Komuniti Di Pusat Pelupusan Sampah Semporna

Di tengah pembangunan bandar yang pesat dan keghairahan mengejar apa yang disebut “Revolusi Industri 4.0”, kita seringkali terlepas pandang terhadap hal-hal menyedihkan yang masih lagi berakar-malar di lingkungan masyarakat. Sebagai sebuah daerah yang kerap menjadi tarikan pelancong, Semporna, Sabah sering mendapat gelar sebagai daerah “Semporna yang Sempurna”. Persoalan yang kita boleh wujudkan adalah benarkan demikian sempurnanya Semporna?

Di Semporna wujudnya sebuah tempat pelupusan sampah, iaitu di Pegagau. Adalah normal apabila kita menyebutkan bahawa suatu daerah, negeri dan negara itu mempunyai tempat pelupusan sampah. Demikianlah reaksi penulis pada awalnya ketika diajak teman untuk pergi ke kawasan tersebut. Namun, apa yang tidak normal adalah apabila melihat keadaan tersebut tanpa adanya sistem pengurusan sampah yang sesuai. Selepas sampah itu dibuang di kawasan tersebut, apa akan jadi kepada sampah itu? Dibiar saja? Akan musnah dengan sendirinya? Mengarut.

Inilah hal yang berlaku di Pegagau, Semporna. Tidak ada suatu sistem pengurusan sampah yang baik. Mungkin kerana Majlis Daerah Semporna tidak sensitif dengan bicara orang ramai yang mengatakan “Semporna daerah yang kotor” atau mungkin mereka sedang sibuk berfikir solusi sehingga tidak mampu untuk turun ke lapangan tersebut bagi mempraktikkan solusi yang telah difikirkan.

Di Pegagau juga, yakni di tempat pelupusan sampah tersebut, adanya komuniti yang tinggal di sana secara kolektif. Mereka yang tinggal di kawasan tersebut terdiri dari kalangan rakyat yang berdokumentasi dan juga rakyat stateless yang tidak mempunyai dokumen. Jika kita melihat kehidupan mereka, kita seolah-olah dapat merasai kepedihan dan keperihan hidup yang mereka sedang lalui. Tinggal di tempat pelupusan sampah bersama keluarga dan hidup dengan tabiat “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang”. Mereka tidak bekerja, tetapi mereka memanfaatkan sampah yang telah kita buang dan memenuhi ruangan pelupusan sampah di Pegagau.

Jika Majlis Daerah Semporna bersikap progresif dalam menyelesaikan masalah kebersihan di Semporna, boleh sahaja mereka mengambil komuniti yang tinggal di kawasan pelupusan sampah tersebut sebagai pekerja dan diberikan gaji bulanan. Sikap mengabaikan dan membiarkan mereka terkapai-kapai demikian pada penulis merupakan suatu sikap yang tidak berperikemanusiaan. Selain itu, tindakan membiarkan mereka mengutip barang yang perlu dikitar semula di kawasan tersebut, dimana ia sepatutnya diuruskan oleh Majlis Daerah Semporna, memaksa penulis untuk memberi suatu persepsi yang negatif terhadap Majlis Daerah Semporna. Mereka seolah-olah mengeksploitasi penduduk yang buntu mencari ‘kehidupan’ bagi memastikan kerja-kerja mereka dapat diselesaikan.

Tindakan yang dilakukan itu juga turut menggambarkan betapa derajat manusia seolah-olah pada tingkat menjadi objek semata-mata. Inilah yang berlaku di depan mata penulis sendiri. Ketika berdialog dengan salah seorang penduduk di sana, beliau merungut kepada penulis tentang masalah untuk mendapatkan dokumentasi di Sabah. Banyak wang telah dihabiskan sekadar untuk menguruskan dokumentasi di Sabah, padahal pada pengalaman penulis menguruskan dokumentasi pengenalan diri di Sarawak dahulu, semuanya dapat diselesaikan dengan mudah dan murah!

Adakah sikap dan sifat pengurusan rakyat di Sabah sama keadaannya seperti di Pusat Pelupusan Sampah Pegagau?

Walaupun banyak kekecewaan yang penulis lihat sedang berlangsung di kehidupan rakyat kelas bawah, namun ada suatu kegembiraan dan pujukan yang dapat mengukir senyuman kepuasan di wajah penulis.

Kelebihan masyarakat marhaen ini adalah dari segi kebersamaan dan semangat kolektif mereka. Mereka mempunyai semangat kolektif yang sangat kuat. Jika ada masalah, mereka akan saling membantu. Jika ada yang sedang memerlukan wang, mereka merasakan itu adalah tanggungjawab mereka untuk menghulurkan bantuan. Sakit yang dihadapi oleh jiran yang baru sahaja pindah pada minggu lepas dianggap oleh mereka sebagai sakit mereka juga. Inilah semangat sosialisasi manusia yang masih tidak cemar lagi dalam kalangan masyarakat marhaen sederhana.

Hal ini tidak kita temukan di bandar. Jerat kapitalisme yang individualistik dan berpaksikan kehidupan pertandingan menyebabkan kolektiviti antara masyarakat itu semakin hari semakin luntur. Rasa skeptik terhadap orang di sekeliling semakin menjadi-jadi seolah semuanya jahat. Inilah kehidupan yang sedang cuba untuk penulis jauhi dan kini proses pembelajaran tentang sosialisasi yang progresif dari masyarakat marhaen ini sedang berlangsung.

Demikianlah perihal kemiskinan, pengurusan dan masyarakat yang berlangsung di Sabah ‘negeri di bawah bayu’. Bayunya sudah semakin hilang semangat kerana tidak lagi sanggup meniup kebusukan yang tercipta akibat pengurusan yang jelek pihak Majlis Daerah di beberapa kawasan pelupusan sampah di Sabah. Kemiskinan semakin diraikan oleh mereka, kemiskinan semakin menjadi-jadi. Adakah mereka akan terus meraikan kemiskinan yang dihadapi oleh masyarakat ini? Adakah pihak yang bertanggungjawab akan terus dengan sikap malasnya untuk menguruskan perihal lingkungan dan masyarakat?

Penulis tinggalkan persoalan ini untuk dijawab oleh para pembaca yang telah merenung realiti di dalam masyarakat.

(Artikel ini adalah tulisan saudara Izzat Dahelan dan tidak semestinya mencerminkan pandangan pihak Solidaritas)

Komen