KL Summit 2.0

Pertama sekali, izinkan saya ucapkan Jazakumullah khayran kathira kepada ISMA khususnya Ustaz Abdullah Zaik kerana “mencetuskan” persidangan Kuala Lumpur Summit pada tahun 2014 dan menjemput Tun Mahathir sebagai Pengerusi-nya.

Walaupun KL Summit 2019 kali ini bukan lagi dipacu oleh ISMA sebaliknya oleh YAB Perdana Menteri Tun Mahathir sendiri di bawah The Perdana Foundation for Civilisational Dialogue selaku Pengerusinya, ahli ISMA patut berbangga kerana benih yang disemai mereka bakal melahirkan satu pakatan multilateral baru yang bernuansakan Dunia Islam. Sesungguhnya semua itu adalah amal salih yang mendapat naungan dan keberkahan daripada Allah SWT kerana ikhtiyar ISMA untuk menyatukan agenda keumatan antara negara-negara Islam khususnya di kalangan para pemikir dan badan bukan kerajaan-nya.

Malangnya saya lihat ramai juga ahli ISMA yang sinis, malah tidak kurang mengherdik, mengajuk dan melemparkan tuduhan yang jauh menyimpang daripada akhlak yang patut dikenali sebagai mereka yang mengikuti tarbiyah Islami wa’l-Haraki.

“Atuk”, “Parti bunga” dan tuduhan paling celupar ialah KL Summit telah “di-hijacked” kedengaran dari kalangan abna’ al-harakah yang cetek dan sempit dalam menilai agenda umat ini.

Tidak keterlaluan saya katakan bahawa tanpa Tun Mahathir, KL Summit tidak akan berjaya sama sekali. Kerana Tun Mahathir selaku “diplomat par excellence”, idea yang “dicetuskan” Ustaz Abdullah Zaik berjaya mendapat tempat dan “legitimacy” di kaca mata pemimpin umat Islam.

Tanpa KL Summit (juga tanpa bantuan ISMA), Tun Mahathir sendiri mampu untuk melakukan perkara ini kerana beliau telah pun lakukannya zaman-berzaman nun semenjak 2003 lagi ketika persidangan OIC X.

Soalnya kenapa Tun Mahathir masih kekalkan dan mahukan “label” dan “brand” KL Summit? Mudah: Tun Mahathir mahu kekalkan “momentum” dan jaringan yang sama tanpa “reinvent the wheel” (sebab itu komposisi ahli lembaga penasihat asal masih sama tapi kini ditambah lebih ramai dikalangan wakil Malaysia seperti Tan Sri Zeti, Datuk Dr Daud Bakar etc.) Tun Mahathir adalah pemimpin pragmatik. Kalau logo dan bendera PKR pun beliau boleh ambil manfaat untuk menyelamatkan Malaysia, maka tiada hairan berkenaan KL Summit.

Malah ianya bukan sekadar meneruskan tapi lebih penting memperkasakan: KL Summit 2.0. Benar, ianya sudah jadi agenda negara dan serantau bilamana para pembesar negara dari luar seperti Erodgan, Imran Khan, Emir Qatar, Jokowi dan mamanda Menteri dari kalangan kabinet negara yang terlibat menjadikan forum ini satu forum yang lebih berprestij dan lebih penting punya pelan tindakan yang jelas.

Ya, kali ini Tun Mahathir tidak mahu sekadar bercakap, menghabiskan berkajang-kajang kertas kerja tapi juga agenda pembangunan ummah yang jelas dalam pelbagai bidang dan sektor seperti kedaulatan makanan, pertahanan, media, pusat kecemerlangan kajian STEM umat, dan kluster yang saya telah diberi amanah oleh YAB Tun Mahathir untuk ketuai: Perdana Future Leadership.

Bukan itu saja, Tun Mahathir sebenarnya menzahirkan strategi “Middlepowermanship” buat Malaysia seperti mana beliau telah amalkan 22 tahun dulu – penerusan kepada legasi kenegaraan semenjak zaman Tunku Abdul Rahman, Tun Razak.

Sebab itulah kita harus tabik kepada YAB Tun Mahathir kerana menghantar YB Menteri Luar kita untuk menjemput salah satu “P5” dan Kuasa Veto iaitu Presiden Putin dari Russia untuk bersama-sama dengan kita dalam KL Summit ini. Sesungguhnya Russia bukan asing dalam pakatan dunia Islam yang progresif kerana di OIC X, Putin sendiri hadir selaku pemerhati dan diberi kesempatan untuk berucap oleh YAB Tun Mahathir dahulu pada 2003.

Tatkala Orde Dunia Liberal sedang retak, Malaysia sedang mengorak langkah dengan menganyam rupa baru “sub-sistem” dan “multilateral” orde Dunia Islam.

Siapa yang mampu, mengetuk pintu Moscow kalau bukan Tun Mahathir? Siapa yang mampu mengenali Neo-Ahzab kalau bukan Tun Mahathir?

KL Summit 2019 adalah wadah baru agenda keumatan yang mana Malaysia menjadi salah satu pemimimpinnya bersama-sama Turki, Pakistan, Qatar, dan Indonesia. Mungkin hadith Nabi sallallahu ‘alayhi wassalam yang Islam akan bangkit dari Timur, dari Alam Melayu itu sedang berkumandang.

Doakan kami dan ini adalah sebab utama bagi saya kenapa Tun Mahathir perlu kekal sebagai Perdana Menteri Malaysia sampai habis penggal.

Siru ‘ala barakatillah!

(Tulisan ini dikongsikan kembali dari Facebook Wan Fayhsal dengan izin beliau)

Komen