Kita Sudah Terpecah

DAPATAN dari Kaji Selidik Tinjauan Rakyat Malaysia 100 Hari Pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang dibuat oleh lima media arus perdana baru-baru ini memberikan angka-angka yang bercampur baur.

Kaji selidik yang melibatkan sejumlah 35,077 responden bermula dari 6 hingga 16 Februari lalu mendedahkan seramai 45% dari responden berpandangan bahawa hala tuju semasa negara di landasan yang betul.

Empat puluh lima peratus adalah hampir separuh. Jika dalam tempoh 100 hari (yang sebenarnya, masih belum cukup 100 hari pun kerana masih belum 4 Mac untuk genap 100 hari) Kerajaan Perpaduan sudah boleh meyakinkan hampir separuh tentang hala tujunya, maka ia adalah satu pencapaian yang baik.

Namun, melihat dapatan kaji selidik tersebut dengan lebih teliti akan mendedahkan kita kepada beberapa kepincangan yang merisaukan.

Pertama sekali, walaupun 45% berpandangan hala tuju semasa negara adalah betul sedang 25% tidak pasti dan baki 30% berpendapat ianya salah, angka-angka peratusan bila dipecahkan mengikut etnik akan menonjolkan polarisasi ketara di kalangan rakyat Malaysia.

Mengikut pecahan etnik, 76% Cina dan 76% India berpandangan hala tuju negara adalah betul. Lagi 59% Bumiputera Sabah dan 60% Bumiputera Sarawak juga sependapat hala tuju negara adalah betul. Tetapi hanya 26% Melayu Semenanjung berpandangan serupa dengan etnik Cina, India atau Bumiputera Sabah dan Sarawak.

Ia adalah satu kepincangan data yang sangat ketara. Ketika semua etnik lain secara majoritinya berpandangan hala tuju semasa negara di landasan yang betul, hanya segelintir minoriti Melayu Semenanjung berfikiran sama.

Sebaliknya, majoriti atau 43% Melayu Semenanjung berpandangan hala tuju negara adalah salah.

Apa yang boleh kita rumuskan dari dapatan kaji selidik ini?

Ya, kumpulan etnik Melayu Semenanjung mempunyai objektif berbeza tentang matlamat negara Malaysia ini berbanding dengan kumpulan etnik yang lain.

Hala tuju negara adalah penting. Ia adalah jalan bagaimana mencapai apa yang kita cita-citakan untuk negara Malaysia ini. Memahami apa cita-cita negara tidaklah terlalu sukar kerana ianya jelas tertulis dalam Rukun Negara yang merupakan ideologi kebangsaan kita.

Kerajaan Perpaduan di bawah Perdana Menteri Anwar Ibrahim, seperti kerajaan-kerajaan sebelumnya, mempunyai kerangka visi atau dasar kepimpinan yang gunanya untuk memandu hala tuju ke arah cita-cita tersebut. Ia dinamakan Malaysia MADANI.

Visi Malaysia MADANI adalah “untuk membangun tanah air yang lebih mampan dan makmur berteraskan ruh daya cipta, nilai hormat, keyakinan dan ihsan, di mana keterangkuman dan kesaksamaan menjadi teras utamanya – yakni sebuah masyarakat Malaysia yang adil”.

Sejauh mana Anwar Ibrahim, Kerajaan Perpaduan dan Malaysia MADANI ini akan berhasil masih terlalu awal untuk kita nilaikan. Tetapi buat etnik Cina, India dan Bumiputera Sabah dan Sarawak mereka berpandangan bahawa hala tuju semasa adalah betul untuk negara ini. Dalam erti kata lain majoriti dari mereka dapat menerima kepimpinan Anwar Ibrahim, penubuhan Kerajaan Perpaduan dan gagasan Malaysia MADANI yang menjadi kerangka visi atau dasar kepimpinan.

Majoriti dari etnik Cina, India dan Bumiputera Sabah dan Sarawak ini juga sependapat dalam tinjauan kaji selidik yang menyentuh perkara lain iaitu berkaitan keadaan semasa negara yang berada dalam keadaan kuat dan situasi ekonomi negara yang dilihat bertambah baik.

Sekali lagi ia jauh berbeza dengan dapatan tinjauan kaji selidik melibatkan Melayu Semenanjung. Bukan sahaja majoriti dari kumpulan etnik ini berpandangan hala tuju negara adalah salah, mereka juga secara majoriti berpandangan keadaan semasa negara dalam keadaan yang lemah (60%) dan situasi ekonomi negara bertambah buruk (53%).

Ia seakan memberi gambaran bahawa kumpulan etnik Melayu Semenanjung berada di dalam semesta (universe) yang lain.

Tetapi kita semua tahu etnik Melayu Semenanjung berada dalam semesta yang sama dengan etnik Cina, India dan Bumiputera Sabah dan Sarawak. Malahan, kita semua berada dalam satu negara Malaysia yang sama, dengan Perdana Menteri dan kerajaan yang sama.

Tetapi kepincangan ketara dalam tinjauan kaji selidik ini mendedahkan kita kepada satu fakta yang menggerunkan. Melayu Semenanjung mempunyai idea dan cita yang lain untuk Malaysia berbanding Cina, India dan Bumiputera Sabah dan Sarawak.

Dan ini adalah tanda kita sudah terpecah.

 

Komen