Orang Melayu-Islam di Malaysia ini cukup bangga bila orang bukan Melayu/Islam faham selok belok budaya Melayu dan agama Islam. Kalau mereka sediakan makanan halal khusus untuk orang Islam, bukan main tular lagi. Kita menganggap ini simbol kejayaan asimilasi masyarakat majmuk, dakwah berhasil. Tapi sebenarnya orang Melayu pula faham atau tidak selok belok budaya dan agama lain yang ada di Malaysia? Contohnya:
– Kenapa penganut Hindu tidak makan daging lembu? Kenapa ada yang veggie sepenuhnya hingga susu pun tidak boleh minum dan keju tidak boleh makan?
– Kenapa orang Cina bakar mercun di malam Chap Goh Mei?
– Apa signifikan tanglung kepada orang Cina?
– Kenapa orang Cina bakar colok tepi jalan dan tabur kertas?
– Kenapa sesetengah penganut Hindu pergi ke negara India untuk beribadah?
– Bila masa keluarga Cina buat makan besar dan kenapa?
– Apa maknanya pesta cahaya?
– Apa beza Hindu, Sikh dan Buddha? Siapa yang sambut Thaipusam dan siapa yang sambut Deepavali?
– Kenapa orang cucuk badan dengan mata kail dan besi tajam semasa Thaipusam?
– Apa maksud calitan merah atau putih di dahi orang India/Hindu?
– Da ini belum termasuk kepercayaan suku dan kaum lain di Sabah dan Sarawak.
Bekerja di syarikat multinasional membuatkan aku berpeluang bersembang benda-benda begini dengan bangsa lain terutama bila menjelang perayaan masing-masing.
Inilah yang dinamakan lita’arafu, yang terkandung makna timbal balik – saling kenal-mengenal.
Dua hala, bukan satu hala.
Kau kena kenali aku, aku juga kena kenali kau. Bukan disebabkan aku majoriti, maka kau sahaja yang kena kenali aku. sedangkan aku tidak ada sensitiviti dengan agama kau pun tidak apa kerana aku majoriti.
Ini sebenarnya ajaran agama mana? Allah menyuruh kita lita’arafu. Daripada lita’arafu inilah akan lahir empati dan menerbitkan rasa toleransi pada kelompok yang berbeza. Kata Dr Siddiq Fadzil, saling mengenal ini pasti ada kelanjutannya iaitu saling bekerjasama, saling memanfaatkan, saling memperkaya, saling memperkasa dan seterusnya.
Malah lita’arafu ni bukan antara bangsa berlainan sahaja, tetapi juga sesama orang Islam. Contohnya dari sudut pendekatan pentadbiran agama di Malaysia yang berbeza.
Bila kawan aku tanya tentang hudud di Kelantan, aku tidak akan pakai topi orang Kelantan yang 95% populasinya orang Melayu Islam. Aku juga tidak wewenang memakai topi orang KL yang kemajmukan masyarakatnya jauh berbeza dengan waqi (persekitaran, demografi, budaya) Pantai Timur.
Aku bagitahu pendekatan pentadbiran agama orang Pantai Barat tidak sama dengan orang Pantai Timur. Maksud aku, kalau pendekatan pentadbiran agama orang Kelantan dipaksa ke kawasan KL atau Selangor misalnya, mungkin mafsadah (kerosakan) akan jadi lebih besar dari maslahah (manfaat). Bila PAS Pantai Timur Sdn Bhd menguasai PAS Pusat Sdn Bhd, lihatlah bagaimana mereka menanggapi isu-isu nasional yang melibatkan kemajmukan kaum dan agama. Macam mana orang yang terbiasa hidup di kawasan 99% Melayu nak mengurus politik masyarakat yang 50/50 majmuk?
Mereka akan rasa janggal bila orang Islam di KL buka kedai makan pukul 10 pagi di bulan puasa, atau buka gerai nasik lemak pukul 7 pagi, sebab pelanggan bukan Islam ramai yang nak cari makanan.
Orang negeri lain pula mungkin akan rasa pelik bila negeri majoriti Melayu/Islam seperti Kelantan mengenakan perintah larangan jual makanan sebelum pukul 3 petang di bulan puasa, atau kena tutup kedai makan semasa solat terawih.
Macam mana mau makan? Tanya apek yang duduk di Ipoh bila membaca berita pasal Kelantan. Walhal waqi tak sama, tapi ditanggap dengan mindset yang silap.
Puncanya sebab kita cuma kenal mengenal hanya pada nama apa, pakai seluar pendek ke seluar panjang, mata sepet ke mata buntang, cakap Melayu ke cakap Tamil, pakai kopiah ke songkok ke topi, pakai jubah ke pakai gamis. Malangnya kita tidak menggali pemahaman terhadap amalan budaya dan agama berlainan, juga falsafah dan sejarah di sebalik semua amalan itu.
Lalu kita menilai dari satah yang terpesong. Salah penilaian inilah yang menyebabkan manusia bersyak wasangka dan bergocoh.
Kenapa orang Melayu bila nak langkah orang lain yang sedang duduk atau mencelah barisan lain (contohnya dalam saf solat), badan akan ditundukkan sedikit dan tapak tangan dihulur meminta laluan. Inilah yang dipanggil budaya dan disebaliknya sarat falsafah tersendiri. Tapi cuba kau pergi beratur dalam barisan dengan kebanyakan orang dari negara India atau Bangladesh (terutama yang berpendidikan rendah), mereka akan sondol perut boroi rapat-rapat ke belakang kau macam orang gay. Sebab dalam budaya mereka tiada konsep ‘personal sphere’ atau ‘personal buffer zone’ yang tidak boleh didekati. Bukan gay, tapi bagi mereka buat apa nak bazir ruang, beratur rapat-rapat lah untuk jimat ruang. Jadi jangan terkejut kalau nampak abangla lintas jalan berpimpin tangan sesama lelaki kerana bagi mereka itu bukan budaya yang salah dan tidak membawa maksud perhubungan gay.
Aku tahu ni pun sebab aku lita’arafu lah. Bila aku terpaksa berhadapan dengan situasi yang sama, aku mungkin akan dapat mengurus persepsi dan tindakan aku dan selesaikan dengan cara diplomasi. Bukan dengan bergocoh.
Masa aku pergi makan dengan client dari Amerika Syarikat, mereka try hard nak tiru makan nasi dengan tangan. Sampai terkehel-kehel tangan nak menyuap, nasik yang jatuh lagi banyak dari yang masuk mulut. Tapi habis juga sepinggan. Aku belajar makan spaghetti dengan garfu dari orang Perancis, masalahnya sampai sekarang aku kekok guna chopstick. Ramai orang Kelantan makan laksa yang berkuah dengan tangan saja. Lita’arafu lah yang akan memahamkan cara makan yang berbeza-beza ini. At the end of the day tujuannya adalah supaya kita tidak meremehkan budaya orang lain, misalnya kalau orang minta sudu garfu untuk makan dalam keadaan orang lain semua makan dengan tangan, kita tak perlulah perli.
Kalau nak menilai maslahah dan mafsadah dalam kehidupan bermasyarakat majmuk, haruslah bermula dengan lita’arafu. Macam mana nak menilai maslahah mafsadah kalau tak ada kefahaman sosiologi terhadap kelompok yang kita perlu berinteraksi.
Aku rasa orang Melayu lah paling teruja bila dengar ceramah Ahmat Deedat atau Zakir Naik. Tapi bila tiba giliran diri sendiri, nak belajar pasal agama lain jadi isu besar. Takut tergugat akidah. What?
Kalau kau jadi orang Islam sebab yakin bahawa Islam adalah agama yang hak, belajar agama lain sepatutnya dapat mengukuhkan akidah itu. Sebab itu perkara-perkara yang membatalkan akidah masuk dalam silibus PAI. Kalau kita sedang memandu di sebatang jalan, tiba-tiba ada pekerja datang bagitahu di bahu jalan itu ada satu lubang dalam yang kalau jatuh kau mungkin akan mampus, kita sepatutnya berterima kasih kepada orang itu dan kalau boleh nak singgah jenguk sekejap betul atau tidak lubang itu wujud. Kemudian jalan terus dengan yakin sampai ke destinasi.
M. Hafizul Hilmi adalah seorang graduan kejuruteraan yang kerap menulis di Facebook tentang pelbagai perkara yang terlintas di kepalanya.