Burung-burung di Stadium Sultan Abdullah Jordan pun tak berbunyi dan kelihatan relaks sahaja.
Mungkin burung-burung pun sedang berbincang sesama sendiri untuk aktiviti ‘merentas negeri’ sempena pengumuman tiada lagi sekatan.
Pemain ‘harapan’ atau mungkin pemain ‘ujian kambing hitam’ yang dipanggil pun rasanya tidak tahu apa tujuan mereka dipanggil.
Mahu diuji kah, diberi peluang ‘rentas negeri-negara’ kah atau ‘kalau bukan sekarang, bila lagi?’.
Barisan penyerang ternyata tidak mampu atau pun gagal mengumpulkan tembakan tepat sasaran, tidak kelihatan mampu mengawal maupun menggelecek dengan penuh stail, dan tidak memiliki hantaran menarik atau tepat.
Para pemain dilihat hanya bermain kerana terpaksa bermain di perlawanan.
Pasukan seperti tidak berminat atau tahu bagaimana untuk menang, atau bahkan bertanding dalam pertandingan antarabangsa Tier 1 pada hari Rabu.
Malaysia tewas 4-0. Mereka kelihatan seolah lupa mereka adalah pemain profesional tetapi tidak mahir, keliru, tidak kemas, layu dan malu-malu. Bukan “kita” tetapi ‘mereka’.
Pada Sabtu malam, mereka memberi persembahan yang lebih menyedihkan kerana mereka dibelasah oleh Uzbekistan 5-1.
Kedua-dua perlawanan yang dimainkan di Amman, Jordan, mungkin merupakan perlawanan persahabatan tetapi pasukan Malaysia tidak sepatutnya di jadikan ‘lauk’ pasukan lawan.
Mereka kelihatan sedang bercuti, kurang pragmatisme, kurang bangga dan berusaha.
Jurulatih pengendali harus berhenti membuat alasan bahawa ini bukan skuad terkuatnya dan bahawa perlawanan itu terutama untuk menguji strategi dan pemain baru.
Bagaimana perlawanan persahabatan ini boleh menjadi persiapan untuk Piala AFF pada bulan Disember ketika beberapa pemain mungkin tidak berada dalam skuad?
FAM tidak harus meluluskan dan membenarkan pasukan ‘ujian’ pergi ke peringkat antarabangsa 1 dengan “pasukan kedua”, kerana mengetahui kekalahan akan mendorong Malaysia yang berada di kedudukan ke-154 ke bawah ranking FIFA?
Jelas sekali, pasukan Uzbekistan (84) dan Jordan (93) bermain dengan daya pemikiran berbanding Malaysia (154).
Seperti biasa permainan pasukan ujian Malaysia mudah dibaca, mudah dipatahkan dan pemain seolah bingung dengan konsep termudah, seperti membawa bola, serangan balas atau menyerang dan bertahan.
Dengan menjadi pemerhati bola, mereka terobos sembilan gol dalam dua perlawanan: persembahan Malaysia bermula dengan buruk, semakin buruk di tengah, dan pada akhirnya punah .
Kadang-kadang nampaknya mereka tidak tahu ke mana arah gol atau kawasan lawan.
Pergerakan pasukan terbatas, tidak dapat menahan fizikal lawan mereka, ketinggalan dalam taktik dan tahap teknikal individu.
Uzbekistan dan Jordan bermain dengan pantas dan laju, mencari bola langsung melepasi pertahanan Malaysia dan kejam dalam serangan mereka.
Andai ditanya ‘pengendali’ mengapa pasukan mempunyai rancangan permainan yang lemah dan ‘chemistry’ pasukan yang lemah yang menyebabkan salah faham di kalangan pemain, tentunya kita sendiri boleh jawabkan… “kite, mencube dan memberi peluang , pendedahan dan pengalaman kepada pemain baru”.
Mengapa ‘dalang perancang’ tidak ada ketika pasukan melangkah ke arena antarabangsa?
Mengapa pemain Malaysia masuk ke padang kelihatan agak bingung, seolah-olah mereka tidak mendapat bimbingan?
Mengapa pasukan ‘kurang bermaya’ ini tidak berfungsi sebaik sahaja perlawanan bola sepak bermula?
Mereka tentunya dipersalahkan kerana telah mengingkari tugas mereka kepada negara tetapi jika pengendali dan FAM memikirkannya, mungkin mereka akan melihat bahawa mereka tidak mengkhianati orang lain selain diri mereka sendiri.
Nak menyokong tak kena, tak sokong pun tak kena!
(Azizi Ahmad adalah mantan USSA Master Trainer. Artikel tulisan beliau ini tidak semestinya mencerminkan pandangan pihak Solidaritas)
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Solidaritas.