Khud Oghogi Va Istihmar – Rausyanfikir: Gemulah Ali Syari’ati (Siri 2)

Kata Dr Alimuddin Hassan Palawa, Ali Syari’ati adalah sosok yang bertanggungjawab menambah satu lagi karakter dalam menyempurnakan definisi “manusia” atau insan, selain dari;

  1. Sedar
  2. Memilih
  3. Mencipta

Iaitu “hasrat memberontak”.

Memberontak ini bukanlah satu aksi yang sering kita visualkan hasil konotasi asuhan media perdana seperti berguling di jalanan, menjadi keras kepala, enggan menurut perintah dan sewaktu dengannya.

Memberontak dalam konteks “insan” ini adalah suatu yang berkait dengan kesedaran diri dan usaha membebaskan diri dari kebodohan. Tidak cukup dengan nilai “sedar” yang pertama dalam poin di atas kerana sedar itu membawa makna dan konotasi yang berbeza iaitu sekadar menyedari kewujudan diri dan fungsi serta anugerah pancaindera yang dikurniakan.

Hasrat memberontak ini juga bukanlah satu kelakuan dalam fasa kehidupan remaja kita yang enggan mengikut kata keluarga, atau mengikuti demonstrasi membantah polisi kerajaan sebab tampak “cool” dan “edgy”.

Hasrat memberontak yang dimaksudkan Ali adalah cubaan membebaskan diri dari terkurung dalam satu sistem atau corak pemikiran yang didoktrin oleh manusia lainnya. Selagi mana kita tidak mempunyai “hasrat memberontak” ini, tidak kiralah siapa atau setinggi mana pun darjat atau kelayakan akademiknya di mata masyarakat, tidak akan membawa sebarang makna apalagi sumbangan kepada kita, rakyat kebanyakan.

Bagi mereka yang sudah berjaya menembus keluar dari kurungan pemikiran sehala ini, pastinya tidak akan terkejut dan berasa hairan bila ada tokoh akademik atau pemimpin yang mengeluarkan kenyataan atau melakukan tindakan yang tidak mencerminkan taraf akademik mereka.

Ramai bersetuju, pencapaian taraf pendidikan tidak wajar sama sekali dikelaskan bersama nilai insan yang lain seperti moral, empati dan kebijaksanaan. Ya, menjadi bijak itu bukanlah di atas kertas. Cemerlang di atas kertas itu bererti pandai, tidak semestinya bijak. Ulang semula, ramai setuju dengan kenyataan di atas secara umunya. Tapi, tidak ada yang benar-benar mempraktikkannya.

Bukti?

Kita mudah menggelabah bila ada tokoh, pemimpin atau cendekiawan idola kita berperilaku tidak seperti yang sepatutnya.

“Bangangnya si polan ini! Baik aku je jadi Professor!”

Dialog biasa kita di kedai kopi.

Fahamlah kita bahawasanya beliau itu masih belum “berusaha untuk memberontak”.

Namun, dalam lensa politik agak unik, kita tidak boleh memandang kenyataan di luar otak segelintir pemimpin sebagai ukuran tingkat kecerdasan dan kebijaksanaan beliau. Politik ini berwarna warni, ada seni dan caturannya yang tersendiri. Kadang kenyataan yang bodoh ini sengaja dibuat “operator” bagi mencetuskan provokasi, terbitkan ketakutan pihak lawan, timbulkan polemik dalam masyarakat dengan niat melemahkan pihak lawan dan sebagainya dalam satu-satu kempen propaganda.

Panjang bertali-tali jika hendak diulas, jadi kita tinggalkan dulu bab politik dalam memahami erti “usaha memberontak” ini, dan kembali kepada asas perbincangan.

KHUD OGHOGI VA ISTIHMAR diterjemahkan sebagai “Kesedaran diri dan kekeldaian”. Naskhah ini adalah luahan betapa radikalnya Ali dalam menentang projek globalisme dari Barat yang merosakkan masyarakat di tempatnya. Ada idea beliau yang kurang sesuai dipraktikkan kita di sini kerana ulasan Ali ini menjurus kepada permasalahan setempat yang berkait rapat dengan budaya dan ragam pemikiran. Namun, jika digali dan difahami, ajarannya sangat flesksibel dan boleh diadaptasikan dalam mana-mana budaya sekalipun.

“Usaha memberontak” ini hanya akan timbul dalam diri melalui perasaan ingin tahu, cintakan ilmu, menjunjung tinggi nilai agama dan moral masyarakat. Usaha murni ini sering dipandang sepi kelompok masyarakat kerana “bystand effect”; “Tak ada yang mula dulu, apa faedahnya jika aku mulakan?”.

Kita sering merasa kita bijak dengan tidak menjerumuskan diri dalam soal masyarakat yang kompleks dan rumit, dengan andaian tidak perlu beria dan tenang-tenang sahaja, semua akan baik-baik belaka. Kita mungkin sudah berlepas diri dengan menunaikan tanggungjawab pada keluarga, dan melaksanakan ibadah harian yang menjadi tuntutan agama.

Sebelum poster troll (karikatur) yang menunjukkan seorang alim setiap tahun menunaikan umrah dan haji sedangkan jirannya yang miskin hanya sekadar diminta menjaga rumah sepanjang ketiadaannya viral di sosial media, mesej ini sudah lama dijerit pekikkan oleh Ali. Mesej ini bahkan ada di dalam kitab suci umat Islam, namun entah mengapa kurang popular, seperti isu riba.

Hasrat memberontak ini juga akan timbul bila keikhlasan yang unggul dalam menyantuni alam dan isinya, bukan mempertikaikan segala yang ada menurut selera dan hawa nafsu sendiri sahaja.

Keengganan untuk memberontak ini juga akan membuka pintu yang dinamakan oleh Syed Hussein Alatas sebagai “Bebalisme”; tanpa beralas menghuraikannya dengan ringkas sebagai jahat, bodoh dan sombong.

Menyerahkan diri kepada dunia dan bukan kepada Dia menurut Ali adalah simptom atau penyakit yang menjadi barah dalam masyarakat berpunca dari ego dan sifat individualistik. Budaya konsumerisme yang parah dalam masyarakat moden kita pada hari ini adalah cerminan sikap dan keengganan kita untuk memberontak.

Selagimana adanya tembok pemisah dalam diri yang menghalang kita untuk memberontak dan mencapai aras kesedaran insan yang sepatutnya, selama itulah kita adalah keldai, yang hanya menurut aturan dunia yang sementara.

(Artikel ini adalah siri kedua penulis berkaitan Ali Syari’ati. Siri pertama artikel boleh dibaca di pautan berikut)

Komen