Assalamualaikumwarahmatullah
الحَمْدُ للهِ !!! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga Sidang sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketakqwaan kita iaitu dalam bahasa Inggerisnya integrity. Kita panjatkan kepada Allah dengan melakukan segala suruhannya iaitu menolak kemungkaran dengan memilih pemimpin dari kalangan parti rasuah dan menjauhi segala yang ditegahNya iaitu mencintai dan membuntuti semua perasuah.
Sidang yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 21 surah al-Ahzab :
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِاللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَاللهَ كَثِيرًا
Maksudnya: Sesungguhnya adalah bagi kamu contoh ikutan yang terbaik pada diri Rasulullah s.a.w, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) pada hari akhirat. Dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya.
Wahai Pak Cik-Pak Cik sekalian. Baginda Rasulullah saw sangat anti perasuah dan rasuah. Jika kita meneladani Nabi Muhammad saw yang kita ziarahi tatkala kita menunaikan umrah dan haji tentulah kita akan terngiang-ngiang terdengar sabda baginda ini (dicadangkan dengan suara keras).
Firman Allah SWT:
وَلا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالإثْمِ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ
“Dan janganlah sebahagian daripada kalian memakan (atau mengambil) harta (sebahagian orang lain) antara kalian dengan jalan yang batil (salah dan haram), dan janganlah pula kalian menghulurkan harta kalian (memberi rasuah) kepada pihak yang mengendalikan hukuman (pemerintah yang berkuasa dan para hakim), supaya kalian dapat memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kalian mengetahui (akan salahnya perbuatan itu).” (Surah al-Baqarah: 188)
Ayat di atas ditafsirkan oleh hadis Rasulullah SAW melalui sabdanya:
لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الرَّاشِي وَالْمُرْتَشِي
“Rasulullah SAW telah melaknat (mengutuk) pemberi rasuah dan penerima rasuah.” (Riwayat Abu Dawud 3580, al-Tirmizi 1337 dan banyak lagi)
Tuan-tuan Pak cik-Pak Cik Sidang yang dimuliakan, jika memberi dan menerima rasuah dikutuk agama, bayangkan apa hukumnya memilih pemimpin dari kalangan parti rasuah? Adakah kita akan mendapat syafaat Rasulullah saw kelak?
Khatib don’t think so.
Kini kita sedang menyambut kehadiran bulan PRU iaitu seumpama bulan Krismas keraian orang Nasrani, iaitu bulan kelahiran dan kemunculan ramainya perasuah yang akan datang menghulurkan kita duit beberapa ratus Ringgit, beras cap rambutan beberapa guni dan kampit, makan minum dibelanja, kenduri kendara didana; dan macam-macam hadiah lumayan lain diberi dengan pelbagai nama seperti ‘duit boleh buat anak sekolah’, ‘duit agar dapat minum Machiato Caramel, ‘duit sikit untuk Royal Canin kucing deme British Short Hair’, ‘duit dedak itik’ dan pelbagai label lagi.
Sidang Jumaat sekalian, junjungan besar Nabi Muhammad saw yang merupakan nabi akhir zaman diutuskan untuk membawa rahmatan lil alamin. Sesungguhnya ’rahmat semesta alam ini’ adalah slogan sebuah parti bernama Amanah. Ketahuilah Nabi Muhammad saw menolak Islam militan dan radikal, apatah lagi yang berbolak-balik pagi cakap lain petang lain pula mengingatkan kita kepada dajal laknatullah. Pelacur pun tidak sampai hati berkelakuan seibarat mereka (disarankan khatib membentak sedikit).
Pak cik-Pakcik sekalian, rahmat daripada kelahiran Rasulullah saw merangkumi pelbagai aspek kehidupan manusia termasuk aqidah, syariah dan akhlak. Dalam soal memurnikan aqidah, Baginda saw membimbing umat manusia kepada mentauhidkan Allah setelah masyarakat kehilangan arah sehingga meluasnya penyembahan berhala dan selainnya. Tauhid ini bermakna Tuhan kita ialah Allah. Tuhan kita bukan Ketua Bahagian, Yang Berhormat atau Yang Amat Berhormat. Mereka itu semua tiada nilai sehabuk pun kelak bila kita ditanam dalam kubur nanti. Mereka sendiri akan duduk dalam kubur juga. Manusia-manusia ini tidak patut dijadikan berhala menggantikan Latta dan Uzza seperti mana kafir Quraisy di Mekah memberhalakan orang-orang kenamaan mereka satu masa lalu. Mereka hanyalah Wakil Rakyat. Kita Tuan, dan mereka yang bekerja untuk kita.
Kemudian dalam soal syariat atau hukum-hakam agama pula kita diajar dan diperlihatkan oleh Baginda saw sama ada melalui gagasan dan praktik amalinya. Dalam sirah Rasulullah saw baginda mengajarkan kepada kita umat Islam yang seorang pemerintah Muslim tidak menjamin kita umatnya untuk masuk syurga, manakala pemerintah yang bukan Islam tidak menghantar kita ke neraka atau membantutkan kita masuk syurga. Dalam hal ini kita mesti mengingat yang pemerintah zalim, meskipun Islam; tetap mendapat azab Allah. Demikian Allah berfirman dalam surah Asy-Syura ayat 42. Firman Allah SWT:
اِنَّمَا السَّبِيْلُ عَلَى الَّذِيْنَ يَظْلِمُوْنَ النَّاسَ وَيَبْغُوْنَ فِى الْاَرْضِ بِغَيْرِ الْحَقِّۗ اُولٰۤىِٕكَ لَهُمْ عَذَابٌ اَلِيْمٌ
(Sesungguhnya kesalahan hanya ada pada orang-orang yang berbuat zalim kepada manusia dan melampaui batas di bumi tanpa (mengindahkan) kebenaran. Mereka itu mendapat siksa yang pedih.)
Jika ada kempen dari parti politik yang mendakwa konon mengundi pemimpin bukan Islam boleh mencegah kita dari masuk syurga, ketahuilah ini tidak benar. Khatib don’t think so. Ini kerana ketika kemuncak penindasan terhadap orang Islam, Rasulullah saw menghantar sekumpulan umat Islam untuk berhijrah – yang pertama – Habsyah di mana rajanya adalah seorang yang bukan Islam tetapi diketahui adil. Khatib menasihatkan sidang sekalian agar mempelajari sirah secara menyeluruh dan bukan secara terpilih-pilih (dimohon agar khatib membuat suara merayu serak-serak basah).
Untuk masuk syurga setiap amal kebajikan kita di dunia ini akan diperhitungkan dan akan dibawa ke penghadapan Allah. Jika kita banyak melakukan ibadah sekalipun tetapi tidak mengenal kebenaran maka belum tentu Allah mengizinkan kita masuk ke dalam syurganya. Tambah-tambah jika kita tidak ikhlas. Justeru janganlah kita terpedaya dengan bahan kempen yang memburuk-burukkan saudara senusa senegara kita dari kalangan bukan Islam. Mereka juga makhluk Allah yang setara.
Umat Islam mestilah memilih kerajaan atau pemerintah yang dapat menjamin kebebasan dan kehormatannya, yang dapat berkhidmat kepada kita dan keturunan kita. Untuk kerajaan sebegini – yang tidak menyamun merompak harta negara – maka kita berikan undi dan penghormatan kita.
Untuk masuk syurga ia bergantung kepada keimanan, amal kebajikan dan tindak tanduk serta syafaat Allah. Bukan dengan mengundi parti yang mendakwa-dakwi Tuhan berpihak kepada mereka. Syurga bukan bapa dia yang empunya, khatib don’t think so.
Sidang sekalian, sebuah pemerintahan yang baik dalam Islam ialah pemerintahan yang memberikan kita syurga di muka bumi ini yakni pekerjaan, perumahan, keamanan, kesejahteraan, kehormatan dan kemerdekaan yang cukup untuk kita beramal dengan akidah kita. Pemerintah yang dapat membekalkan air bersih bukan kotor haprak hendak cuci buntut cucu kelik kampung pun rasa geli. Khatib don’t think so. Pemerintah yang dapat memberikan kita kedamaian, bukan sewaktu hujan lebat hati kita berdebar-debar kalau-kalau ada balak akan menerpa masuk pintu jamban kita lantas membuatkan kita mati beramai-ramai dengan alasan kepala air. Kita sidang sekalian mahukan pemerintah yang molek. Yang memberi kita bekalan air bersih supaya tidak malu dengan menantu hat dari luar negeri kita (oghe luar). Pemerintah begini, apa pun namanya dari parti apa sekalipun adalah yang akan membantu kita masuk syurga kelak. Janganlah sidang sekalian terpengaruh oleh seruan menunggang agama yang sangat banyak sekarang ini. Ittaqullah sidang sekalian.
Sidang kamu-kamu yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 31 surah Ali ‘Imran :
قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ
(Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.)
Mengapakah kita tidak mahu meneladani apa yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw seperti yang khatib pesankan di awal tadi?
Jika sidang sekalian disogok di musim PRU ini, ingatlah ia adalah elemen dan anasir krismas. Merasuah bukan kerja agama kita. Ketahuilah betapa baginda Rasulullah saw berdepan dengan habuan dan sogokan gula-gula bajet daripada orang-orang kafir Quraisy. Musyrikin telah membuat berbagai tawaran kepadanya. Sekiranya baginda mahukan saham aset dan jawatan menteri, duta khas dan macam-macam lain maka mereka akan berikannya, jika baginda inginkan pangkat maka mereka akan mengangkatnya menjadi YB dan apa sahaja yang dikehendaki olehnya maka mereka akan berikan semuanya. Sesungguhnya Rasulullah saw telah berjaya menghindari itu semua dengan kekuatan iman. Sabda baginda Rasul mengenai sogokan rasuah itu:
«يا عمي، والله لو وضعوا الشمس في يميني، والقمر في يساري، على أن أترك هذا الأمر حتى يُظهِرَه الله، أو أَهلِكَ فيه، ماتركته!»،
Maksudnya: (“Demi Allah! sekiranya mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku untuk aku tinggalkan urusan ini (perintah Allah), maka sekali-kali aku tidak akan tinggalkan sehingga Allah buktikan kejayaannya ataupun aku mati.”)
Khatib berpendapat ini sungguh hebat. Khatib think so. Inilah gambaran tindakan yang dicetuskan oleh keimanan sejati, bukan terbit dari taburan wang bangsawan semata-mata.
Sidang yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 46 surah al-Anfal :
وَأَطِيعُوا اللَّـهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ ۖوَاصْبِرُوا ۚ إِنَّ اللَّـهَ مَعَ الصَّابِرِينَ
(Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.)
Tuan-tuan sidang sekalian,
Janganlah tidur waktu-waktu khutbah, please bangkit, dan bangunlah dengan semangat. Ingatlah perasuah dan pengkhianat serta munafik atas nama agama, mereka ada di mana-mana hatta dalam kalangan kita ketika di masjid. Ketahuilah ucapan dua kalimah syahadah yang kita lafazkan itu tidak semata-mata pengakuan di bibir sahaja. Bahkan mesti lahir daripada hati yang yakin dan sedar.
Sebenarnya ucapan dua kalimah syahadah itu adalah undi janji setia kita bahawa Tiada Ilah yang disembah melainkan Allah s.w.t dan Nabi Muhammad saw itu adalah pesuruh Allah swt. Dalam erti kata lain janganlah kamu takut dengan pemimpin-pemimpin yang kini menjadi serupa berhala. Syirik tahu tak, syirik; dan syirik itulah yang akan membuatkan kamu tidak mencium bau syurga. Kalau kamu menyanjung pemimpin rasuah itu yang membuatkan kamu tidak jejak syurga.
Faham tidak? This, khatib think so.
Perjalanan hidup Rasulullah saw adalah contoh yang baik serta model utama bagi seluruh alam ini, pimpinan dan sistem yang dibawa oleh Rasulullah saw dalam hal menolak korupsi dan hubungannya dengan bukan Islam itu bukan rekaan menurut hawa nafsu tetapi mendapat pertunjuk Allah. Bukan sekejap muafakat sekejap bercerai. Bukan sebentar perikatan sebelah lain duduk ayam itik minta kerusi.
Firman Allah dalam ayat 7 surah al-Hasyru :
وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا وَاتَّقُوا اللهَ إِنَّ اللهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
(Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya)
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Sidang Jemaah Yang Dikasihi Sekalian,
Bertakwalah kepada Allah swt dengan sesungguh-sungguh taqwa agar kita mendapat keredhaan-Nya. Khatib ingin menyeru kepada seluruh umat Islam di negara ini supaya kekal bersatu padu atas nama Malaysia. Sesungguhnya persaudaraan atas nama nusa ini sangat mahal harganya. Jika kita boleh bersama-sama di meja mamak, atau bersama-sama di gelanggang badminton dan futsal mengapa kita tidak boleh bersama-sama keluar mengundi dan membuat perubahan?
Sidang Jemaah sekalian, hentikanlah segala percakaran dan tinggalkanlah segala perselisihan kerana ia hanya merugikan negara. Ketahuilah, demi Allah dan Rasul, Singapura dan Indonesia sudah jauh meninggalkan kita dari segi pelaburan dan pertukaran mata wang asing. Justeru, walau apa jua perbezaan yang ada, Islam menuntut kepada kesatuan seluruh bangsa dan ia bukan alasan untuk etnik yang ada saling bermusuhan (disarankan khatib mulai mendayu dan jika boleh menangis).
Pada hari mulia iaitu hari pilihan besar atau raya yang bakal menjelang ini juga, marilah kita memperbanyakkan berselawat ke atas kekasih kita, Nabi Muhammad SAW sebagaimana perintah Allah swt dalam Surah al- Ahzab ayat 56:
إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلَـٰٓئِكَتَهُۥ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِىِّ ۚ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ صَلُّوا۟ عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا۟ تَسْلِيمًا
Angkat tangan berdoa please: Ya Allah! Dengan sifat-Mu Yang Maha Pemurah dan Maha Mendengar! Engkaulah yang Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu. Kami hamba-Mu yang lemah, merayu agar Engkau ampunkan segala dosa yang telah kami lakukan. Kami pernah mengkhianat amanah Ya Allah! Kami pernah menerima rasuah dan sogokan dari pemimpin. Cukupkanlah kami dengan rezeki yang halal dan jauhkanlah kami dari rezeki yang haram. Bajet yang tidak bersih hindarkan kami Ya Allah. Cukupkanlah kami dengan kurniaan-Mu dari bergantung kepada selain-Mu. Hindarkanlah kami dari kaki fitnah atas nama agama, bala bencana seperti balak masuk rumah, wabak penyakit gila jawatan, perbuatan-perbuatan keji dan mungkar seperti menipu undi, seperti main cocok-cocok rasuah.
Ya Allah masukkan mereka jel Ya Allah kerana kami muak dengan salah guna kuasa dan perangai mereka yang menjengkelkan dan seperti setan Ya Allah. Mereka ini dajal menggoda kami dengan wang untuk membeli undi kami Ya Allah. Hanya kepada-Mu jua Ya Allah, tempat kami mengadu dan memohon pertolongan. Kami tak mahu ikut dajal Ya Allah (disarankan menangis teresak-esak di sini, berhenti sebentar jika boleh dan menangis kembali).
Ya Allah! Satukanlah kami atas agama-Mu yang benar, yang bukan dipergunakan untuk tujuan hiasan; dan hindarkan kami dari perselisihan serta perpecahan yang berpanjangan. Kurniakan kami Ya Allah pemerintah yang dapat memberi peluang pekerjaan, menunaikan pelan tindakan pasca PRU, pemerintah yang ada wawasan, pemerintah yang bukan pura-pura alim tetapi kahwin lain secara atas talian. Pemerintah yang memberikan kami air bersih, pendidikan sempurna untuk anak-anak kami agar mereka tidak lagi dipupuk dengan rezeki haram iaitu rasuah. Jadikanlah kami dan keturunan kami orang-orang yang istiqamah mendirikan negara ini dengan kepimpinan yang adil, yang amanah, yang rahmatan lil alamin bukan setakat menawarkan stabil dan makmur tapi menggodam dan merompak aset negara Ya Allah. Yang menipu konon ikhlas dan konon jujur serta pura-pura berbaik dengan orang bawah. Yang bila dekat PRU mulailah pandai makan sirih dan sanggup kunyah selipar Ya Allah. Patutnya kami katuk mereka dengan terompah. Sesungguhnya hanya kepada-Mu jua Ya Allah, doa kami mohon diperkenan dan diterima.
Ameen Ya Allah. Ameen Ya Allah.
Sidang Sekalian, selamat mengundi. Salah mengundi kita bawa anak cucu dan seisi negara ke neraka dunia.
Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali sebagai Faisal Tehrani adalah Felo Penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Penyelidik Bersekutu di sebuah tim penyelidikan di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard, Amerika Syarikat. Kajian beliau menganjur dari Sastera Bandingan sehingga Hak Asasi Manusia dengan penekanan terhadap kumpulan minoriti agama.