.
Sebagai katak yang sudah lompat dua kali dalam sepenggal, tentulah Norhizam tidak lagi menjadi pilihan mana-mana parti untuk dicalonkan. Tidak apa, Norhizam bertanding juga atas tiket calon Bebas kerana dia percaya pengundi Pengkalan Batu tahu kerja-kerja yang telah dibuat beliau sepanjang menjadi wakil rakyat di situ.
Ini fakta pertama yang membuatkan kenapa Pengkalan Batu sangat menarik.
Fakta yang kedua, selain adanya Norhizam sebagai calon Bebas mempertahankan kerusinya turut serta bertanding adalah empat calon lain. PH, Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) melengkapkan persaingan lima penjuru di Pengkalan Batu.
Pengkalan Batu adalah kerusi DUN dengan komposisi Melayu sebanyak 65%, Cina (28%) dan India (5%). Ia hampir menyamai imbangan komposisi kaum di Malaysia justeru secara tidak langsung dapat memberikan gambaran trend pengundian rakyat Malaysia keseluruhannya.
Calon dari BN di Pengkalan Batu, Kalsom Nordin yang berumur 68 tahun adalah calon tertua dalam PRN Melaka. Dalam pilihan raya yang menyaksikan penyertaan calon wanita pada peratusan mengecewakan, adalah menarik untuk dilihat bagaimana Kalsom Nordin berhadapan dengan persaingan dari lawannya yang semuanya lelaki dan berusia jauh lebih muda. Walaupun berusia dan hanya mempunyai kelulusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), namun Kalsom Nordin mempunyai pengalaman yang luas dalam kancah politik sejak 1990.
Dari Perikatan Nasional pula, mereka membariskan calon pilihan raya tipikal di Malaysia. Muhammad Azrudin Mat Idris adalah seorang ahli perniagaan berumur pertengahan tahun yang juga merupakan Bendahari Negeri di Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Melaka selain mempunyai penglibatan sosial yang meluas. Manakala calon dari PUTRA iaitu Prof. Dr. Mohd Aluwi Sari mempunyai kelebihan dari segi latar belakang akademik dengan tawaran pilihan yang berbeza dari tiga gabungan politik besar.
Calon dari PH adalah yang paling junior di kalangan lima calon yang bertanding di Pengkalan Batu. Saudara Muhamad Danish Zainuddin berumur 25 tahun dan merupakan antara calon termuda dalam PRN Melaka. Aktif di dalam parti DAP sejak 2017, beliau merupakan penyelaras di Pengkalan Batu sejak Ogos tahun lalu dan meneruskan kerja-kerja kemasyarakatan parti yang terbantut akibat peristiwa ‘lompat katak’ oleh Norhizam Hassan Baktee.
Berkelulusan ijazah sarjana muda Pentadbiran Korporat dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Muhamad Danish menjadi taruhan DAP bagi merampas balik kerusi yang dimenangi semasa PRU14 tetapi dikhianati susulan Langkah Sheraton. Jelas dalam hal ini, sandaran DAP adalah untuk meletakkan calon muda menyaingi calon-calon berumur yang lain. Strategi ini mungkin bersesuaian dengan peratusan pengundi muda di bawah umur 40 tahun di Pengkalan Batu yang merangkumi 54.6% dari keseluruhan 20,821 pengundi.
Pun begitu semuanya bergantung kepada sejauh mana pengundi Pengkalan Batu yakin dengan keupayaan seorang calon muda. Jika itu yang dinilai, maka rekod Muhamad Danish selaku penyelaras di Pengkalan Batu boleh dijadikan ukuran. Sepanjang perkhidmatannya, sejumlah 996 bakul makanan dan 10,188 pelitup muka telah diedarkan. Beliau juga terlibat dalam menyelesaikan 19 kes kebajikan selain melakukan proses sanitasi di 494 premis sepanjang pandemik. Angka-angka ini sudah cukup untuk membuktikan keupayaan dan komitmen beliau di Pengkalan Batu.
Manifesto Muhamad Danish menjanjikan tiga perkara utama seandainya diundi menjadi wakil rakyat Pengkalan Batu. Yang pertama tawaran Pusat Foodbank N15 dan Kebun Komuniti Tempatan agar tidak ada rakyat yang terputus bekalan makanan. Yang kedua, Muhamad Danish menjanjikan sesi pertemuan berkala sekali seminggu untuk memudahkan urusan aduan, kemasyarakatan dan kebajikan penduduk Pengkalan Batu. Untuk anak-anak muda Pengkalan Batu, beliau komited menjamin masa depan mereka melalui program bantuan dan pendidikan di bawah Program Anak Angkat.
Ini adalah tawaran calon anak muda. Tentulah, calon-calon lawan yang lain punyai tawaran mereka tersendiri, selain kelebihan umur yang lazimnya dikaitkan dengan mempunyai lebih banyak pengalaman. Namun dalam suasana politik baharu yang serba mencabar dan sukar diduga, menarik untuk kita lihat bagaimana langkah calon anak muda seperti Muhamad Danish dalam PRN Melaka berdepan dengan lawan yang lebih berumur. Apatah lagi beliau menggalas tugas berat membawa harapan partinya, DAP untuk merampas kembali kerusi N15 Pengkalan Batu yang terlepas akibat pengkhianatan ‘lompat katak’.
Lima penjuru di Pengkalan Batu sememangnya menjanjikan pertembungan yang menarik dalam PRN Melaka ini.
Lucius Maximus adalah seorang penulis dengan tiga buku setakat ini, Cerita Piala Dunia 2010, Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia dan Maaf Aku Bukan Lagi Leon Trotsky Kamu Semua. Beliau aktif berkicau di Twitter dalam isu-isu yang mendesak.