Ramai tertanya-tanya berkenaan nasib Pakatan Harapan Perak selepas membantu UMNO Perak menggugurkan Ahmad Faizal Azumu daripada jawatan Menteri Besar, dengan penggantinya datang daripada UMNO.
Ramai juga meluahkan kemarahan dan kekecewaan mereka terhadap Pakatan Harapan Perak kerana menyangka diperkudakan oleh UMNO sehingga mencapai matlamat mereka merampas kerusi Menteri Besar Perak daripada genggaman PPBM.
Mungkin kerana ramai tak sedar tentang Ahmad Faizal Azumu yang ghairah dengan kebobrokan dan kerakusan pentadbiran beliau di bawah kerajaan PPBM (kerana sewaktu era Pakatan Harapan, beliau dikawal ketat daripada menyalahgunakan kuasa).
Kami mengakui bahawa dari luar, Pakatan Harapan nampaknya rugi dan tertewas. Tetapi kami redha kerana rakyatlah yang menang sebenarnya, khususnya majoriti mereka yang diami di kawasan-kawasan DUN pembangkang.
Inilah sebenarnya kejayaan Pakatan Harapan untuk rakyat Perak:
- Pertama kali dalam sejarah Negeri Perak, semua kawasan DUN mendapat peruntukan adil dan saksama tanpa mengira penyokong kerajaan ataupun pembangkang. Peruntukan ini hanya boleh digunakan untuk rakyat kawasan DUN masing-masing bagi program-program rakyat, dan bukan untuk poket wakil rakyat.
- Kesemua 59 ADUN Perak daripada semua parti akan menduduki Jawatankuasa Tindakan Daerah, yang merupakan jawatankuasa paling berimpak tinggi dan berkuasa dalam perihal penyelesaian permasalahan setempat. Begitu juga keadaannya dengan jawatankuasa ‘focus group’ pembasmian Kemiskinan Daerah, dan Jawatankuasa pengurusan bencana Daerah.
- Kerajaan Negeri juga telah bersetuju untuk meminda perintah tetap Dewan Undangan Negeri bagi tujuan membolehkan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira wang Negeri dilantik dari kalangan ADUN Pembangkang. Ini merupakan suatu langkah reformasi institusi yang membawa Negeri Perak satu lagi langkah kemajuan ke arah Demokrasi bertaraf dunia. Jawatan Ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri juga diiktiraf secara rasmi dengan implikasi kewangan pejabat Ketua Pembangkang diperuntukkan dalam belanjawan 2021, dan juga bakal dimaktubkan dalam perintah tetap DUN.
Ada beberapa lagi titik persamaan dasar dan peruntukkan yang telah dipersetujui antara Kerajaan dan pembangkang. Tetapi yang paling signifikan adalah reformasi institusi dalam bentuk 3 perkara utama ini.
Rakyat Negeri Perak bakal menyaksikan segenap wakil rakyat Negeri berfungsi secara lebih effisyen menghadapi serta menyelesaikan permasalahan rakyat.
Ia juga akan membuka ruang untuk perubahan dan evolusi kepada badan politik negeri secara amnya. Dengan penggemblengan dan penglibatan yang lebih luas oleh semua ADUN, besar kebarangkalian akan tergubal dan rungkainya dasar-dasar yang lebih progresif dan menguntungkan rakyat Perak.
Kepada para penyokong Pakatan Harapan, jangan bimbang, semuanya dilaksanakan atas prinsip, kejujuran dan amanah. Kami sentiasa mendengar serta memahami kegusaran anda.
Dalam iklim politik, ekonomi terkini yang dihantui kebuntuan, serta wabak Covid-19 di mana rakyat kian muak dengan telatah pemimpin kerajaan Perikatan Nasional, susah dengan penderitaan dan kesengsaraan, kami rela “kalah” buat seketika asalkan rakyat yang untung. Kami redha, kerana ia adalah kewajipan kami.

Howard Lee adalah Ahli Parlimen Ipoh Timor (PO64). Beliau juga ialah ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP selain menjadi ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Perhubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa, Majlis Perundingan Luar Negeri dan ahli Lembaga Eksekutif Perak Investment Management Centre. Howard juga merupakan mantan Ketua Pemuda Sosialis DAP serta mantan Presiden Kesatuan Pemuda Sosialis Antarabangsa (IUSY).