Krisis Makanan: Kerajaan Negeri Jangan Tawar Penyelesaian Luar Kotak Yang Tak Masuk Otak

SARANAN Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad supaya rakyat di negeri Perak bercucuk tanam sendiri sayur-sayuran dan menternak haiwan seperti kambing, lembu, kerbau dan ayam tampak seperti satu penyelesaian luar kotak (out of box) tetapi realitinya ia juga satu cadangan yang tak masuk otak (out of mind).

Benar, krisis makanan yang melanda seluruh negara hari ini hingga harga barangan makanan melambung tinggi dan terputusnya bekalan ayam memerlukan satu tindakan drastik bagi menjamin sekuriti makanan negara. Tetapi adakah cadangan untuk rakyat bercucuk tanam dan menternak haiwan benar-benar satu solusi yang boleh diterima pakai?

Sebelum melontarkan saranan mengikut sedap hati, persoalan pertama yang perlu Menteri Besar Perak pertimbangkan ialah berapa ramai rakyat negeri Perak yang mempunyai tanah lebih luas dari sekangkang kera untuk mereka bertani mahupun menternak?

Kemudian wajib juga diperkirakan soalan kedua, berapa ramai pula yang ada masa untuk turun ke kebun atau kandang ternak di sebalik kesibukan mereka dengan kerja hakiki seharian?

Akhir sekali jika benar rakyat negeri Perak ada tanah dan ada masa, tanyakan juga berapa ramai rakyat yang disuruh tanam sayur dan ternak haiwan ini yang mempunyai pengalaman atau pengetahuan dalam selok-belok tanam kubis atau jagung dan kaedah-kaedah menternak ayam dan lembu?

Realitinya tidak semua rakyat negeri Perak mempunyai tanah mereka sendiri. Mereka yang tinggal di rumah teres, pangsapuri atau flat PPR sudah tentulah tidak mempunyai ruang tanah. Rakyat juga terikat dengan komitmen kerja hakiki mereka. Malah ada yang kerjanya pergi pagi dan pulang petang, ada pula yang sampai ke malam. Pulang ke rumah pastinya masa yang ada hendak digunakan bagi tujuan berehat atau bermesra sesama ahli keluarga. Di mana mereka mahu mencuri masa di kebun atau kandang ternak?

Ini rintangan yang perlu Menteri Besar Perak selami terlebih dahulu sebelum melontarkan saranan luar kotak yang tak masuk otak tadi.

Namun, jika Datuk Seri Saarani Mohamad benar-benar serius mahukan rakyat negeri Perak bermandiri menanam sendiri sayur-sayuran dan memelihara haiwan ternakan untuk kegunaan sendiri, maka bersediakah kerajaan negeri untuk memberikan komitmen yang penuh bagi merealisasikan idea tersebut? Datuk Seri Saarani Mohamad yang juga merupakan mantan exco pertanian sebelum ini, pernah melaksanakan program bertani khususnya bagi rakyat Perak di bandar, apakah hasilnya?

Kerana jika mahu rakyat bermandiri, maka kerajaan negeri berikanlah tanah kepada rakyat untuk merealisasikan ladang rakyat. Secara pajakan pun tidak mengapa asalkan ia boleh diusahakan oleh rakyat untuk beberapa tahun. Sediakan modal kerja, anak benih dan anak pokok, pendidikan dan latihan secukupnya supaya setiap rakyat negeri Perak boleh mengusahakan tanaman dan ternakan untuk kegunaan mereka sendiri melalui anak syarikat PPPNP. Apa kegunaan anak syarikat berteraskan pertanian dan penternakan jika tidak digunapakai sepenuhnya oleh kerajaan yang dipimpini Datuk Seri?

Kita sendiri boleh lihat di negeri Perak ini, di tengah bandar dan pekan, di kampung tersusun dan kampung baru, malahan di segenap ceruk mana-mana tanah kosong yang terbiar telah diusahakan secara mandiri oleh rakyat negeri Perak. Lihat sahaja di Ipoh bagaimana kebun sayur dan ladang jagung muncul di tengah bandar raya hasil usaha rakyat sendiri.

Akan tetapi, kemandirian rakyat ini juga yang kerap dicantas oleh kerajaan negeri sendiri. Insiden yang berlaku dalam bulan mulia Ramadan dan Syawal di Chemor, Chepor, Kanthan, Pusing, Mambang Di Awan, Tanah Hitam, Changkat Kinding dan beberapa tempat lagi di Perak; apabila petani kecil diusir dari tanah yang mereka usahakan membangkitkan persoalan sejauh mana kerajaan negeri Perak benar-benar komited dalam menjamin sekuriti makanan?

Petani-petani kecil ini adalah contoh rakyat yang mandiri. Mereka telah berkecimpung dalam pertanian sejak puluhan tahun lamanya justeru mempunyai pengalaman dan pengetahuan. Ada di antara mereka yang pernah menuntut Lesen Tumpangan Sementara (TOL) tetapi tidak dilayan. Kini mereka diusir dari tanah yang mereka usahakan kerana pihak pemaju mahu membina lebih banyak rumah teres dan pangsapuri yang pastinya tanpa ruang tanah untuk pemilik rumah menanam sayur sendiri.

Ini realiti sebenar yang berlaku sekali gus menimbulkan persoalan sejauh mana Datuk Seri Saarani Mohamad benar-benar mahu rakyat bercucuk tanam dan menternak haiwan.

Krisis makanan yang berlaku hari ini sebenarnya adalah kesan dari kegagalan kerajaan pusat sendiri dalam merangka dasar. Sebagai contoh, keputusan bekalan ayam di pasaran berpunca dari tindakan para penternak yang terpaksa menghentikan pengeluaran kerana tidak boleh menampung kos. Harga makanan ayam naik mendadak yang memaksa penternak menaikkan harga ayam mentah. Tetapi tindakan kerajaan yang mengenakan harga siling ayam mentah tapi pada masa yang sama gagal memperuntukkan subsidi kepada penternak menjadi punca pengeluaran ayam dihentikan hingga terputus bekalan.

Kelemahan-kelemahan seperti inilah yang sebenarnya perlu diteliti dan diatasi. Ia jauh lebih utama dari sekadar melontarkan saranan luar kotak yang tak masuk otak ketika rakyat yang tiada tanah sedang bergelut dengan beban kerja masing-masing, sedang pada masa yang sama kerajaan negeri Perak sendiri tidak mesra kepada petani kecil yang menjadi pemangkin pada jaminan sekuriti makanan negara.

Satu soalan timbul: adakah nasihat luar kotak dan luar otak ini hasil kegagalan EXCO Pertanian merangka dasar pertanian negeri dan menasihati YAB Menteri Besar? Ataupun Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang sedia ada ini memang tidak berupaya menangani krisis di depan mata Rakyat Negeri Perak?

Komen