LIMA KALI PMX BERCIAP TENTANG PALESTIN DI PENTAS ANTARABANGSA

Kesungguhan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperjuangkan isu Palestin mungkin tidak cukup jika hanya sekadar berciap di media sosial ketika sesi pertemuan dengan tokoh-tokoh perjuangan Palestin.

Tidak dinafikan, ada segelintir pihak yang mahukan PMX lebih lantang bersuara tentang Palestin di pentas antarabangsa.

Tentu sekali kelantangan PMX mengenai Palestin sejak meletusnya Perang Hamas-Israel adalah terbukti sehingga Malaysia telah menerima ugutan kuasa besar.

Namun jika hari ini ramai pemimpin negara bercakap tentang Palestin, PMX ternyata lebih awal menggunakan pentas sidang antarabangsa bagi membawa suara mereka yang tertindas.

Seawal Mac 2023, dalam pertemuan dengan Setiausaha Agung OIC di Riyadh, PMX telah memberi penegasan perlunya jalan dicari bagi menangani isu penindasan rakyat Palestin.

Dalam pertemuan dengan Setiausaha Agung PBB pada September 2023 di Jakarta pula, PMX mencuri kesempatan yang ada untuk menjurus diskusi ke arah isu-isu berkenaan Palestin.

Peluang yang sama turut digunakan dalam Sidang Kemuncak Asia Timur ke-18, bilamana PMX menyeru masyarakat antarabangsa untuk mengelakkan kegalauan dan diskriminasi dalam menangani konflik dan penderitaan manusia di Palestin.

Seruan sama diulang ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 yang memperlihatkan betapa konsistennya PMX dalam menyuarakan pandangan tentang nasib rakyat Palestin.

Kemuncak kelantangan PMX memperjuangkan isu Palestin tentu sekali di pentas Perhimpunan Agung PBB ke-78, juga pada bulan September 2023 apabila PMX gesa komuniti antarabangsa untuk bersuara dan menentang kekejaman terhadap rakyat Palestin, dan dengan berani menyebut pencerobohan Israel secara terang-terangan mencabuli undang-undang antarabangsa.

Nyata sekali, PMX sudah pun bersuara mengenai Palestin di setiap pentas antarabangsa yang ada lama sebelum meletusnya Perang Hamas-Israel pada 7 Oktober 2023, bukti kesungguhan dan konsistensi beliau dalam mengangkat suara mereka yang tertindas.

Komen