Pada hari Ahad, 14 Mac 2021 yang lalu, saya telah menghadiri Konvensyen Biasa DAP Negeri Perak ke-19.
Konvensyen ini pada mulanya tidak dipedulikan sesiapa. Tetapi ia menjadi kecoh kerana:
- Tuduhan pelanggaran SOP dan ketiadaan permit
- Tuduhan wujudnya pengundi hantu yang membawa kepada perang mulut antara dua kem
- Tuduhan pemilihan pucuk pimpinan bersifat perkauman
Langgar SOP Dan Tiada Permit?
Konvensyen yang diadakan pada tahun 2021 ini sepatutnya bukan diadakan pada tahun ini. Ia sebenarnya hendaklah diadakan pada tahun lepas kerana penggal Jawatankuasa Eksekutif DAP Perak 2018-2020 telah tamat pada tahun lepas. Maka pemilihan perlu dibuat untuk mendapat mandat bagi penggal berikutnya dari 2021 hingga 2023.
Penganjuran konvensyen parti politik adalah dibenarkan selaras dengan Standard Operating Procedure (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Mengikut SOP MKN, mesyuarat agung tahunan pertubuhan berdaftar dibenarkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Oleh kerana parti juga berdepan situasi perlu melakukan pemilihan kepimpinan baharu selaras dengan perlembagan dan tuntutan Pendaftar Pertubuhan (ROS), maka mesyuarat bersemuka perlu diadakan.
Dari segi pematuhan SOP, konvensyen tersebut diadakan di Ipoh Convention Centre (ICC), pusat konvensyen terbesar dalam bandar raya Ipoh yang mampu memuatkan 5,000 perwakilan. Jumlah kehadiran perwakilan yang dicatatkan adalah 1,730 dari 2,180 yang dijemput hadir. Maka ia mematuhi SOP MKN yang menetapkan perserta tidak lebih 50% dari kapasiti dewan.
Soal ia boleh diadakan atau tidak sepatutnya tidak timbul. Malahan, pihak PDRM sendiri telah memberi kenyataan bahawa Konvensyen Biasa DAP Negeri Perak ke-19 boleh dilaksanakan dan tidak memerlukan permit. Andai kata berlaku sebarang pelanggaran SOP, ia adalah di bawah tanggungjawab individu yang terlibat. Salah satu contoh utama adalah apabila Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming gagal memakai kembali pelitup muka setelah menyampaikan ucapan beliau. Boleh sahaja laporan polis dibuat dan tindakan diambil terhadap beliau jika didapati bersalah.
Tidak dinafikan, dalam penganjuran acara yang melibatkan ramai peserta, sudah pasti berlaku kecuaian dan kelemahan. Tetapi secara zahirnya, pihak urusetia telah pun mengusahakan yang terbaik dan rata-rata keseluruhan konvensyen berjalan lancar dengan pematuhan SOP yang ketat.
Pengundi Hantu?
Dakwaan wujudnya pengundi hantu pula merupakan satu tuduhan berat yang bukan sahaja tidak berasas, tetapi turut mencemarkan imej parti di khalayak umum.
Aturan pemilihan parti adalah jelas seperti yang terkandung di dalam perlembagaan parti. Senarai perwakilan untuk konvensyen biasa negeri perlu terlebih dahulu disahkan oleh Ibu Pejabat Kebangsaan DAP dan senarai ini tidak boleh ditambah atau dikurangkan dengan sewenangnya setelah disahkan. Wakil yang menghadiri konvensyen perlu mendaftarkan diri terlebih dahulu dengan menunjukkan Mykad sebagai bukti pengenalan diri sebelum diberikan lencana ‘WAKIL’ dan dikehendaki menandatangani pada nama mereka dalam senarai perwakilan.
Perlembagaan parti juga menetapkan bahawa setiap wakil masih boleh mendaftar walaupun konvensyen telah dimulakan apabila kuorum 25% kehadiran telah dicapai.
Dalam proses pengundian pula, sekali lagi wakil perlu mengemukakan Mykad sebagai bukti pengenalan diri dan menandatangani pada nama mereka di dalam senarai perwakilan, sebelum diberikan kertas undi. Perwakilan juga masih boleh mengundi selagi Returning Officer (RO) masih belum menutup proses pengundian.
Oleh itu amat jelas dalam konvensyen biasa negeri ada dua proses yang berlaku iaitu ketika mendaftar sebagai wakil dan ketika mendaftar untuk mendapatkan kertas undi. Dua proses yang diterapkan ini akan memastikan tiada penipuan seperti pengundi hantu boleh berlaku dalam pemilihan DAP.
Pelantikan RO pula diputuskan oleh pihak Ibu Pejabat Kebangsaan DAP dengan melantik ahli DAP dari negeri lain yang tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam pemilihan negeri terlibat. Justeru, sebarang keputusan oleh RO yang berkuasa sepenuhnya ketika proses pemilihan adalah dibuat melalui budi bicara beliau sendiri dan bukannya dipengaruhi oleh mana-mana pihak.
Tuduhan berat oleh MP Kampar, Thomas Su Keong Siong sebenarnya telah mencemarkan imej parti dan membuatkan khalayak umum mempunyai tanggapan serong terhadap ketelusan dan integriti dalam DAP. Walaupun beliau kemudiannya memohon maaf, namun nasi telah pun menjadi bubur susulan tindakan beliau mencetuskan huru-hara.
Pucuk Pimpinan Bersifat Perkauman?
Pemilihan DAP Perak telah pun selesai dan kem Nga Kor Ming berjaya menyapu bersih semua 15 jawatan dalam Jawatankuasa Eksekutif Negeri. Dari 15 calon yang terpilih itu, 12 darinya berbangsa Cina, 2 India dan hanya seorang Melayu.
Sebagai salah seorang wakil yang turut mengundi, saya cuba sebaiknya untuk tidak bercakap soal kaum. Undian saya adalah berdasarkan merit dan bukannya warna kulit.
Pun begitu, perlu difahami DAP di Perak adalah sebuah parti yang asalnya mendapat sokongan kuat dari masyarakat Cina dan sebilangan masyarakat India. Tetapi, sejak beberapa tahun kebelakangan pengaruh DAP semakin meluas dan parti ini juga berjaya mendapatkan sokongan dari masyarakat Melayu.
Namun, penyertaan orang Melayu Perak dalam DAP masih baru dan masih minoriti. Perubahan jika mahu dilaksanakan perlu mengambil masa dan tidak berlaku dalam setahun dua. Barisan kepimpinan baharu di kalangan ahli Melayu mungkin dalam dilihat dalam tempoh tiga tahun atau lebih dan seramai mana yang ada bergantung juga kepada berapa ramai ahli DAP berbangsa Melayu di negeri Perak.
Maka, bercakap tentang hal perkauman tidak akan membawa kita ke mana selagi kita sendiri tidak berani berubah dengan menolak politik kaum. Dan politik kaum itu sendiri akan kekal subur selagi masih ada yang menyokong dan menjadi ahli parti politik perkauman yang membuka keahlian khusus pada satu jalur bangsa.
DAP sebagai parti berbilang kaum tidak pernah menafikan penyertaan dari mana-mana kaum di Malaysia. Kehadiran orang Melayu, Cina, India, Sikh, Orang Asli atau Siam dari negeri Perak sentiasa dialukan selagi mereka sendiri percaya kepada perjuangan DAP yang mendukung demokrasi sosial yang bertunjangkan kepada tiga perkara:
Demokratik. Adil. Peduli.
Beranikah anda berubah?
(Untuk menyertai DAP, sila layari ke pautan berikut: https://dapmalaysia.org/perjuangan/Borang-Ahli/)
Lucius Maximus adalah seorang penulis dengan tiga buku setakat ini, Cerita Piala Dunia 2010, Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia dan Maaf Aku Bukan Lagi Leon Trotsky Kamu Semua. Beliau aktif berkicau di Twitter dalam isu-isu yang mendesak.